Untuk melindungi pengguna, Brave dan Vivaldi dikatakan membuang fungsi FLoC yang telah dicadangkan oleh Google.
FLoC atau nama penuhnya Federated Learning of Cohorts, ialah suatu bentuk ‘cadangan’ dari Google yang kononnya merupakan jawapan kepada kaedah mereka mencuba untuk menambah baik situasi privasi pengguna walaupun masih lagi menyampaikan iklan.
Secara amnya, FLoC merupakan satu peningkatan dari bentuk penjejakan cookies dari pihak ketiga. Pun begitu, Electronic Frontiers Foundation (EFF) menyebutnya sebagai ‘idea yang mengerikan/teruk‘ kerana kini Chrome berkongsi ringkasan aktiviti pelayar web setiap pengguna kepada para pengiklan.
Pelayar web dengan FLoC diaktifkan akan mengumpulkan maklumat mengenai tabiat pelayaran penggunanya, kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk menetapkan penggunanya itu ke dalam ‘kohort’ atau kumpulan.
Pengguna dengan tabiat pelayaran yang sama (mengikut definisi ‘serupa atau sama’ yang ditetapkan) akan dikelompokkan ke dalam kohort yang sama. Setiap pelayar web pengguna akan berkongsi ID kohort, yang menunjukkan kumpulan mana mereka berada, beserta dengan laman web dan pengiklan untuk mereka.
Disebabkan itu juga Vivaldi menggelar idea ini sebagai ‘langkah berbahaya yang dapat menjejaskan privasi pengguna‘, walaupun pembinaan profil (profiling) itu dilakukan atau dicipta secara lokal di peranti pengguna.
Sekiranya anda juga enggan membenarkan Google Chrome mencipta profil anda di komputer, anda bolehlah muat turun extension seperti DuckDuckGo Chrome extension yang akan menyekat fungsi FLoC, atau muat turun sahaja pelayar Brave/Vivaldi.
Anda boleh cuba periksa ‘FLoC ID‘ anda (sekiranya ada) di sini: https://amifloced.org/
*Setakat ini masih belum kedengaran apakah pendirian Microsoft berhubung perkara ini, dan adakah mereka akan memasukkan ciri FLoC ke dalam pelayar Edge.
Sumber: