Penafian: Artikel ini sekadar membuka topik perbincangan tentang apa yang dikatakan sebagai Marianas/Mariana’s Web.
Fakta: Deep Web bukan benda baru dan ia sememangnya wujud. Ia adalah laman-laman berdomain unik yang tidak diindeks oleh Google dan hanya boleh diakses menggunakan TOR.
Sesawang Pelbagai Lapisan
Apabila kita melakukan carian Google, dengan satu kata kunci sahaja, beratus ribu malah berjuta hasil carian diberikan dalam tempoh beberapa saat. Lapisan pertama ini dapat diakses oleh kesemua orang melalui enjin carian. Laman-laman ‘biasa’ seperti Facebook, YouTube, Netflix, berada di lapisan ini.
Seterusnya anda masih lagi berlegar-legar di permukaan lapisan, namun kini sudah menjengah sedikit ke bawah. Meskipun masih di permukaan, persekitaran semakin gelap. Dari sinilah anda berjalan bermula dari permukaan (common web, surface web), ke tempat yang memerlukan sedikit lebih pengetahuan ‘Google’ (Bergie web), dan kemudian anda perlukan pula pengetahuan menggunakan proksi/TOR untuk menjengah ke dalam deep web dan seterusnya dark web.
Semuanya adalah sekadar istilah sebenarnya, untuk membezakan lapisan-lapisan sesawang yang berada dalam internet, dengan kaedah-kaedah berbeza untuk mengaksesnya.
Pencerahan
Secara teknikalnya, Google boleh mengindeks lapisan deep dan dark web dengan cara yang sama anda lakukan iaitu memasang beberapa aplikasi pada komputer anda. Apa yang tidak boleh dilakukan ialah memberikan anda pautan terus ke laman-laman dark web tersebut.
Dark web adalah satu bahagian atau subset dari deep web yang lebih kecil, meliputi pelbagai kandungan yang menurut beberapa laman mengandungi ‘tempat-tempat’ untuk anda menjumpai dadah-dadah, kumpulan pengganas, senjata-senjata, dan pelbagai lagi ‘perkara gelap’ yang anda tidak akan dapat dengan mudah di laman permukaan.
Lagenda Marianas/Mariana’s Web
Setelah anda memahami ‘lapisan-lapisan’ sesawang di atas, maka anda kemudian menjengah ke kawasan paling ‘terdalam’ di antara kesemuanya, lebih dalam lagi dari dark web. Ia dipanggil sebagai Marianas atau Mariana’s Web.
Jika dark web merupakan suatu kawasan subset yang lebih kecil dari deep web, maka Mariana’s Web adalah lebih kecil darinya.
Dinamakan bersempena Mariana’s Trench, lapis lohong paling dalam di lautan, bahagian ini ialah tempat paling kontroversi sekali. Kerana deep dan dark web masih boleh dibuktikan, serta didokumentasikan, namun Mariana’s Web adalah lapisan yang menjadi mitos di kalangan peminat teori konspirasi dek kerana seseorang itu perlu mahir dengan apa yang dikatakan sebagai Polymeric Falcighol Derivation, iaitu sejenis kaedah pengkomputeran quantum.
Pengkomputeran quantum menurut hemat dan sepengetahuan saya adalah perkara baru, sedang Google pun baru sahaja membangunkan ia, jadi bagaimana ia boleh ‘wujud’ sebelum itu adalah misteri, sama ada ia menjadi rahsia besar atau hanyalah sebuah mitos seperti Unicorn yang sengaja diwujudkan bagi membeliakkan mata-mata netizen.
Namun apa sahaja yang ada di situ sekiranya pun ia ada, kata ‘mereka’ yang entah siapa, ia terkandung rahsia-rahsia yang menjadi lubuk pemendapan minda dek kerana tahap kerahsiaannya, sebagai contoh lokasi sebenar ‘bandar yang hilang’ – Atlantis, makhluk asing, dan pelbagai lagi ‘kebenaran’ tentang teori-teori konspirasi.
Konklusi?
Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak mengatakan bahawa ‘lapisan’ ini wujud. Apa yang saya nukilkan adalah sekadar pengumpulan teori dari seluruh pembacaan.
Kewujudan Mariana’s Web juga masih menjadi teorinya yang tersendiri, ia boleh jadi adalah ciptaan bahan lawak mat pit dari London, atau juga hasil penulisan mereka yang obses dengan teori-teori konspirasi, Illuminati, dan Freemasonry.
Namun jika kita ambil ia sekadar sebuah informasi, agak menarik juga untuk difikirkan, bahawa terdapat suatu lagi lapis sesawang yang hanya boleh diakses oleh golongan-golongan elitis, menyimpan seribu satu maklumat dari Rekod Akashic.