Perkhidmatan Kesihatan di India Lumpuh: Protes Besar-besaran Para Doktor Menuntut Keadilan Rakan Doktor Yang Dirogol dan Dibunuh dalam Kawasan Hospital
Mendiang merupakan seorang doktor pelatih berusia 31 tahun. Mayatnya telah ditemui pada 9 Ogos lalu dalam hospital di Bengal Barat, sebuah hospital yang diuruskan oleh kerajaan tempatan. Sebelum kejadian, mangsa telah menghabiskan syif selama 36 jam dan telah tidur sebentar di dalam kawasan hospital.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan kedua-dua kaki terpulas ke belakang 90 darjah, tulang pelvis patah, kesan gigitan di seluruh tubuh, darah terpercik keluar dari mata kerana ditoreh, 120 kesan luka lain di seluruh tubuh dan kesan cekik di leher. Ketika ditemui, mayat mangsa sudah berada dalam keadaan separa kaku, menunjukkan mangsa telah meninggal dunia dalam satu tempoh yang agak lama.
Lebih menyedihkan, hospital telah menahan mayat mendiang selama 3 jam dan kemudiannya mengumumkan mangsa telah meninggal kerana membunuh diri!
Protes kali ini bukan sahaja disertai oleh doktor, malah daripada kumpulan kesihatan lain, dan orang awam. Para selebriti dan ahli politik India juga turut sama menyatakan sokongan mereka secara terbuka.
Laporan kematian mangsa menunjukkan terdapat 150mg air mani dalam tubuh mangsa. Seorang manusia hanya boleh menghasilkan 9-10mg air mani sehari. Hanya seorang sahaja suspek ditangkap dan didakwa untuk jenayah ini; seorang sukarelawan polis yang berkhidmat di hospital tersebut.
Jenayah ke atas kaum wanita di India seperti tidak berkesudahan. Lebih teruk lagi, pengalaman para keluarga mangsa yang ingin menuntut keadilan selalunya malah dipulaukan, tidak dilayan, dan dipandang jelik oleh masyarakat di sana. Kes di mahkamah pula hanya sekadar berpusing-pusing tanpa keadilan buat mangsa jenayah rogol dan bunuh.
India berhasrat ingin menjadi kuasa besar dunia menjelang tahun 2047 dengan inovasi teknologi yang berterusan. Perdana Menteri India, Nahendra Modi secara terbuka menyuarakan matlamatnya untuk menyaingi China sebagai kuasa besar teknologi dunia. Pembangunan bakat tempatan dan penerokaan sumber membolehkan India melonjak dengan cepat dalam bidang inovasi dan teknologi sehingga membawa kepada kejayaan ISRO, agensi angkasa milik penuh India.