Seperti yang anda tahu, kalau hilang saya buat sementara waktu itu tiadalah lain halnya melainkan hal yang satu itu juga. Apabila saya kembali pasti akan membawa perkara-perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama.
Arakian balik dari pertapaan selama dua-tiga hari adalah sebenarnya saya pergi menuntut ilmu dengan beberapa pakar hal Linux-melinux. Heh..? apa yang menarik? Inilah dia, satu pemain muzik ringkas, berasaskan paparan antaramuka baris perintah (CLI) yang bernama Ncmpcpp dipacu oleh ‘enjin’ MPD yang ringkas tapi powerrr..
Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas:
Sebenarnya hendak dikatakan sukar, ianya agak mudah jika kita telah benar-benar faham cara kerjanya, tapi nak dikatakan mudah untuk menyunting tetapan Ncmpcpp ini, tidaklah pula perlu saya ambil masa beberapa hari untuk jayakan ia (saya seorang noob yang cepat pening..). Sebelum apa-apa, mari kita berkenalan dulu dengan MPD dan Ncmpcpp.
Apa Itu MPD?
MPD ialah singkatan dari perkataan Music Player Daemon. Ia merupakan pemain audio yang mempunyai arkitektur klien-pelayan. Ia memainkan audio, menguruskan playlists dan menyelenggara pengkalan data muzik dengan menggunakan hanya sedikit sahaja sumber (RAM, CPU). Kerana ia ‘daemon’, maka kita faham ia bergerak, berfungsi di sebalik tabir maka pengguna perlukan klien sebagai paparan untuk menggunakannya.
Ncmpcpp
Ncmpcpp atau ncmpc++ ialah klien MPD dalam paparan berbentuk teks yang kebiasaannya digunakan dalam Terminal. Ia mempunyai beberapa fungsi menarik seperti enjin carian, sokongan last.fm dan lain-lain lagi.
Cara Pemasangan dan Suntingan Tetapan MPD + Ncmpcpp:
Saya menggunakan Arch Linux, jadi untuk pengguna distro lain sila rujuk Wiki atau forum masing-masing.
1. Pasangkan MPD, mpc dan Ncmpcpp:
sudo pacman -S mpd mpc ncmpcpp
2. Menetapkan MPD:
mkdir .mpd
Ciptakan folder playlists:
mkdir -p ~/.mpd/playlists
Ciptakan fail-fail yang diperlukan:
touch ~/.mpd/{database,log,pid,state}
Salin isi kandungan config lalai untuk mpd dari /usr/share/mpd/mpd.conf.example ke ~/.mpdconf:
cp /usr/share/doc/mpd/mpdconf.example ~/.mpdconf
Sunting fail config untuk MPD:
sudo nano ~/.mpdconf
Jika anda menggunakan alsa, maka sila sunting fail config seperti ini:
music_directory “/home/namapengguna/Music”
playlist_directory “/home/namapengguna/.mpd/playlists”
db_file “/home/namapengguna/.mpd/database”
log_file “/home/namapengguna/.mpd/log”
pid_file “/home/namapengguna/.mpd/pid”
state_file “/home/namapengguna/.mpd/state”
audio_output {
type “alsa”
name “Beats by Dr. Freddy” <— tuliskan nama yang anda suka mixer_type “software”
}
Jika anda tidak faham, apa yang telah saya lakukan ialah uncomment (padam tanda #) pada setiap baris di atas dan ubah baris tersebut untuk mengikut kepada direktori pengguna, contohnya “/home/drfreddy/Music”.
Tambah MPD pada group audio (optional):
sudo gpasswd -a mpd audio
3. Menetapkan Ncmpcpp:
Untuk menetapkan config Ncmpcpp, gunakan perintah:
sudo nano ~/.ncmpcpp/config
Jika anda mahu lihat contoh-contoh config yang menarik, sila ke pautan ini : Show your .ncmpcpp/config with Screenshot
Untuk memulakan MPD, taipkan dalam terminal ‘mpd’ atau ‘mpd ~/.mpdconf’. Jika tiada masalah dengan sambungan, ia akan terus ‘bind’ kepada port yang telah ditetapkan secara lalai iaitu 6600.
Untuk memulakan Ncmpcpp, anda cuma perlu taip dalam Terminal:
ncmpcpp
Anda akan dapat lihat paparan kosong (blank) pada mulanya. Jika anda hendak menambah lagu-lagu secara cepat, pada mulanya anda perlu kemaskini pengkalan data lagu dengan menekan butang ‘u’ pada keyboard, diikuti dengan menaipkan ‘a’ dan akhir sekali dengan menekan ‘/’ dan Enter. Jika tiada masalah, lagu-lagu yang berada dalam folder muzik anda akan mula ‘masuk’ ke dalam senarai. Untuk mainkan ia, cuma perlu halakan saja pada lagu yang anda suka dan tekan Enter.
Jika anda mahu tahu kekunci pintas lain bagi Ncmpcpp, tekan 1.
Itu sahajakah? Ok.. kalau ada masalah, rujuk sahaja kesemua pautan-pautan yang ada dalam entri ni. InsyaAllah akan ketemu dengan jawapan kepada permasalahan anda. Berikut pula adalah paparan klien MPD dalam bentuk GUI, iaitu Sonata (contoh):