Masih lagi berkisar tentang Pokemon GO, tidak cukup dengan ancaman ransomware yang sudah sememangnya membimbangkan, kini pemain Pokemon GO juga diancam dengan penipuan (scam) SMS Phishing (Smishing).
Dalam pergerakan penipuan ini, penggodam telah cuba memperdayakan mangsa dengan menghalakan mereka kepada laman web yang dibuat khas untuk phishing, dengan nama Pokemonpromo.xxx.
Menurut sumber dari AdaptiveMobile, penggodam menghantar beribu-ribu SMS ke pemain di Amerika Utara, yang mana ia mengandungi URL ke laman web phishing menyerupai laman web Pokemon GO. Laman itu menawarkan ganjaran kepada pemain sekiranya mereka merujuk 10 orang rakan. Pun begitu, ia telah dinyahaktif dan telah pun ditanda sebagai laman phishing.
Selain itu, terdapat juga penipun berasaskan tawaran 14,500 Pokecoins apabila pemain mengumpulkan 100 mata. Mesej tersebut mengandung pautan pemendek URL Google yang akan menghalakan mangsa kepada laman web spam. Penipuan lebih kurang serupa menawarkan giveaway Pokecoins kepada pemain dengan syarat mereka kongsikan kepada 5 orang rakan, bertempat di laman web bernama pokemon.vifppoints.xxxx.
Sebuah laman web phishing yang dinamakan sebagai ‘Pokemon Generator’ dikatakan akan menarik perhatian pemain untuk memberikan maklumat kata nama pengguna beserta kata laluan supaya Pokecoins dapat ditambah ke dalam akaun mereka.