Vortex Pok3r RGB V2: 60% Yang Premium

 

Apa Di Dalam Kotak?

Vortex sudah mengeluarkan Vortex Pok3r sebelum ini, tapi ini adalah model Pok3r pertama dengan RGB. Melihat kepada tulisan pada kotaknya, jelas kelihatan pembayang RGB pada produk mereka melalui kemasan berwarna pada nombor 3 di tulisan “Pok3r“.

Kemasan lain juga dapat dilihat pada kotak dengan penjenamaan yang minimal. Fokus utama kita sudah tentulah penjenamaan Cherry MX pada kotaknya. Ya, Vortex Pok3r hadir bersama suis kekunci Cherry MX, antara yang terbaik di pasaran.

Di dalamnya anda akan mendapat sebuah papan kekunci dan seutas kabel USB Macro untuk sambungan. Tiada sebarang dokumen manual ataupun aksesori lain diberikan bersama. Menurut pihak Vortex, unit ini adalah unit ujian. Jadi berkemungkinan pakej komersil akan hadir bersama aksesori yang lebih lengkap.

Binaan Dan Kualiti

Pertama kali memegang papan kekunci ini, perkara pertama yang paling ketara adalah beratnya. Ia memang berat dengan kerana binaannya yang diperbuat daripada besi. Terasa sejuk badan papan kekunci ini apabila dipegang.

Iklan Google

Binaan plat dalamnya juga terbuat daripada besi dan dicat warna putih. Cubaan membengkokkan papan kekunci ini tidak berjaya kerana binaan besi sepenuhnya yang sangat kukuh dan padu.

Anda tidak boleh melaras ketinggian papan kekunci ini, tapi ia hadir bersama 4 kaki getah yang tebal dan sangat mencengkam. Papan kekunci akan tidak akan lari daripada kedudukannya. Darjah kecuraman asalanya juga sudah cukup selesa untuk saya menaip walaupun tanpa pad merehatkan tangan.

Sambungan

Vortex Pok3r menggunakan sambungan berwayar menggunakan USB Macro. Tiada sambungan tanpa wayar pada Vortex Pok3r ini. Maklum balas daripada pihak Vortex, mereka kini sedang dalam proses menaik taraf Vortex Pok3r kepada versi baru dengan USB Type C dan sokongan sambungan tanpa wayar.

Lubang sambungan USB pada Vortex Pok3r ini agak dalam. Boleh dikatakan cuma ngam-ngam sahaja dengan kabel yang dibekalkan. Jadi, sekiranya anda ingin menggunakan kabel sendiri seperti kabel paracord atau kabel lilit, mungkin anda perlu melihat dahulu saiz USB anda.

Butang Kekunci dan Suis

Butang kekuncinya dibuat daripada plastik PBT dengan tembakan berganda . Penggunaan plastik PBT bermakna butang kekunci anda akan bertahan dengan lebih lama dan lebih berkualiti. Ketebalan butang kekuncinya boleh dikatakan agak tebal dan memberikan bunyi “thok” yang memuaskan semasa menaip.

Suis kekunci pada Vortex Pok3r menggunakan suis Cherry MX, antara suis yang paling popular untuk papan kekunci mekanikal. Vortex Pok3r saya hadir dengan Cherry MX Blue, suis dengan bunyi klik dan bertaktil. Berbanding dengan suis Gateron Blue, Cherry MX Blue terasa lebih berat dengan bunyi klik yang lebih “klang“.

Penstabil kekunci juga telah dipralincir. Anda tidak lagi perlu membuat modifikasi sendiri atau membeli pelincir mahupun gris tambahan untuk mendapatkan kepuasan menaip.

Profil kekuncinya pula menggunakan profil Cherry yang agak melengkung. Tiada masalah bagi saya. Ditambah lagi dengan suis biru Cherry MX, profil ini sangat sesuai bagi saya kerana ia memberikan ruang yang mencukupi untuk menaip dan menekan dengan sedikit tenaga untuk suis bukan  linear.

Iklan Google

Selain daripada fon di atas, Vortex Pok3r juga mempunyai cetakan di bahagian sisi butang kekunci. Tiada ketelusan cahaya untuk tulisan di bahagian sisi namun pencahayaan pada bahagian atas sudah cukup terang dan jelas dengan fon yang mudah dibaca. (maafkan bulu si bulus, meja kerja jadi port tidur la pulak :’D)

Pencahayaan

Vortex Pok3r dilengkapi pencahayaan RGB di bawah setiap suis. Bersama papan plat putih, warna RGB cukup meyerlah. LED RGB pada Vortex Pok3r ini juga sangat terang dan jelas.

Cahaya yang menembusi butang kekunci sangat cantik dan terang. Ia boleh diubah menerusi kombinasi butang pada papan kekunci untuk menukar corak nyalaan, kadar kecerahan lampu dan juga kelajuan nyalaan.

Malangnya, lampu RGB tidak menembusi pada bahagian sisi butang. Tapi, dengan cahaya yang cukup terang daripada RGB di bawah, cetakan sisi ini kadangkala jelas juga kelihatan walau di dalam gelap.

Iklan Google
Iklan Google

Vortex Pok3r juga mempunyai penanda Caps Lock yang akan menyala apabila butang Caps Lock hidup.

Ia juga mempunya suis DIP di bahagian belakang untuk pertukaran fungsi yang mudah. Anda boleh memilih untuk menggunakan Vortex Pok3r dalam format QWERTY, DVORAK atau COLEMAK menggunakan suis DIP ini. Anda boleh juga menukar kedudukan CapsLock, Fn dan juga Pn dengan kombinasi suis DIP ini.

Menukar Mod RGB Pada Vortex Pok3r

RGB pada Vortex Pok3r boleh dilakukan dengan mudah tanpa memerlukan perisian pada komputer. Anda cuma menekan butang Pn (Menu) dan beberapa kombinasi lain. Apabila anda menekan butang Pn, butang 1,2 dan 3 akan menyala. Anda boleh memilih warna pilihan anda sebagai pilihan warna untuk setiap butang. Sambil menekan butang Pn, anda boleh memilih kadar kecerahan RGB sehingga 7 tahap.

Pn+ 4 berikan anda 6 pilihan corak nyalaan setiap kali anda menekan butang kekunci. Pn+5 berikan anda 4 pilihan nyalaan untuk keseluruhan papan kekunci. Anda juga boleh mencipta skim warna sendiri dengan Pn+ 9/0 untuk mencipta dan Pn+ -/= untuk melihat hasil skim warna ciptaan anda.

Iklan Google

Pn+ X untuk menurunkan kecerahan RGB dan Pn+ V untuk meningkatkan kecerahan. Pn+< untuk memperlahankan corak nyalaan RGB dan Pn+ > untuk melajukannya.

Kesimpulan

Bagi peminat tegar ataupun enthusiast papan kekunci mekanikal, Vortex bukan lagi satu nama yang asing di kalangan pencinta. Anda seharusnya memiliki model daripada Vortex ini kerana kualiti binaannya yang sangat premium. Lapisan besi, pewarnaan, dan juga butang kekuncinya sangat sempurna bersama.

Pada harga lebih kurang $120USD, bagi saya ia tidak terlalu mahal dan hampir menyamai harga papan kekunci lain dengan binaan logam sepenuhnya. Ia juga popular untuk digunakan sebagai asas bagi projek custom.

Galeri Gambar

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img
Dengan binaan logam keseluruhan, papan kekunci ini mempunyai berat dan kekukuhan yang sangat baik. Dipadankan dengan butang kekunci PBT Double Shot adalah ciri yang sangat premium. Hasilnya, sebuah papan kekunci yang kukuh dan padat tanpa anda kehilangan kenikmatan RGB pada butang kekunci. Anda tidak perlu membeli butang ABS murah untuk mendapat cahaya pada fon. RGB juga sangat cemerlang dan terang. Suis Cherry MX sangat memuaskan. Jika ada kekurangan pun, adalah kerana ia masih lagi menggunakan USB Macro dan tidak menyokong sambungan tanpa wayar. Dengan harga sekitar $120USD, ia mungkin terlalu premium untuk sesetengah pembeli.Vortex Pok3r RGB V2: 60% Yang Premium