Fon Kepala Mondo On-Ear Freestyle: Estetika Retro, Mekanika Moden!

Era 80an menjanjikan kepelbagaian produk berkualiti, terutama dalam niche audio. Setidaknya andai kualiti audionya tidak segah diharap hati, pasti sekali ia tahan lama – tidak seperti produk zaman kini yang baru dibeli sudah dikait waranti.

Tetapi sekarang bukan kita hendak mengungkit atau terlampau mengenang kisah lama zaman 80-90an. Artikel ini ingin membicarakan tentang satu produk terbaru oleh Mondo by Defunc iaitu Fon Kepala Mondo On-Ear Freestyle.

Melalui reka bentuk luaran, dapatlah kita mengenali kumpulan sasar bagi pembelinya, iaitu mereka yang rindu kepada rekaan lama, dalam masa yang sama masih inginkan kemodenan dari segi ciri lainnya.

Jika anda inginkan TL;DR, cukuplah sekadar saya katakan ini ialah cinta terbaru saya dalam dunia pendengaran muzik. Jika anda masih tegar mahu mengetahui secara keseluruhan ciri dan pelbagai lagi elemen menarik diketengahkan oleh fon kepala ini, ayuhlah kita teliti terlebih dahulu segmen buka kotaknya. Mari!

Iklan Google

Berikut ialah foto-foto yang sempat saya ambil. Tataplah dengan nikmat, maklum saja bulan puasa (ketika artikel ini ditulis) kita tidak dapat menjamah, hanya dapat menatap sahaja makanan dengan penuh kesabaran.

Spesifikasi Teknikal (untuk membantu anda yang kebosanan tidur lebih pantas):

  • Bluetooth 5.3
  • USB-C untuk pengecasannya
  • Bateri berkapasiti 200mAh
  • Pemacu bersaiz 36mm
  • Mikrofon berkembar
  • Jangkaan hayat bateri: 22 jam
  • Waktu bercakap: 20 jam (telinga tak terbakar ke?)
  • Mikrofon dengan ciri ENC
  • Masa pengecasan: 1.5 jam
  • Kadar sensitiviti: 105 DBSL
  • Jarak frekuensi: 20Hz-20kHz
  • Penyahkodan HD

Apa ada dalam kotak?

1x fon kepala Mondo On-Ear Freestyle
1x Bag penyimpanan
1x Kabel pengecas USB-C
1x Set Ganti Bagi Span Telinga
1x Buku Manual Panduan Pengguna

Apa boleh saya katakan mengenai fon kepala ini?

Pertama sekali, saya ingin mengetengahkan seperkara, iaitu ‘HD Decode‘ atau ‘penyahkodan HD’ seperti yang dicatat pada laman web Mondo by Defunc. Untuk sesiapa yang tidak tahu, ‘decode‘ dimaksudkan ialah codec AAC. Tidak terdapat codec aptX setakat diuji cuba oleh saya. Apa pun, adakah kualiti audio dihasil oleh fon kepala ini tidak memuaskan?

Disinilah seperkara lagi yang mengejutkan terjadi kepada telinga saya yang tidak bersalah ini. Ia mula mendapati pelbagai jenis bunyi serta instrumen yang sebelum ini tidak terdengarkan. Bukan kerana saya pekak (boleh jadi juga), tetapi ia adalah kerana pemacu diguna pakai kali ini oleh Mondo Freestyle berjaya menghasilkan audio luar biasa enak.

Atas kerana itu, saya merasa agak aneh, apabila mendapati sangat kurang ulasan bagi produk ini. Pada saya ini tidaklah adil dek kerana pertamanya harga bagi Mondo Freestyle ini tidak begitu tinggi. Kedua dengan harga sebegini, anda memiliki sebuah fon kepala berkualiti premium. Jadi, bagaimanakah dapat digambar bunyi pemacu di telinga?

Iklan Google

Begini – dum dum ceng. Dum dum ceng.

Ok, gurau.

Pada hemat telinga saya yang sudah sekian lama bergelumang bersama muzik metal ini, soundstage atau pentas bunyi kedengaran agak luas. Setelah memainkan lagu NSYNC – Tearin’ Up My Heart, saya merasakan walau ia tidaklah seakan berada secara langsung dalam konsert NSYNC, audio terhasil mampu membuat diri ingin bersedekah roti Gardenia di seluruh tadika dalam negeri Perak ini. Begitulah, hebat bukan?

Jika anda berminat hendak melayan senarai main lagu-lagu cinta yang ‘evergreen’, tak luput dek zaman dan tak lekang dek heatwave, di sini ada kesemuanya:

Iklan Google

Jika anda ingin membaca ulasan lebih terperinci tentang audionya, saya tidak boleh menghalang kemahuan tersebut. Maka ini ialah sebahagian daripada apa yang saya dapati menerusi beberapa senarai main dan beberapa waktu hilang akal sementara dek kerana lagu-lagu dilayan membawa roh keluar berjalan-jalan dalam alam astral sebentar:

Pentas Bunyi Keseluruhan: Pentas bunyi merujuk kepada lebar dan kedalaman muzik yang dirasakan. Disebabkan reka bentuk pada telinga (on-ear), pentas bunyi Mondo Freestyle mungkin dianggap sempit atau tertutup berbanding fon kepala atas telinga. Ini boleh menjejaskan perasaan tenggelam dalam muzik. Pun begitu, jika jiwa sudah ke arah dunia muzikal, ini bukanlah halangan besar.

Bass: Lazat. Perlukah perkataan lebih panjang lagi? Barangkali talaan pemacu 36mm fon kepala ini sememangnya dihala ke arah kesedapan bass. Tiada apa yang tidak kena mengenai hal itu, cuma bagaimana pula dengan yang lain? Teruskan membaca. Mungkin anda akan berjumpa dengan apa dicari.

Mid (Pertengahan): Kedengaran agak baik, tidak terlalu tenggelam diakibatkan oleh talaan bass yang mantap seperti ditulis di atas.

Iklan Google

Treble: Ketika mendengarkan lagu Sil Khannaz – Saktimuna, saya berpendapat mungkin bahagian ini sahaja ia tidak terlalu ‘lazat’ untuk santapan halwa telinga. Ya, lagu-lagu cinta 80an sudah boleh menjadi ‘makanan’ kepada Mondo Freestyle ini, namun bagi lagu-lagu metal, ia perlukan talaan lain. Untuk itu, aplikasi MONDO by defunc dimuat turun di Google Play Store.

Iklan Google

Setelah membuat penalaan sendiri, barulah bunyi treble dapat didengarkan dengan lebih enak berbanding talaan lalai. Anda boleh lihat gambar-gambar berikut untuk paparan antaramuka pengguna aplikasi MONDO by defunc:

Kalau pun ada sesuatu tidak digemari, saya katakan ia hanya pada nilai estetik luaran yang apabila cuba diraba untuk diguna dalam kegelapan bilik tidur, maka agak sukarlah penggunaan kerana segalanya gelap belaka.

Kalau tidak percaya, lihatlah pada gambar di bawah ini. Agak sukar juga mencari di manakah kedudukan butang untuk menghidupkannya.

Konklusi:

Fon kepala Mondo On-Ear Freestyle ini adalah sebuah manifestasi rasa cinta dan rindu kepada nostalgia reka bentuk gajet sezaman Sony Walkman, manakala audionya pula ialah gabungan kepakaran moden jurutera bunyi masa kini.

Ia sesuai dijadikan sebagai peneman, sementelah saiznya yang agak kecil, beserta beratnya yang begitu ringan. Letakkan saja di leher, tidak akan terasa ia setia bersama. Bila hendak mendengarkan lagu, sarung terus di kepala, dan nikmati irama muzik di mana saja anda berada.

Sekiranya berminat, pembelian boleh dibuat di Shopee: Mondo On-Ear Freestyle Headphones

Iklan Google
Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at arya@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img