Views: 1
Bayangkan sebuah v*pe pakai buang yang biasanya kita jumpa di kedai serbaneka. Nampak macam barang sekali guna sahaja, sedut sampai habis kemudian dibuang. Tetapi rupa-rupanya dalam v*pe moden ini ada teknologi yang jauh lebih canggih daripada apa yang kita sangka.
Seorang jurutera elektronik bernama Aaron Christophel, yang terkenal dalam komuniti penggodam perkakasan kerana suka mengubahsuai peranti murah, telah mengorek isi dalam beberapa v*pe sekali guna. Hasilnya amat mengejutkan. Bukan sahaja ada bateri boleh dicas semula dengan port USB-C, malah di dalamnya tersimpan sebuah cip mikro pengawal buatan PUYA. Untuk yang tidak biasa dengan nama ini, PUYA pernah digelar sebagai pengeluar mikro controller paling murah di dunia oleh penulis teknikal terkenal, Jay Carlson.
Cip kecil ini menggunakan seni bina ARM Cortex-M0+, iaitu teknologi asas yang sama digunakan dalam berjuta-juta peranti IoT dan elektronik moden seluruh dunia. Walaupun spesifikasinya nampak kecil, hanya 24kB storan flash dan 3kB RAM, Aaron berjaya membuktikan ia cukup berkuasa untuk menjalankan sesuatu yang biasanya dilakukan komputer sebenar: sebuah pelayan web.
Prosesnya tak mudah. Pada percubaan awal, halaman web mengambil masa lebih 20 saat untuk dimuatkan, dengan sambungan tidak stabil. Tetapi selepas beliau menulis semula sebahagian kod, mengoptimumkan cara data dihantar, dan menggunakan hampir semua ruang RAM yang ada, prestasi cip kecil ini meningkat mendadak. Kini, sebuah halaman penuh boleh dimuatkan dalam hanya 160 milisaat, dengan sambungan stabil tanpa kehilangan paket data.
Menariknya, cip yang biasanya tersembunyi dalam v*pe ini mempunyai port debug yang didokumentasikan dengan baik, memudahkan Aaron menyambungkan alatan pembangunan dan bereksperimen. Beliau turut menambah fungsi tambahan seperti API JSON yang boleh memaparkan jumlah permintaan yang diterima oleh pelayan web.
Hakikat bahawa sebuah alat murah, direka untuk dibuang selepas digunakan, boleh bertukar menjadi sebuah pelayan web yang berfungsi menunjukkan betapa canggihnya teknologi elektronik moden. Apa yang lebih menarik, semua ini dicapai menggunakan cip yang dikategorikan sebagai murah dan pakai buang.
Kalau v*pe sekali guna pun boleh dijadikan pelayan web, bayangkan apa lagi cip-cip kecil ini mampu lakukan bila jatuh ke tangan orang yang kreatif. Mungkin selepas ini kita akan lihat lebih banyak peranti harian yang disalah guna untuk projek unik dan luar biasa.