WhatsApp memberitahu pengguna minggu lalu bahawa mereka tidak perlu bimbang mengenai tarikh akhir dasar privasi baharu yang akan datang, kerana pengguna yang menolak untuk menerima dasar privasi ini tidak akan kehilangan akaun mereka, atau dipadam buat selamanya oleh WhatsApp.
WhatsApp hanya akan membuat aplikasi mereka menjadi tidak berguna, di mana aplikasi itu tidak akan dapat menerima panggilan dan pesanan.
Ciri teras WhatsApp yang ingin dinyahaktif ini merupakan satu bentuk percanggahan terhadap syarikat yang suatu ketika dulu mengutamakan privasi data pengguna apabila kini – pemesejan peribadi hanya diberi kepada mereka yang menyerahkan sesetengah bahagian privasi tertentu.
Data tersebut tidak termasuk kandungan mesej atau panggilan pengguna WhatsApp, kerana enkripsi ‘end-to-end‘ tetap utuh, dan WhatsApp telah berulang kali berjanji bahawa keselamatan mesejnya tidak akan terganggu.
Namun, data berkenaan merangkumi interaksi yang dibuat oleh pengguna dengan perniagaan tertentu melalui WhatsApp. Berdasarkan dasar privasi baru, entiti di Facebook yang akan mempunyai akses ke data tersebut termasuk Facebook itu sendiri, Facebook Payments, Facebook Technologies, Onavo, dan CrowdTangle.
Kritikan dari orang awam dan profesional menyebabkan WhatsApp menangguhkan tarikh akhir awal penerimaan dasar privasi iaitu pada 8 Februari menjadi 15 Mei. Ramai pengguna bimbang syarikat itu akan menghapuskan akaun mereka sekiranya mereka enggan menerima dasar privasi yang dikemas kini.
Minggu lalu, WhatsApp menjelaskan bahawa tidak ada yang akan kehilangan akaun mereka atau kehilangan fungsi WhatsApp pada 15 Mei kerana pilihan mereka untuk menolak untuk menerima dasar privasi baru.
Akan tetapi, alternatif ditawarkan oleh WhatsApp nampaknya tidak menyokong kenyataan tersebut.
Bagi pengguna WhatsApp yang menolak untuk mengongsikan data dengan Facebook, WhatsApp akan menghilangkan ciri teras pada aplikasi, bermula dengan pilihan untuk melihat senarai sembang (chat list), dan berakhir dengan ketidakmampuan untuk menerima panggilan atau mesej di WhatsApp.
Ini adalah satu bentuk anti-privasi dan anti-pengguna, apabila pengguna dihukum kerana enggan berkongsi data.
Agak menyedihkan untuk sebuah aplikasi yang diasas berteraskan privasi, dijual kepada syarikat yang melanggar semua hak ke atasnya.