Hanya sehari selepas model Summer dibawa keluar dari kilang, BQEZY berbesar hati menghubungi saya secara peribadi di profil Facebook saya, mengatakan bahawa mereka mempunyai model baharu yang sesuai untuk diulas di omghackers.com. Selaku penulis, saya tidak menolak kerana saya belum pernah lagi mencuba sebarang produk dari jenama ini.
Selang beberapa hari, Summer sampai di depan pintu rumah. Tanggapan awal saya, kotaknya agak kompak, dengan reka bentuk ringkas. Di belakangnya terdapat cetakan spesifikasi beserta gambar Summer.
Belum buka kotak, saya sudah pun jatuh cinta dengannya. Pun begitu, ia tetap tidak akan mengubah pendapat peribadi saya mengenainya, kerana saya tetap akan menulis fakta dan bukan sesuatu sekadar untuk menyedapkan hati syarikat. Apa pun, mari kita lihat video buka kotaknya dahulu.
Spesifikasi BQEYZ Summer
1. Model: Summer
2. Pemacu Dinamik: 13mm
3. Impedansi: 32 Ω
4. Kepekaan: 107dB
5. Frekuensi: 7-40KHz
6. Panjang Kabel: 1.2m
7. Jenis Pin: Pin 0.78mm-2
8. Jenis Palam: 3.5mm
9. Unit pemacu: unit piezo elektrik 5 lapisan, pemacu dinamik Coaxial 13mm dengan diafragma PU+LCP, dan unit disesuaikan armatur seimbang versi baru.
10. Kandungan dalam kotak: Fon telinga Summer, kabel, sarung pembawa, sikat/berus kecil, eartips silikon (S/M/L) dari 2 jenis eartips dalam pelbagai saiz.
Reka Bentuk
Pertama sekali saya ingin bicarakan mengenai reka bentuk luaran BQEYZ Summer yang menggunakan bekas lutsinar sebagai tampilan IEM. Dari senarai spesifikasi, material digunakan ialah PU+LCP, dan ia tidak terasa seperti plastik tipikal. Bekasnya terasa mantap, mempunyai berat yang dapat dirasai.
Kabelnya pula lembut, tebal, dan berkualiti. Summer secara keseluruhan punyai pakej lengkap sebagai produk unggul – apabila dilihat dari luaran.
Apabila kotak dibuka, di dalamnya menempatkan pelbagai aksesori berguna seperti satu berus kecil yang boleh digunakan untuk membersihkan bekas/cengkerang IEM, satu sarung/bekas pembawa yang memudahkan anda menyimpan serta membawa IEM anda ke mana-mana sahaja.
Tidak lupa juga dengan pelbagai saiz eartips yang boleh dipilih dari dua jenis/warna. Saya tidak dapat memastikan apakah beza antara keduanya, tetapi eartips berwarna putih lebih selesa disarungkan ke dalam telinga saya.
Dari pakej diberikan, inilah antara isi kandungan dalam kotak yang amat memuaskan hati saya. Tetapi, itu kita baru bicarakan imbasan luaran dan reka bentuk Summer. Bagaimana pula dengan kualiti audio?
Kualiti Audio
Seperti kebiasaan, saya enggan meleret panjang dan ingin terus membawa anda kepada agenda utama ulasan gajet audio – iaitu kualiti audionya.
Summer ditala dengan agak.. aneh sedikit, jika itu perkataan yang dapat saya ungkapkan untuknya. Kebiasaannya untuk produk audio dalam kategori pertengahan dan menuju ke mercu (high end), ia akan ditala dengan talaan seimbang. Tetapi untuk Summer, audionya kedengaran agak ‘terang’ (bright), tetapi bukan nyaring seperti v-shaped.
Apabila mendengar pelbagai lagu pop dari tahun 90an, vokal dapat didengari dengan begitu jelas sekali. Bahasa mudahnya, frekuensi pertengahan (mids) adalah amat jelas, terang, tajam, tepat, dan jitu, tanpa menjadikan bunyi terlalu menyakitkan telinga.
Treble/high ditala dengan baik sekali. Ia tidak nyaring, dan tidak melelahkan telinga. Bunyi Cymbal diketuk tidak ‘pecah’, walaupun saya tidaklah mengatakan kualitinya seakan bunyi studio.
Panggung suara agak baik, dan kadar kejelasan berada di tahap memuaskan. Berikut ialah antara senarai main yang saya dengarkan menerusi Summer.
Bass
Bass bagi Summer adalah mencukupi. Tidak terlalu berdentum, tidak pula hilang di celah frekuensi lain. Untuk golongan audiophile, Talaan bunyi seimbang seperti ini amat menyenangkan halwa telinga.
Saya mendengarkan lagu Michael Jackson – Billie Jean, dan bassnya (gitar bass) dapat didengarkan melalui sebelah kiri dengan lebih jelas seolah-olah saya sedang berdiri di dalam studio jamming, apabila mata dipejam dengan rapat.
Membawa ke lagu seterusnya iaitu Beat It, talaan ‘aneh’ Summer semakin dapat dirasai apabila suara Michael agak kuat sekali, namun tidak mengaburi alat muzik dan pada saya bunyi solo gitar adalah sangat memuaskan.
Mid
Frekuensi ini ialah antara yang begitu menonjol tetapi tanpa menenggelamkan frekuensi lain. Audio berbunyi dengan harmoni bersama vokal, gitar, dan pelbagai unsur lain. Lagu Jason Derulo – Take You Dancing berjaya menunjukkan kekuatan Summer. Bass menyelinap ke dalam lagu diiringi nyanyian Derulo, semuanya seperti berada di atas panggung yang setara.
Mendengarkan Michael Jackson kembali pada lagu Thriller, mengingatkan saya akan mengapa saya begitu sukakan lagu ini yang dipenuhi dengan vokal iringan dan instrumen muzikal yang meriah seperti saxophone.
Suara Michael yang diterapkan di belakang di hujung lagu, dan suara naratif berselingan lancar bagi melengkapi intipati penyampaian akhir bahawa Michael sedang cuba menakutkan teman wanitanya dalam panggung wayang (motif sebenar lagu Thriller).
High
Frekuensi ini agak ‘mencabar’ terutamanya bagi pendengar lagu metal seperti saya. Memainkan lagu Cannibal Corpse – Murderous Rampage, terus mengejutkan gegendang telinga dek bunyi gitar yang nyaring. Peminat Brutal Death perlu rendahkan sedikit frekuensi treble dalam equalizer bagi mendapatkan bunyi gitar yang lebih tepat.
Tetapi tidak semua lagu metal jadi begitu. Antara lain contohnya lagu Cromok – I Do, bunyi gitar dimainkan Hillary Ang terasa ‘kena’ dengan talaannya. Pendapat saya ini lebih bergantung kepada jenis atau genre lagu dimainkan.
Selain itu, lagu Slipknot – Orphan, menunjukkan bahawa Summer ialah IEM yang versatil dan mampu memperdengarkan kualiti dalam setiap lagu serta genrenya. Bunyi cymbal terdengar bersih, sepertimana yang sepatutnya. Jeritan Corey Taylor ialah elemen muzik yang berjaya diketengahkan dalam kebisingan.
Konklusi
BQEYZ Summer memerlukan penalaan equalizer yang baik bagi mengurangkan kadar bunyi frekuensi treble sekiranya anda pendengar tegar Cannibal Corpse. Selain itu, tidak banyak yang perlu dilakukan untuk terus menikmati audio dari IEM ini. Kalau anda hendak menambah ‘perisa’, boleh saja gunakan DAC luaran untuk menambah dentuman.
Saya mengesyorkan untuk anda mencuba IEM ini supaya dapat merasakan pengalaman berbeza apabila anda mendengar lagu menggunakan BQEYZ Summer.
Sebarang urusan pembelian, bolehlah anda lakukan pada pautan:
Shopee / Lazada / AliExpress