Ini bukanlah teleportasi seperti dalam filem, di mana mereka yang melakukannya dapat berpindah tempat secara fizikal. Tetapi sedikit sebanyak perancangan ke arah itu sedang dijalankan, dan orang yang bertanggungjawab memikirkan kaedahnya pada ketika ini ialah Mark Zuckerberg.
Mengikut garis masa perancangan, menjelang 2030, Zuckerberg berkata pada waktu itu individu boleh menggunakan kaca mata pintar untuk melakukan ‘teleportasi’ ke rumah orang lain, dan bercakap dengan orang di rumah tersebut seakan mereka berada di sana secara fizikal.
Ini membolehkan perjumpaan atau mesyuarat digantikan dengan pengalaman digital berasaskan alat dengar yang dapat melawan perubahan iklim dengan mengurangkan pergerakan dan perjalanan.
Ucapan Zuckerberg itu agak ketara kesannya kerana ia mewakili visi yang padu dari pemimpin industri mengapa pada waktu ini mereka mulai ada taruhan besar pada teknologi realiti terimbuh, yang semakin dilihat sebagai peralihan pengkomputeran berikutnya selepas telefon pintar.
Hasrat Zuckerberg ini nampak sama seakan hasrat Apple, yang memasarkan iPhone terbaru tanpa adapter pengecasan atas alasan ‘untuk alam sekitar’. Tetapi cadangan Zuckerberg ada kebenarannya dalam usaha mengekang pergerakan secara individual semata-mata untuk hadir bermesyuarat – dan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan perjalanan yang melibatkan kenderaan.
Apa yang menariknya mengenai idea ini, jika ‘kena’ dengan individu dan kumpulannya, ‘mengeteh’ tidak akan sama lagi seperti dulu. Tidak lagi perlu ke restoran mamak, hanya perlu duduk di sofa dalam keselesaan rumah sendiri dan ‘teleport‘ sahaja ke rumah kawan. Ianya bagaikan sedang berada di sana, secara langsung dan kita boleh terus berborak, lalu ‘mengeteh’ bersama.
Tonton bola? Tonton gusti? Filem? Ya, boleh hindari dari terkena hujan sewaktu menonton di luar restoran juga. Pancarkan sahaja siaran langsung menggunakan projektor ke dinding lalu tontonlah bersama.
Kelemahan dari teknologi seperti ini barangkali yang memisahkan antara satu dengan yang lain ialah – harga peranti. Tak mungkin harganya semurah TWS bajet.