1. Mengeja
Ahhh, jangan nafikan lagi. Saya sendiri pun kadang-kadang mengeja sambil lewa (dalam bahasa Inggeris semestinya) kerana saya tahu papan kekunci SwiftKey yang digunakan itu pasti akan membetulkan ejaan sekiranya ia salah. Jadi kadangkala apabila kemahiran itu diperlukan, saya jadi bingung kerana ada antara ejaan yang saya tidak pasti lagi dan tidak mengingatinya.
Ini adalah masalah, Malaysia.
2. Membaca kompas, arah kiblat, navigasi.
Saya sememangnya jenis yang ‘tak ingat jalan’. 10 kali melalui tempat yang sama baru saya boleh ingat. Semuanya terima kasih kepada Maps dan Waze, dua teknologi pembantu navigasi yang sangat berguna namun dalam masa yang sama telah ‘menarik’ kemahiran menavigasi yang ada pada kita.
Kadang-kadang tempat yang saya dah tahu pun saya pasangkan Waze, untuk melihat keadaan trafik dan kelajuan kenderaan yang dipandu ketika itu.
Ini belum sebut lagi mengenai kemahiran membaca arah kiblat. Masih ramai yang tidak tahu cara ‘tradisional’ dalam mengetahui arah kiblat dek kerana terdapat pelbagai aplikasi yang menggunakan kompas di dalam telefon pintar masing-masing untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat.
3. Mengingati Nombor-Nombor Telefon Penting
Biasanya waktu zaman telefon bimbit Nokia dahulu, semua nombor-nombor telefon yang penting seperti nombor telefon ibu, ayah, adik, dan kawan baik, ada di dalam kepala. Seiring waktu berjalan, dengan kemunculan telefon pintar yang diselaraskan dengan akaun Google, nombor telefon baik penting mahupun tidak semuanya ada di ‘awan’ sana.
4. Komunikasi Nyata
Kemahiran komunikasi ini sebenarnya tak semua orang mempunyainya secara semulajadi. Sesetengah orang perlu diasah kemahiran tersebut, barulah ia ‘menjadi’.
Namun dengan adanya teknologi ia membataskan kebolehan tersebut. Di alam maya mungkin individu tersebut tampak hebat, namun di situasi yang sebenar boleh jadi beliau adalah seorang pemalu.
5. Mengira
Tidak dapat dinafikan lagi kadangkala pengiraan asas pun kita gunakan kalkulator, sama ada fizikal atau digital. Tidak lagi mengingati sifir, dan kiraan asas. Hanya perlu tekan-tekan-tekan, dan hasilnya akan didapati kurang beberapa saat.
Jadi bagaimana dengan anda pula? Apakah kemahiran individual yang anda rasakan semakin sirna dek kerana kewujudan teknologi ini?