Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar bukan lagi perkara luar biasa. Ia telah menjadi alat harian sama seperti kalkulator, enjin carian atau buku rujukan digital.
Namun, kebelakangan ini semakin kerap juga kita melihat video dan cerita pelajar yang berdebat, meninggi suara bahkan memperlekeh pensyarah apabila disoal tentang tugasan yang disiapkan menggunakan AI. Ada yang mempertahankan jawapan AI sedangkan mereka sendiri tidak faham isi ditulis dalam tugasan yang dihantar.
Hakikatnya masalah ini bukan kerana AI itu wujud, tetapi kerana cara manusia menggunakannya. AI tidak pernah memaksa manusia menyalin jawapan bulat-bulat. AI tidak pernah menyuruh kita daripada berhenti berfikir.
Apa yang menjadikan tulisan itu kosong jiwa ialah apabila pelajar hanya menekan butang ‘generate’ dan menyalin semula tanpa faham lalu mendakwa itu hasil kerja mereka. Di sinilah bermulanya hilang adab apabila seseorang merasa cukup hanya dengan hasil segera tanpa usaha dari akal dan hati.
Pensyarah bukan menolak teknologi. Ramai daripada mereka turut menggunakan AI untuk menyemak tatabahasa, mencari rujukan atau merancang pengajaran. Apa yang mereka pertahankan ialah nilai ilmu itu sendiri.
Mereka mahu melihat cara pelajar berfikir dan bukan hanya hasil tulisan. Tulisan manusia ada ‘getar’ pengalaman, ada sedikit kesilapan yang jujur dan ada cara penyampaian yang datang dari hati. Ia punyai ‘roh tersendiri’.
Manakan sama penulisan kita dengan penulisan yang datang dari AI. ‘Hamburan’ dari jiwa dan susunan kosa kata bermakna dititip penuh teliti, bukan sekadar menyusun jargon aneh agar orang yang membaca terasa ‘wow’ dengan hasil akhir.
Tulisan AI boleh dilihat sebagai tersusun dan kemas tetapi sering kali ‘hambar’. Atas kerana itulah pensyarah boleh mengenal pasti perbezaannya walaupun sekilas pandang.
Dalam dunia hari ini, kita tidak boleh melarang penggunaan AI. Ia ada dalam telefon, komputer, kamera, malah dalam cermin mata serta aplikasi harian.
Tetapi kita masih boleh memilih bagaimana ia digunakan. Gunakan untuk memahami, bukan menggantikan pemahaman. Gunakan sebagai alat untuk membantu, bukan sebagai pengganti otak.
Apa gunanya karangan sempurna jika pemiliknya tidak mampu menjelaskan semula isi kandungan apabila ditanya di hadapan kelas? Betul tak?
Masalah menjadi lebih besar apabila pelajar merasakan mereka lebih pintar daripada pensyarah hanya kerana mereka tahu menggunakan teknologi. Di sinilah lahirnya sikap biadab apabila teknologi dijadikan alasan untuk mengabaikan adab.
Pensyarah bukan musuh kemajuan. Mereka hanya mahu melihat kejujuran dalam proses menuntut ilmu. Mereka tidak marah jika pelajar menggunakan AI tetapi kecewa apabila para pelajar tidak lagi mahu berfikir dan tidak menghargai usaha sendiri.
Isu ini bukan tentang menolak atau menerima AI. Ia tentang menjaga nilai ilmu dan maruah seorang pelajar. Dunia akan sentiasa berubah, teknologi akan semakin maju, tetapi adab dan pemikiran asli tetap menjadi asas seseorang manusia berilmu.
AI boleh menjawab, menulis dan merancang, tetapi ia tidak boleh menggantikan kejujuran, rasa hormat dan kemampuan manusia untuk berfikir secara tuntas.
Selagi kita sedar hakikat ini, AI akan kekal sebagai alat. Tetapi jika kita lupa, kitalah yang akan menjadi alatnya.
Yang sekali-sekala menulis,
Arya.
Views: 0




