Tidak pasti sejauh mana elementary OS telah berubah dan berevolusi dari versi sebelumnya, namun dengan hadirnya versi terbaru kemas kini kepada Loki, iaitu versi 0.4.1 ini, percubaan semula dilakukan demi mendapat gambaran akan pembangunannya.
Ternyata setelah mencuba, elementary OS Loki ini masih lagi belum mampu menyaingi pesaingnya dari segi paparan antaramuka pengguna mahupun pengalaman kepenggunaan bagi setiap pengguna itu sendiri.
Ia masih lagi kekal tegar dengan pelbagai sekatan terhadap pengguna. Ini tidak beberapa baik buat pengguna yang baru mengenali sistem operasi Linux.
Ia masih tertutup, masih berada dalam kotaknya yang tersendiri.
Jika anda mahu menggunakan sistem operasi ini, adalah disarankan agar anda memasang elementary Tweaks. Oh ya, ia juga bukan satu aplikasi ‘tweaker’ yang berasingan. Tidak, tidak, ia disatukan dalam System Settings.
Tidak banyak yang dapat dilakukan melalui ‘tweaks’ tersebut. Cuma sedikit sebanyak bolehlah diubah mana-mana tetapan yang dirasakan menghalang atau ‘mengganggu’.
Sebagai contoh, salin dan tampal baris perintah dengan sudo akan diberikan ‘amaran’ ringkas seperti ini.
Mungkin untuk mereka yang tahu akan pilihan mengubah tetapan melalui Tweaks tidak akan ada masalah. Namun buat pemula, mereka akan terkial-kial mencari di manakah puncanya untuk ditutupi.
Oh, tidak lupa juga antara aplikasi yang sedikit menjengkelkan ketika hendak digunakan ialah pelayar webnya. Betul, kita boleh pasang pelayar web lain, tetapi untuk pengalaman luar kotak, sepatut-patutnya ia memberikan ciri penuh dan kepuasan.
Nampak? Urghhh.
Jangan bagi saya sentuh pula tentang reka bentuknya, serta lain-lain aplikasi lalai yang ada. Anda nak tahu anda boleh cuba sendiri.
Itu belum lagi disebut tentang apa yang telah tersedia di dalamnya. Jika hendak dibandingkan dengan saiz ISO-nya yang bagak, kita pasti akan menjangka terdapat pelbagai aplikasi tersedia dari mula. Oh tidak, sangkaan meleset sama sekali.
Tiada codecs untuk multimedia yang baik, tiada aplikasi atau perisian pejabat, tiada aplikasi sesuai untuk menyunting gambar atau video, dan sebagainya. Aneh, apa yang dimuatkan dalam ISO sebesar itu saya masih berfikir lagi.
Ya, dulu saya kagum dengan elementary OS ini disebabkan ia berlainan dari distro Linux yang lain. Pada waktu mulanya ia sangat pantas, namun dengan versi 0.4.1 ini dirasakan sedikit ‘lemau’ pula, seperti biskut Merry yang dicicah Milo panas tetapi terlajak cicah.
Mungkin ini bukan reviu, tetapi lebih kepada susulan. elementary OS ini sesuai untuk mereka yang hendak show off kepada rakan-rakan yang mereka sedang menggunakan sebuah sistem operasi Linux seakan macOS. Namun buat pemula, anda disarankan agar cari sahaja distro lain.