Engineered Arts, pereka dan pengilang robot humanoid yang berpangkalan di UK, baru-baru ini mempamerkan salah satu ciptaannya dalam sebuah video yang disiarkan di YouTube.
Robot itu yang dipanggil sebagai Ameca, dipamerkan di saluran YouTube sedang membuat satu siri ekspresi muka yang luar biasa seakan-akan manusia.
Pada permulaan video, Ameca kelihatan seperti terjaga dari ‘tidur’, kerana wajahnya menunjukkan campuran kekeliruan dan kekecewaan apabila ia membuka matanya.
Tetapi apabila Ameca mula melihat tangan dan lengannya, robot itu membuka mulut dan mengangkat kening seolah-olah kagum. Di penghujung video menunjukkan Ameca tersenyum dan menghulurkan tangan menyambut ke arah penonton.
Engineered Arts berkata robot itu pada masa ini belum lagi dapat berjalan, dan keupayaan itu akan ‘diberikan’ pada masa akan datang. Mereka turut menjelaskan bahawa keupayaan AI diserahkan kepada pembangun dan mereka hanya mengendalikan fungsi badan ultra-realistik untuk Ameca.
Maklumat lanjut mengenai Ameca boleh dilihat di: Ameca: The Future Face Of Robotics
Anda boleh tonton pergerakan dan ekspresi wajah Ameca di sini: Ameca Humanoid Robot AI Platform