Views: 1
Mekanisme Kawalan Pengisian Berulang Kali BUDI95 Beri Bayangan Penggunaan AI Dalam Kerangka Penebusan dan Pemantauan Subsidi Bahan Api
Kementerian Kewangan menerusi laman Facebook rasmi mereka baru sahaja membuat penjelasan mengenai penggunaan mekanisme untuk mengelakkan pengisian Ron95 berulang kali dalam sehari tetapi tidak mengehadkan kepada sekali sahaja sehari. Kekeliruan ini berikutan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan II yang mengatakan mekanisme khas akan diwujudkan bagi mengelakkan penebusan dan pengisian berulang untuk Ron95.
Dengan keputusan kerajaan untuk mengguna pakai aplikasi e-Dompet dan aplikasi stesen minyak sedia ada, saya melihat kerajaan akan mula memanfaatkan data, IoT dan AI dalam mengawal dan mensasarkan subsidi bahan api secara lebih tepat dan terarah.
Dalam hantaran kami terdahulu, kami mengatakan bahawa aplikasi stesen minyak seperti Setel oleh PETRONAS sudah dilengkapi dengan pelbagai ciri dan data yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menjejaki setiap perjalanan dan pembelian bahan api. Apabila seseorang membeli bahan api dengan Setel, kita sudah boleh mendapat data masa, tempat, jenis bahan api, jumlah pembelian, identiti pembeli, nombor pam dan malahan nombor kenderaan yang digunakan untuk setiap pembelian.
Kerajaan boleh melihat sama ada setiap akaun atau individu yang membeli minyak petrol sebenarnya membuat pembelian yang munasabah atau tidak setiap bulan. Dengan penggunaan data MyKad dan pengkalan data PADU, kerajaan malah boleh melihat setiap penebus subsidi Ron95 sebenarnya bekerja sebagai apa, jenis kenderaan yang dimiliki mereka dan status pekerjaan serta pendapatan bulanan mereka.
Contohnya, jika seseorang itu tidak memiliki kenderaan tetapi membuat pembelian harian petrol sebanyak 300 liter dalam sekali pembelian, sudah tentulah ia menjadi satu pembelian yang diragui. Algoritma dan AI pada sistem BUDI95 sekiranya ada, boleh diprogramkan untuk menanda akaun individu tersebut untuk tindakan lanjut. Stesen minyak yang membenarkan dia membeli Ron95 dalam kuantiti yang banyak juga akan lebih mudah dikesan.
Sistem sebegini sebenarnya sudah ada di BNM. Apabila transaksi wang luar biasa dilakukan dalam akaun bank atau e-Dompet, ia akan ditanda sebagai risiko menurut AMLA. Anda akan dihubungi pihak bank atau akaun anda dibekukan sekiranya anda tidak memberikan kerjasama untuk mengesahkan transaksi anda adalah transaksi sah dan mematuhi undang.
Dengan penggunaan e-Dompet dan terminal EDC yang dikawal selia oleh BNM dalam mekanisme penebusan BUDI95, saya berharap algoritma hampir sama juga dapat diimplementasikan supaya kita boleh menjejak ke mana dan di mana bocornya subsidi Ron95 kita.
