Individu Dipenjara Kerana Menjual Akaun Curi Netflix Dan Spotify

Abam biasa juga gi usya Shopee dan buat carian akaun servis penstriman untuk melihat dan membuat tinjauan. Apa yang kelakar, ramai juga penjual yang memasarkan akaun murahan dengan kata kunci ‘lifetime‘.

Siapa bayor untuk engko lifetime tu? Perdana menteri Uruguay?

Lebih tambah kelakar, tulis ‘lifetime’, tapi diberi ‘waranti’ sekiranya tidak dapat login, akan diganti dengan akaun baru.

Apa ni?

Kalau dah namanya lifetime, atau bahasa Melayunya ‘seumur hidup’, kenapa tak dapat login pula nanti? Melainkan itu akaun;

  1. Curi.
  2. Datang dari leaked database.
  3. Hacked.

Harga yang ditetapkan pun biasanya murah sangat. Bawah RM10. Amboi amboi amboi. Tiada istilah seumur hidup ya untuk akaun penstriman. Bahkan iflix pun minta RM10 sebulan, inikan pula yang ada menyenaraikan filem-filem dari DC dan Marvel.

Itu belum lagi disebut ‘pakej’. Siap VPN pun diberi. Mana datangnya akaun VPN tu kalau bukan…?

  1. Curi.
  2. Leaked database.
  3. Akaun sah yang menggunakan kod promo, akaun percubaan, atau akaun sendiri (ini sahaja yang OK).

Paling, paling, paling tak tahan, jual modded apk, promosikan sebagai ‘lifetime account‘. Kreatif betul orang kita dalam cubaan menjual ni.

Kembali ke berita utama yang berkaitan dengan perkara ini, seorang lelaki yang menjalankan sebuah laman web, yang menempatkan segala jenis akaun penstriman curi, antaranya seperti Netflix, Spotify, Amazon Prime, HBO, Xbox Live, dan EA Origin telah dijatuhkan hukuman penjara selama 26 bulan di Australia.

(Fuhhh, seller Malaysia mesti lega serta-merta ni).

Lelaki berusia 23 tahun itu menjalankan WickedGen, HyperGen, Autoflix dan AccountBot. Menurut pihak polis, ia membolehkan pelanggan menghindari langkah perlindungan teknologi yang dilaksanakan oleh perkhidmatan rasmi.

Apa sebenarnya yang dibuat oleh individu tersebut?

Beliau menjalankan laman web ‘Premium Account Generator‘, yang menjual akses ke akaun-akaun servis penstriman secara pukal pada harga yang murah.

Sebagai contoh, dengan hanya beberapa dolar setahun, laman web WickedGen menyediakan log masuk ke pelbagai platform seperti Netflix, Amazon, Hulu, HBO Now, Crunchyroll, DIRECTV/Now, CBS All Access, dan Funimation.

Anda mahu sukan? Pun ada juga, dari log masuk ke BT Sports, MLB.TV, NBA League Pass, NFL Game Pass, UFC Fight Pass, dan WWE Network. Anda mahukan servis penstriman untuk muzik? Ada Spotify, Deezer, TIDAL, dan sebagainya lagi.

Tetapi, jangan ingat pihak berkuasa hanya mendiamkan diri. Bermula dari tahun 2018, FBI menjalankan siasatan terhadap laman WickedGen dan pada bulan Mei tahun yang sama, mereka merujuk kes tersebut kepada pihak berkuasa Australia.

Siasatan jenayah siber dilancarkan oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) dan pada tahun 2019 seorang lelaki dari Sydney ditangkap kerana disyaki menjadi pengendali WickedGen dan tiga perkhidmatan lain yang serupa iaitu HyperGen, Autoflix dan AccountBot.

Bagaimana cara beliau melakukannya?

Perincian akaun disahkan melalui proses pemadanan kelayakan (credential stuffing), yang membolehkan senarai nama pengguna, alamat e-mel dan kata laluan yang sebelumnya dicuri atau dibocorkan untuk digunakan semula dan dijual pula kepada orang lain yang ingin menikmati akses tanpa kebenaran pemilik akaun.

Masyuk ke tidak bisnes ni? Masyuk la tuan-tuan.

Beliau berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 152,863 pengguna berdaftar dan memberikan sekurang-kurangnya 85,925 langganan untuk mengakses perkhidmatan penstriman yang sah secara haram.

Polis mengatakan bahawa lelaki Sydney yang kini berusia 23 tahun itu telah pun dijatuhkan hukuman penjara selama 26 bulan Jumaat lalu, dan dijatuhkan melalui Perintah Pembetulan Intensif (ICO).

ICO adalah hukuman mahkamah yang dijatuhkan di luar penjara di bawah pengawasan ketat dan merupakan hukuman paling serius yang boleh dijatuhkan kepada pesalah. Lelaki itu juga diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x