Dahulunya saya jatuh cinta pandang pertama dengan ZTE Axon 7, disebabkan dual stereo front facing speakers dimantapkan dengan Dolby Atmos.
Kini mereka kembali lagi dengan Nubia Z17, yang walaupun dari zahir hadapannya tiada dual speakers, tetapi ia didatangkan dengan ciri baharu iaitu Quick Charge 4+.
Teknologi pengecasan ini dikatakan mampu mengecas 50 peratus dalam tempoh masa 25 minit pada kapasiti bateri 3,200mAh.
Ia juga dikatakan lebih pantas berbanding versi terdahulu sebanyak 15 peratus, dan kurang menghasilkan haba.
Antara spesifikasi lain ialah Snapdragon 835, 6/8GB RAM, 64/128GB storan dalaman, dan 5.5 inci – 1080p layar skrin.
Kamera belakangnya kini terdiri dari dua lensa. Ia adalah gabungan dari 23MP + 12MP yang menawarkan 2x zoom optikal. Bagi para juru gambar sekaliannya pasti akan suka dengan kamera ini yang mempunyai aperture f/1.8 dan saiz pixel 1.4um yang lebih besar.
Kekurangan ketara pada telefon ini ialah ketiadaan 3.5mm jack headphone, dan tidak mempunyai slot microSD. Orang yang sukakan muzik mungkin terpaksa mencari headphone Bluetooth yang lebih berkualiti, meskipun telefon ini masih mengekalkan Dolby Atmos.
Buat sementara waktu ini penjualan hanya terdapat di negara China. Belum pasti adakah ia akan dijual di negara lain, namun jika kita sememangnya ‘kenal’ dengan Malaysian, jika ada permintaan maka adalah ia di sini.
Varian 6GB/64GB berharga 2799 Yuan, 6GB/128GB 3399 Yuan. Manakala versi 8GB/128GB pula adalah 3999 Yuan. Jualan mula dibuka 6 Jun.