Linux mempunyai masalah yang sama dengan derivatifnya, Android, iaitu fragmentation yang diakibatkan dari banyaknya distro di luar sana dengan pembangunan berbeza-beza.
Lalu Linux terpecah menjadi pelbagai varian, yang boleh dikatakan sebagai satu rahmat dan sumpahan serentak kepada sistem operasi ini.
Kita boleh bicarakan ia sehari suntuk dan ia tidak akan habis dengan sempurna. Tetapi dari pemecahan atau fragmentasi ini, kita memperoleh berbagai jenis distro yang menarik untuk digunakan bagi tujuan kerja seharian.
Salah satunya ialah Feren OS.
Kita sebut terus perkara negatif mengenainya yang saya tidak suka iaitu laman rasmi distro ini dihoskan di Weebly. Tampak tidak begitu profesional dan meyakinkan.
Pun begitu, letakkan perkara negatif itu ke samping kita, Feren OS setelah dipasang kelihatan matang dan agak menyeronokkan untuk diguna. Berikut adalah paparan bagaimana rupanya setelah ia dipasang.
Feren OS kini tidak lagi berasaskan Linux Mint, sebaliknya ia berasaskan Ubuntu, dan menurut pembangunnya ia adalah Ubuntu ‘stripped down version’. Bererti pembangunnya telah mencorak dan mengubah Ubuntu sehingga tiada lagi identiti yang tinggal.
Perkara yang menarik pada saya, ia sudah beralih kepada KDE Plasma dari Cinnamon yang digunakan pada suatu masa dahulu. KDE Plasma sudah melalui evolusi yang banyak, dan boleh dikatakan ia sangat ringan kepada sistem dan tidak banyak menggunakan sumber memori peranti.
Sistem operasi Feren OS tidak menggunakan menu tradisional KDE Plasma, sebaliknya ia telah menyediakan Simple Menu yang pada saya, lebih cantik, dan lebih mesra pengguna kerana ia tampak tidak ubah seperti Slingshot Menu pada elementary OS.
Apa yang agak mengejutkan saya ialah sistem operasi ini tidak menggunakan pelayar Firefox seperti kebiasaan yang kita dapat lihat pada distro-distro Linux yang lain.
Ia menyediakan pelayar Vivaldi, yang bukan bersumber terbuka, Pelayar tersebut berasaskan Chromium (yang bersumber terbuka) tetapi ia diubah (forked) dan kodnya tidak terdapat pada orang luar untuk dilihat atau dinilai.
Pun begitu, saya adalah peminat Vivaldi, dan langkah ini adalah amat dialu-alukan.
Walaupun begitu, jika anda tidak sukakan Vivaldi, anda boleh memasang pelayar web yang lain dengan begitu mudah sekali hanya dengan menggunakan Web Browser Manager yang sememangnya menjadi ‘trademark’ Feren OS sejak dulu.
Hanya perlu klik butang install pada mana-mana nama pelayar yang anda mahu dan tunggu sehingga prosesnya selesai. Tidak perlu tercari-cari lagi. Inilah dia yang diperlukan oleh para pengguna baru Linux, iaitu sesuatu yang memudah dan melancarkan pembelajaran mereka.
Selain itu, apa yang saya suka ialah betapa mudahnya untuk pengguna mengubah apa yang mereka inginkan pada persekitaran meja ini dengan semudah ABC. Contohnya tema, jika hendak menjadikan ia berubah kepada tema gelap hanya perlu cari aplikasi Global Theme, dan ubahlah ia kepada Feren OS Dark.
Oh, percayalah, segalanya jadi lebih cantik setelah ia gelap.
Kesemua yang saya catatkan di atas hanyalah permukaan sahaja kepada Feren OS. Masih banyak lagi yang tak mampu saya tulis dalam satu artikel. Maka langkah yang lebih sesuai buat anda ialah, cuba sendiri dan rasai apa yang berbeza dengan sistem operasi berlogo burung yang tidak diketahui spesisnya itu.
Muat turun fail ISO di laman rasmi, di sini: Feren OS.