Dalam dunia IT yang semakin rancak ini, hampir kesemua tugasan memerlukan komputer peribadi untuk disempurnakan. Pelbagai tugas memerlukan kita menggunakan komputer samada untuk menyimpan rekod, menghasilkan produk, mahupun untuk menyempurnakan tugasan harian seperti memantau tahap kecergasan ataupun memindahkan gambar daripada peranti kepada simpanan mudah alih.
Ini memerlukan sistem anda supaya sentiasa berada dalam keadaan stabil dan selamat kerana ia banyak menyimpan data dan maklumat peribadi anda. Malahan, daripada data-data dan maklumat ini, ada yang sangat sulit dan bersifat peribadi. Sudah tentulah anda tidak mahu ia jatuh ke tangan orang lain yang hanya ingin mengambil kesempatan di atas kesusahan anda.
Berbagai cara yang digunakan oleh samseng dan pengganas siber ini untuk mencuri data anda dan merosakkan kestabilan sistem komputer anda bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan. Apabila data ini jatuh ke tangan mereka, maka keselamatan dan privasi anda akan terancam. Mereka mungkin mengugut anda dengan tebusan data yang dicuri mereka. Ataupun, mereka akan menyebarkan terus atas sebab-sebab tertentu.
Antara langkah keselamatan yang biasanya diambil dan disyorkan oleh pakar keselamatan IT ialah dengan memasang antivirus pada komputer anda untuk menghalang kecurian data dan kerosakan sistem ini daripada berlaku. Perlindungan premium antivirus pula ditawarkan dengan tanda harga yang turut sama premium. Perlindungan premium lebih menyeluruh dan selamat berbanding dengan perlindungan percuma yang lebih asas dan tidak mencukupi.
Atas sebab ini, ramai pengguna yang memilih untuk mencetak rompak perlindungan antivirus premium bagi mendapatkan perlindungan premium tetapi pada harga percuma. Persoalannya, adakah perbuatan mencetak rompak antivirus premium ini benar-benar selamat dan memberikan anda perlindungan sama seperti antivirus yang dibeli secara sah? Adakah penggunaan antivirus premium cetak rompak ini tidak mempunyai risiko?
5. Trial Reset
RISIKONYA? Aplikasi keygen tersebut mungkin berupaya menghasilkan nombor siri yang legit, tetapi pada coding aplikasinya, mungkin telah dimasukkan dengan kod hasad. Apabila anda menggunakan keygen tersebut, ia mungkin akan meminta kebenaran sistem anda untuk melakukan pemasangan. Apabila anda memberikan kebenaran, anda berjaya memperoleh nombor siri untuk antivirus anda, tetapi sebagai galang ganti, anda telah memberikan kunci rumah anda kepada pembina keygen tersebut.
2. CRACK PATCHER
Crack patcher secara asasnya lebih mudah digunakan berbanding keygen. Anda cuma perlu menjalankan aplikasi ini ataupun memasang patch pada komputer anda. Ia bertindak dengan melakukan perubahan pada perisian antivirus itu sendiri pada lokasi akar ataupun mungkin pada perisian itu sendiri. Selalunya, pencipta aplikasi patcher akan memerlukan anda untuk menyahaktifkan fungsi perlindungan pada antivirus anda bagi membolehkan perisian antivirus tersebut diubahsuai.
RISIKONYA? Anda telah menyahaktif fungsi perlindungan pada perisian antivirus anda. Anda mungkin telah melakukan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Sekiranya perisian antivirus anda sendiri pun telah disuntik dengan kod hasad, apatah lagi keseluruhan komputer anda. Pelayan database antivirus anda mungkin telah diubahsuai oleh patcher tadi dan setiap kemaskini antivirus anda bukannya menambahkan sekuriti komputer anda, tetapi telah lebih merosakkan integriti keselamatan komputer anda.
3. REPACK
Repack bagi saya adalah kaedah mendapatkan antivirus cetak rompak yang paling berbahaya. Ini kerana, segala isi kandungan pakej pemasangan itu tidak diketahui. Anda hanya mampu berpegang pada janji pencipta bahawa segala isi pakej tersebut selamat. Bukan sesuatu yang jarang berlaku apabila pengguna memasang pakej repack ini, mereka secara tidak sengaja juga telah terpasang miner dan backdoor untuk pencipta repack tanpa mereka ketahui.
RISIKONYA? Semua sekali. Anda mengambil risiko terbesar dengan menggunakan repack. Anda tidak lagi memasang pakej antivirus “original” dari pengeluar dan melakukan modifikasi untuk menjadikannya versi premium. Sebaliknya, anda menggunakan 100% hasil dari ciptaan pencipta repack ini.
4. LICENSE KEY FILE
Menggunakan fail lesen untuk mendapatkan versi premium antivirus ini seperti anda mencuri secara langsung. Anda boleh memuat turun pakej antivirus dari laman web pengeluar antivirus untuk mendapatkan perisian yang asli tanpa sebarang modifikasi hasad. Kemudian, anda memasukkan fail lesen premium seolah-olah anda betul-betul telah membeli versi premium antivirus anda.
RISIKONYA? Pengeluar antivirus mungkin dapat menghidu anda telah menggunakan lesen curi dan komputer anda dapat dikesan oleh mereka. IP anda mungkin akan disenarai hitam dan anda akan mengalami kesukaran untuk membeli antivirus secara sah di masa depan menggunakan komputer anda yang telah disenarai hitam tersebut.
5. TRIAL RESET
Sama seperti menggunakan fail lesen premium, untuk menggunakan Trial Reset, anda masih boleh menggunakan pakej pemasangan yang dimuat turun secara terus daripada laman web pengeluar. Trial Reset kebiasaannya didapati pada antivirus yang menawarkan tempoh percubaan untuk mencuba versi premium mereka secara percuma untuk beberapa tempoh tertentu. Setelah tamat tempoh percubaan, antivirus anda akan terkunci dan antivirus akan memaksa anda untuk membayar bagi terus menggunakannya dengan versi premium. Di sinilah Trial Reset berfungsi, Ia akan menipu antivirus anda dan antivirus anda akan berkelakuan seperti anda baru sahaja memasang perisian antivirus anda. Kitaran tempoh percubaan akan bermula semula kepada asal setiap kali anda menggunakan Trial Reset.
RISIKONYA? Sama seperti aplikasi hasad yang lain, aplikasi Trial Reset juga mungkin telah dipasang dengan kod hasad. Jadi, setiap kali anda meggunakan Trial Reset, anda mungkin telah memberi akses komputer anda kepada pencipta pakej Trial Reset tersebut.
Ya, nampaknya hidup sebagai seorang lanun cetak rompak bukanlah seindah yang disangka. Anda akan sentiasa membayar untuk apa yang anda inginkan. Tiada benda yang datang dan diberi percuma, pasti ada udang di sebalik batu. Melainkan anda betul-betul tahu dan pasti apa yang anda lakukan, guna sajalah yang original. Tak sakit kepala. Dalam komuniti ini, tiada siapa yang boleh dipercayai. Walaupun anda kenal rapat dengan pencipta ini, bila-bila masa sahaja mereka akan berpaling tadah dan menyusahkan anda demi memenuhi matlamat jahat mereka. Situasi ini juga telah banyak kali berlaku ke atas otai cetak rompak yang disegani kerana banyaknya “sumbangan” beliau dalam senario cetak rompak antarabangsa. Manusia perlukan wang. Otai-otai ini telah banyak kali didedahkan telah menyuntik kod hasad dalam perisian cetak rompak mereka untuk memenuhi matlamat mereka tanpa pengetahuan pengguna dan “pelanggan” mereka.
Tapi, harus diingat, segala risiko sebenarnya datang daripada pencipta cetak rompak dan bukan daripada pengeluar antivirus. Pengeluar antivirus tiada hak dan akan melanggar undang-undang sekiranya mereka merosakkan sistem anda WALAUPUN ANDA MENGGUNAKAN PERISIAN CETAK ROMPAK MEREKA. Mereka cuma berhak ke atas perisian mereka sahaja samada untuk menyekat akses kemaskini, menyenarai hitam komputer anda, ataupun menyebabkan perisian mereka gagal digunakan oleh komputer anda. Mereka tetap tidak boleh mencuri fail anda ataupun melakukan sebarang aktiviti hasad ke atas sistem komputer anda. Sedangkan mengumpul log pun tidak boleh, inikan pula melakukan kerosakan.
Jadi, beli atau lanun? Anda pilih.