Atas Artikel

Pancing data (phishing) dan penipuan dalam talian semakin meningkat, dan ia tidak terhad kepada satu-satu platform, lokasi atau taktik. Penipu semakin licik dan usaha dalam menangani masalah ini adalah cabaran berterusan yang hanya akan berjaya apabila semua pihak bekerjasama. Ini adalah usaha berterusan Twitter dalam mendidik orang ramai tentang keselamatan dalam talian dan keselamatan akaun. Twitter kerap mengeluarkan panduan untuk mengelakkan penipuan dalam talian melalui Tweet Threads daripada akaun rasmi Twitter, dalam artikel-artikel Help Center, dan juga di blog.

Satu lagi bahagian yang kritikal ialah Peraturan Twitter. Kelakuan seperti menyamar sebagai individu, kumpulan atau organisasi untuk tujuan mengelirukan, memperdaya orang lain, atau menggunakan identiti palsu untuk mengganggu pengalaman orang lain di Twitter adalah bertentangan dengan peraturan yang ada. Twitter juga secara aktif menyingkirkan akaun spam dan mengunci akaun spam yang disyaki tidak dapat melepasi pengesahan manusia seperti captcha atau mengesahkan nombor telefon atau alamat emel.

Demi terus berkhidmat kepada perbualan umum, Twitter percaya betapa pentingnya untuk orang ramai dapat melihat perspektif yang berbeza. Atas tujuan ini, Twitter berusaha untuk mencipta tempat di mana orang ramai boleh mencari maklumat yang tulen dan mempercayai akaun yang mereka pilih untuk berinteraksi atau mengikuti. Sempena Bulan Kesedaran Keselamatan Siber, Twitter kongsikan enam petua tentang bagaimana anda juga boleh membantu dalam memerangi penipuan dalam talian agar anda mempunyai pengalaman yang selamat (dan menyeronokkan) di Twitter.

1. Cipta kata laluan akaun yang kukuh

Melindungi akses kepada akaun Twitter adalah penting. Cara mudah untuk melakukan ini adalah dengan memilih kata laluan yang kukuh dan unik untuk akaun Twitter anda (sekurang-kurangnya 10 aksara, sebaiknya dijana secara rawak dan disimpan dalam pengurus kata laluan).

2. Simpan dan jaga butiran akses peribadi sebaik mungkin

Jangan sesekali berkongsi nombor telefon, emel, @namapengguna, kata laluan atau kod laluan-sekali (OTP) anda dengan sesiapa sahaja. Tetapi, jika ada sebab untuk mempercayai akaun mungkin telah terjejas, tukar kata laluan anda dengan segera.

3. Aktifkan pengesahan dua faktor (2FA)

Pengesahan dua faktor merupakan lapisan keselamatan tambahan. Proses ini memerlukan orang ramai menggunakan kod atau kunci keselamatan dengan kata laluan untuk log masuk dan membantu memastikan hanya pemilik akaun sahaja yang boleh mengakses akaun tersebut. Menggunakan kunci keselamatan ialah cara paling teguh untuk melindungi akaun daripada penipu dan serangan pancingan data.

4. Kawal selia DM anda dengan teliti

Jika anda menerima DM yang mencurigakan, jangan muat turun sebarang lampiran atau klik pada mana-mana pautan dan jangan kongsi sebarang maklumat log masuk – buang DM tersebut dengan segera. Kemudian, semak tetapan DM akaun anda; kemas kini butiran untuk menentukan siapa yang boleh DM anda. Ingat, anda boleh mengawal dan memilih untuk tidak menerima DM daripada mereka yang anda tidak ikuti.

5. Laporkan ke Twitter

Sama ada anda fikir akaun anda telah terjejas, atau anda telah menerima DM spam, laporkannya segera! Tindakan sedemikian adalah bertentangan dengan Peraturan Twitter. Ambil perhatian bahawa Twitter hanya akan menghubungi anda dalam aplikasi atau melalui emel yang dihantar daripada alamat emel @twitter.com atau @e.twitter.com. Twitter tidak akan pernah meminta anda memberikan kata laluan anda melalui emel, Mesej Langsung (DM) atau balasan.

6. Ikuti perkembangan terkini

Pastikan aplikasi Twitter, perisian komputer dan penyemak imbas anda dikemas kini dengan versi terkini – kemaskini dibuat atas sebab tertentu, iaitu melindungi keselamatan anda dalam talian.

Untuk pengalaman Twitter yang selamat dan menyeronokkan, baca amalan terbaik Twitter untuk memastikan akaun anda sentiasa selamat. Baca juga Peraturan Twitter, dan untuk maklumat terkini #WhatsHappening, ikuti @Twitter.

Bawah Artikel

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments