Penyelidik di Google dan Universiti Tel Aviv berjaya Hasilkan AI yang Berupaya Menghasilkan Permaian Video Tanpa Coding dan Objek
Dunia teknologi dikejutkan lagi dengan hasil penemuan baru dalam keupayaan AI. Penyelidik di Google dan Universiti Tel Aviv baru sahaja menerbitkan kertas kajian AI mereka. Kajian yang diberi nama “GameNGen” itu bekerja dengan menghasilkan permainan video dengan menjana piksel gambar yang bertindak balas dalam masa-sebenar.
Model AI ini dilatih dengan menyuap gambar dan rakaman permainan video DOOM dari internet. Dengan menggunakan Stable Diffusion, GameNGen telah berjaya menghasilkan permainan video DOOM mereka sendiri. AI ini telah mengkhayalkan sebuah permainan video dalam masa sebenar hanya dengan set arahan yang diberikan. Ini dilakukan dengan menjana semua piksel bagi menghasilkan gambar dan tindak balas persis sebuah game sebenar.
Klip pendek rakaman permainan video sebenar dan rakaman hasil daripada janaan AI ini kemudiannya ditunjukkan kepada beberapa responden. Setiap klip pendek berdurasi selama lebih kurang 1.6 saat dan 3.2 saat. Responden mengalami kesukaran untuk memilih di antara rakaman permainan sebenar dan rakaman klip GameNGen dalam proses kaji selidik hasil kajian dengan ketepatan tekaan sebanyak 60% bagi klip permainan video sebenar.
Adakah Ia Sudah Boleh Digunakan Sekarang?
GameNGen masih lagi di peringkat awal dan penuh dengan limitasi. Pertama sekali, ia hanya dilatih dengan 1 permainan video sahaja secara spesifik, iaitu DOOM 1993. Ia adalah game yang sudahpun wujud dengan jutaan sumber yang boleh diambil untuk melatih model AI ini. Untuk permainan lain yang lebih moden dengan grafik yang lebih terperinci, model AI ini mungkin tidak mampu lagi untuk memproses tindakbalas setiap piksel dalam permainan video tersebut.
Tambahan lagi, GameNGen hanya menganalisa piksel sahaja dan ‘meneka’ apakah yang akan berlaku pada piksel di kawasan tertentu jika piksel di kawasan lain bertindak balas dalam cara tertentu. Contoh: jika piksel di tengah skrin bertukar merah, menandakan anda telah ditembak. Maka, piksel di bawah skrin yang menempatkan bar nyawa anda pasti akan berubah dan bertukar warna. Itulah cara model AI GameNGen berfungsi.
GameNGen tidak mampu menghasilkan sebuah plot dan penceritaan sebuah permainan video, tapi hanyalah mengubah piksel gambar secara individu. Untuk menghasilkan sebuah permainan video yang unik, ada penceritaan dan ciri unik, sentuhan kreatif dan organik daripada manusia masih diperlukan.
Apa Potensi Kajian Ini?
Kertas kajian ini beri gambaran di masa akan datang, pembangunan permainan video mungkin tidak lagi memerlukan game engine dan pengaturcaraan. Mengapa perlu membuat pengaturcaraan yang rumit dan membina objek satu demi satu jika AI boleh terus hasilkannya sendiri dengan hanya menggunakan baris arahan? Ia akan mengambil masa lebih kurang 10 tahun untuk teknologi ini matang. Mungki di masa akan datang, penghasilan permainan video akan lebih cepat dan mudah kerana isu-isu ralat grafik dapat dibaiki hanya dengan AI yang mengawal piksel.