Divoom pernah mengeluarkan satu pembesar suara dengan ciri yang sama sebelum ini iaitu Divoom Ditoo. Terkini, mereka keluarkan pula versi baru iaitu Ditoo Plus.
Tiada perbezaan ketara antara keduanya melainkan butang atau ‘papan kekunci’ pada Ditoo Plus mempunyai lampu RGB. Itu sahaja.
Seperti biasa, mari kita tonton dahulu video buka kotak untuk Divoom Ditoo Plus ini.
Spesifikasi Divoom Ditoo Plus
Dimensi: 90 x 114 x 121mm.
Saiz pembesar suara: 45mm.
Kuasa pengeluaran: 10W.
Nisbah isyarat ke bunyi: ≥80dB.
Kapasiti bateri: 3000mA.
Voltan bateri: 3.7V.
Tempoh pengecasan: 4 jam.
Tempoh main semula: sehingga 8 jam.
Bluetooth: v5.0.
Berat: 505g.
Tindak balas frekuensi: 80-20K Hz.
Jarak tanpa wayar: 10M/33 kaki.
Ciri Divoom Ditoo Plus
Ditoo Plus tidak terhad hanya sekadar menjadi pembesar suara bluetooth semata-mata. Divoom tahu apa yang mereka cuba tawarkan dalam pakej kecil ini.
Saya ingin menyebut mengenai kualiti audio pada pembesar suara ini terlebih dahulu. Meskipun hanya 10W, dan bersaiz agak kecil, Ditoo Plus ialah sebuah pembesar suara yang… ‘bersuara’ lantang!
Benar, lantang atau kuatnya audio belum bererti kualitinya bagus. Untuk Ditoo Plus, saya telah mencuba pelbagai jenis lagu, dan pelbagai jenis audio. Cukuplah saya katakan audionya amat memuaskan hati, terutamanya jika anda gemar strim kandungan di internet.
Jurutera audio Divoom sememangnya memahami pelbagai ragam dan kategori pengguna yang mereka cuba puaskan.
Tidak kiralah sama ada anda peminat muzik, atau peminat filem, anda akan menikmati bunyi yang memuaskan hati dari pemacu kecilnya. Kecil-kecil cili padi, bukan sebarang kecil, bunyinya menggegar rumah.
Tetapi hebatnya Ditoo Plus tidak terhad hanya pada kualiti audionya. Ia punya ciri lain yang jarang ada pada produk seperti ini.
Perkara pertama yang saya ingin sentuh ialah ciri Pixel Arts. Ia memberikan ‘rasa’ dan rupa retro, tetapi dalam masa yang sama dimodenkan dengan warna dan animasi.
Anda boleh membuat tetapan Pixel Arts yang anda sukai menggunakan aplikasi Divoom yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store. Bahkan anda juga boleh mencipta sendiri Pixel Arts, dan kongsikan dengan komuniti yang tercipta dari rangkaian pengguna Ditoo dan Ditoo Plus.
Selain itu, Ditoo Plus juga boleh digunakan sebagai penggera, pemberitahu notifikasi, radio (menggunakan aplikasi), dan sebagainya lagi. Semua ini anda boleh terokai sendiri dalam aplikasinya.
Ditoo Plus mampu dijadikan sebagai pembantu peribadi dalam urusan kehidupan seharian. Sama ada hendak mainkan lagu, hendak tahu mengenai cuaca, notifikasi aplikasi, pelbagai perkara dapat dijalankan pada Ditoo Plus, asal saja anda bersedia untuk belajar dan sabar meneliti aplikasi Divoom yang penuh dengan pelbagai pilihan.
Reka Bentuk Ditoo Plus
Mari kita lihat dan teliti beberapa bahagian pada pembesar suara Ditoo Plus ini. Kita mulakan dari hadapan dahulu.
Pada bahagian hadapan terdapat kayuria yang boleh digunakan untuk memilih pilihan dalam tetapan. Ia juga boleh digunakan untuk merekod nota suara.
Di bahagian atas terletaknya jaring yang mengeluarkan bunyi. Jangan dekatkan telinga anda di sini kalau tidak mahu menjadi pekak serta-merta.
Bahagian bawah hanya terdapat penerangan ringkas spesifikasi. Tiada apa yang menarik.
Di sebelah kayuria pula terdapat beberapa butang berupa papan kekunci kecil. Ia boleh digunakan untuk mengakses menu, menukar kadar kelantangan, kadar kecerahan, menukar paparan skrin, dan menukar pilihan dalam menu.
Di sebelah kanan pembesar suara ini ada slot untuk kad SD mikro, butang penghidup/pemati, dan slot pengecasan USB-C.
Konklusi
Divoom Ditoo Plus bukan sekadar pembesar suara bluetooth biasa. Ia juga mampu menjadi penghibur tatkala anda keserabutan, dan juga mampu membantu memperingatkan anda mengenai apa-apa acara yang patut anda ingati.
Dengan kualiti audio yang melangkaui jangkaan, ia memberi lebih nilai pada wang anda.
Buat anda yang berminat, bolehlah terus membuat pembelian melalui pautan:
Divoom Ditoo Plus Art Game Portable Bluetooth Speaker
“Pekak serta-merta” hahaha, terbaik min