AI Tidak Akan Mungkin Menggantikan Manusia!

Masa Depan Robot Boleh Menggantikan Manusia Dalam Membuat Keputusan Hanyalah Angan-angan Sebuah Fiksyen

Sebelum wujudnya chatbot AI yang memenuhi internet kita hari ini, kita pernah dilanda dengan dilema Google. Para pelajar tidak lagi membuat rujukan di perpustakaan, tetapi hanya sekadar membuat carian di Google untuk mendapatkan jawapan yang mudah dan terus. Ia dianggap sebagai satu pandemik akademik dan beberapa kertas kajian telah menunjukkan secara purata, prestasi pelajar dalam kemahiran menaakul dan mengingat semula maklumat semakin merosot kerana aktiviti memori semakin berkurangan. Lupa? Tanya Google.

Perkara ini kemudiannya terbiar dan sunyi daripada arus perdana setelah ia menjadi satu norma baru. Kesannya dapat dilihat dan dirasai sendiri kini. Berapa ramai daripada kita yang boleh mengingat jalan ke bandar yang sibuk tanpa menggunakan bantuan Google dan aplikasi peta? Tapi kita belajar beradaptasi dengannya dan Google kini dianggap tidak lebih dari sebuah perpustakaan mega dengan pelbagai bahan bacaan. Institusi pengajian juga telah mengatasi masalah pelajar yang hanya tahu ‘menggugel’ dengan beberapa langkah pengesanan dan anti plagiat.

Adakah Pandai Guna AI Menjadikan Anda Pakar?

Sorot pula ke masa kini dengan lambakan chatbot AI dan generative AI. Sama seperti zaman Google ‘baru nak up’, perkara sama juga berlaku pada para pengguna AI. Mereka cukup defensive dengan sebarang kritikan pada AI kegemaran mereka. Saya ingat lagi zaman-zaman pergaduhan fenboi Google, Yahoo dan MSN dulu. Bila diingat balik, cukup kelakar. Bergaduh macamlah mereka tu CEO. Bagi mereka, orang yang tidak membuat carian di internet dan masih ke perpustakaan ini kolot, ketinggalan zaman dan akan jadi tidak relevan lagi.

Kata kuncinya, AI hanyalah sebuah kecerdasan buatan yang banyak kecacatan. AI tidak berakal. AI tiada kesedaran kendiri. AI tak kan mampu menggantikan manusia dan jadi penentu terakhir dalam keputusan yang memerlukan eleman manusia. Undang-undang asas ini bukanlah perkara baru malah sudah dipersetujui sejak daripada pertama kali manusia mencipta mesin dan berangan-angan tentang sebuah masa depan di mana manusia akan bergantung hidup dengan robot-tobot humanoid yang ‘sentien’ ataupun ada kesedaran kendiri.

Iklan Google

Seperti mana pandai Google tak menjadikan anda profesor dalam sesuatu bidang, begitu jugalah pandai prompt AI tak menjadikan anda layak untuk menggantikan profesyen di industri. Untuk merujuk fatwa, tetap perlu mufti walau dalam Google anda boleh cari hadis. Untuk membuat karya tetap perlu pengkarya walau anda boleh hasilkan produk dengan AI. Ini kerana, teknologi sahaja tidak akan mampu memberikan anda hasil akhir yang sempurna dan bertepatan dengan cita rasa malah keperluan manusia yang sangat abstrak.

Akan tetapi, adakah ini bermakna kemajuan teknologi ini buruk dan tidak boleh berintegrasi dalam kehidupan manusia? Tidak sama sekali. Seorang profesor tetap perlu mahir menggunakan Google dan enjin carian internet untuk membuat rujukan silang dengan mudah. Seorang pengkarya pula boleh mengambil idea daripada generative AI untuk menghasilkan karya sendiri. Hakikat yang perlu kita semua terima adalah, anda perlu mempunyai kemahiran sendiri juga untuk berfungsi sebagai satu unit dalam sebuah organisasi.

Pandai Tulis Prompt Semata-mata Tak Menjadikan Anda Pengganti Pekerja Mahir!

Boleh guna teknologi semata-mata tak menjadikan anda pakar mahupun pekerja mahir dalam komuniti. Tetap perlu ada ilmu dan kemahiran sendiri juga. Jika sekadar taip-taip sahaja, anak kecil pun boleh. Dan sekarang, industri pun sudah mula bergerak dan beradaptasi dengan penggunaan AI yang meluas bagi mengekang mereka yang hanya menggunakan AI semata-mata. Banyak alat pengesanan AI juga telah dibina. Jadi, mereka yang selama ini hanya menggunakan AI perlu juga belajar kemahiran asas sendiri supaya tidak hanya bergantung kepada AI semata-mata.

SAMA MACAM ZAMAN GOOGLE BARU NAK UP DULU.

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img