Pembinaan Kilang Intel Penang Dihentikan Sehingga Diberitahu. Sebelum Ini Dijangka Siap Awal Tahun 2024.
Intel Hadapi Risiko Dibuang Dari Dow Jones Akibat Harga Saham Menjunam di Pasaran Saham Amerika
Laporan akhbar tempatan hari ini melaporkan Intel telah menghentikan pembinaan kilang barunya di Pulau Pinang. Kilang tersebut yang diumumkan 3 tahun lalu merupakan kilang untuk pemprosesan dan pengujian produk melibatkan jumlah pelaburan hampir RM30 billion ringgit. Laporan NST mengatakan ia dijangka siap pada awal tahun ini. Pembinaan kilang tersebut mengambil tempat di Zon Bebas Cukai Fasa 3, Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.
Penghentian pembinaan kilang ini berkaitan dengan masalah aliran wang tunai yang dihadapi oleh Intel pada masa ini. Intel terpaksa menghentikan pembayaran dividen dan mengecilkan tenaga kerjanya di peringkat global. Penghentian kerja-kerja pembinaan kilang ini dijangka hanya akan memberi kesan kepada kilang baru sahaja. Kilang-kilang sedia mungkin tidak akan terjejas.
Intel Malaysia mempunyai seramai lebih kurang 14,000 orang pekerja. Mengikut pelan global, Intel akan mengecilkan sebanyak 15% daripada keseluruhan tenaga kerjanya. Ini bermakna, 2,000 orang pekerja Intel di Malaysia berkemungkinan akan kehilangan pekerjaan.
Tiga minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang berkata yang Intel tetap akan meneruskan pembinaan kilangnya di Pulau Pinang. Walaupun mengakui tidak pasti bagaimana rancangan penjimatan kos Intel sebanyak RM43 billion itu akan menjejaskan Pulau Pinang, beliau yakin yang gergasi teknologi berkenaan tidak akan mengambil keputusan untuk membuang para pekerja di pulau mutiara berkenaan.
Sumber The Star bagaimanapun berkata, pembinaan kilang Intel di Bayan Lepas itu masih lagi dijalankan tetapi dengan pengurangan pekerja pembinaan. Kilang tersebut mungkin akan tetap disiapkan, tetapi tarikh siap projek mungkin akan terjejas dan lewat dari tarikh yang dirancang. Pengurusan tertinggi Intel masih lagi belum membuat keputusan kilang mana yang akan dibatalkan operasi dalam perancangan globalnya. Buat masa ini, tarikh siap akhir projek kilang di Bayan Lepas adalah pada September. Status sama ada kilang di Bayan Lepas akan beroperasi atau tidak masih lagi tidak diketahui.
Bulan lepas, Intel mengumumkan akan mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 15% secara global atau seramai 15,000 orang pekerja secara keseluruhan. Pengecilan kos operasi ini dijangka selesai menjelang akhir tahun 2024. Pekerja yang dibuang akan diberikan pakej persaraan bagi mereka yang telah lama berkhidmat. Pakej lain bagi mereka yang memilih untuk berhenti secara sukarela juga disediakan. Sekiranya tidak cukup jumlah pekerja yang berhenti secara sukarela, barulah pengurusan akan mempertimbangkan pemberhentian paksa para pekerja.
Tidak Lagi Berada di Atas Dalam Kelompok Gergasi
Buat pertama kalinya dalam sejarah selama 30 tahun, Intel merekodkan kejatuhan nilai pasaran saham di bawah $100 billion. Untuk tahun ini saja, nilai pasaran saham Intel telah menjunam sebanyak 60%. Untuk suku kedua tahun 2024, Intel telah mengumumkan kerugian sebanyak $1.6 billion, bersamaan dengan RM6.9 billion ringgit.
Intel dan Microsoft adalah gergasi teknologi pertama yang tersenarai dalam the Dow Jones Industrial Average (DJIA) pada penghujung tahun 90an. Kini, dengan prestasi yang memburuk, tempat Intel dalam DJIA mungkin akan digantikan dengan Nvidia ataupun Texas Instrument.
Kejatuhan Intel ini diakibatkan oleh keengganan Intel menyertai perlumbaan A.I di peringkat awal. Dengan perkembangan A.I yang begitu pesat, Intel ketinggalan jauh berbanding pesaingnya yang terlebih dahulu menceburi bidang A.I seperti Nvidia dan AMD.
Intel turut telah mengalami penurunan jualan serta pegangan pasaran yang sangat ketara dalam pasaran CPU dan pusat data tradisional. Selain itu, Intel juga telah berbelanja dengan begitu banyak dalam meningkatkan keupayaan pengeluaran mereka walaupun tiada arah tuju yang jelas dalam prospek pasaran cip.
Dalam usaha untuk mengembalikan semula keuntungan mereka, Intel mengambil keputusan untuk membuat langkah drastik dengan mengumumkan pengecilan kos operasi sebanyak 15% secara global. Namun, menurut beberapa pakar ekonomi, langkah ini dilihat terlalu kecil dan terlalu lambat.
Penyingkiran Intel dari Dow Jones bukan sahaja akan memberi reputasi buruk kepada Intel, malahan ia akan mendorong nilai saham Intel untuk terus jatuh merudum. Nvidia yang merupakan syarikat ketiga terbesar dunia adalah calon utama yang dijangka akan menggantikan Intel dalam DJIA. Untuk tahun ini sahaja, nilai saham Nvidia telah meningkat sebanyak 160%.