Netflix Gagal Sekali Lagi Dalam Langkah Ketamakan Mereka
Baru sehari Netflix melaksanakan kawalan baru bagi perkongsian kata laluan mereka, nampaknya Netflix sudah menarik balik sistem baru mereka ini. Sejak pengumuman baru mereka, Netflix dikatakan telah kehilangan hampir 30% jumlah pengguna. Tentangan di media sosial juga sangat hebat dan ternyata Netflix tidak boleh menidakkan fakta bahawa perkhidmatan mereka masih hidup sehingga kini kerana perkongsian akaun.
Belum pun sempat saya tulis habis apa mekanisme baru Netflix untuk mengawal perkongsian kata laluan, Netflix sudahpun menarik balik keputusan mereka. Ini menambahkan satu lagi episod kegagalan Netflix dalam ketamakan mereka untuk memaksa pengguna sedia ada mereka yang berkongsi akaun untuk melanggan akaun sendiri.
Antara mekanisme baru yang dibuat Netflix adalah kesemua 5 akaun kongsi perlu berkongsi alamat IP yang sama dari satu sumber internet yang sama seperti WiFi rumah. Akaun kongsi juga perlu mengesahkan akaun mereka setiap 3 hari melalui kod yang akan dihantar ke akaun utama. Selain itu, akaun Netflix juga akan disekat sekiranya ditonton dari lokasi dan alamat IP yang lain. Sekiranya anda ingin menonton Netflix anda di luar rumah contohnya ketika percutian, akaun anda akan dikunci dan hanya boleh dibuka setelah permohonan dibuat kepada Netflix.
Masalah utama yang saya lihat akan berlaku sekiranya langkah ini dilaksanakan adalah kesukaran menggunakan akaun kongsi. Tambahan lagi, tidak semua isi rumah mempunyai WiFi untuk dikongsikan. Kebanyakan dari kita menggunakan pelan internet mudah alih sendiri. Di mata Netflix, ini bermakna akaun ini telah dikongsi secara haram walaupun kesemua mereka tinggal serumah. Netflix juga boleh memilih untuk mengakses lokasi peranti sekiranya mereka benar-benar serius untuk mengharamkan perkongsian akaun namun perlu bersedia untuk menanggung lebih banyak kerugian dengan dakwaan pelanggaran privasi berbanding keuntungan langganan akaun baru.
Tak cukup dengan itu, Netflix dengan muka temboknya membuat kenyataan rasmi bahawa peraturan baru perkongsian kata laluan mereka sebenarnya satu kemalangan yang tidak disengajakan. Menurut Netflix lagi, peraturan tersebut telah dimuatnaik ke dalam halaman peraturan di laman sesawang mereka tanpa mereka sedari. Hmmm…iyalah Netflix, saya percaya. 😌😌😌
Sudah tiba masanya Netflix perlu sedar diri bahawasanya mereka untung kerana perkongsian akaun.
#OMGHNews #Netflix #NetflixBan #CutTheCord