Kita masih lagi secara teknikalnya berada dalam tempoh kawalan pergerakan. Meskipun kita sudah boleh bergerak dengan lebih jauh, tambahan lagi diiringi surat kebenaran dari pihak polis, tetapi pada kebanyakan masa rumah adalah tempat di mana kita sentiasa berada.
Salah satu aktiviti menghilangkan kebosanan di rumah ialah menonton filem. Netflix dan HBO GO menjadi peneman setia di kala kita memerlukan sedikit hiburan sementelah sekian lama tidak dapat pulang ke kampung. Nak balik beraya? Mungkin perlu simpan dulu impian itu buat sementara waktu.
Tetapi kita perlu beradaptasi dengan keadaan ini. Tidak salah kiranya kita berikan sedikit ‘boost’ terhadap media hiburan di rumah. Dengan menukar aktiviti tontonan filem menjadi seakan panggung wayang mini, kita dapat mengubah suasana rumah terasa lebih meriah dan ceria.
Terdahulu, kami pernah mengulas mengenai Lumos Auro, model mercu untuk projector dari syarikat ini.
Kini, kami hadir sekali lagi untuk berkongsi dengan anda model bajet mereka, iaitu Lumos Ray. Model yang kami peroleh ini ialah versi ‘Smart’, iaitu di dalamnya sudah tersedia Netflix dan YouTube serta kebolehan untuk menggunakan WiFi, Bluetooth, dan sebagainya lagi.
Tanpa melengahkan masa, mari kita lihat serba sedikit apa yang ada dalam kotaknya.
Ya, Lumos Ray ini bentuknya lebih besar daripada Lumos Auro.
Spesifikasi Lumos Ray
Spesifikasi Teknikal | RAY Smart | RAY Regular |
Resolusi | 720p BluRay (Menyokong 1080p) | |
Kadar Keterangan | 3000 Lumens | |
Nisbah Kontras | 3000:1 | |
Jangka Hayat Lampu LED | >50,000 Jam | |
Nisbah Aspek | 16:9/4:3 | |
Saiz Unjuran Skrin | 50-150 Inci | |
Jarak Unjuran | 1.5-4.5M | |
Nisbah Lemparan Pendek | 1.35:1 | |
Pembesar Suara | 4Ω3W x 2 (Menyokong Dolby Audio) | |
Pembetulan Keystone | Mendatar & menegak
± 15 ° (Menggunakan Alat Kawalan Jauh) Versi Regular tidak mempunyai Pembetulan Keystone |
|
Antaramuka | AV/HDMIx1/USBx1/Audio out | |
Bekalan Kuasa | AC110-240, 50/60Hz | |
Penggunaan Kuasa | 60W | |
Berat | 1.2 KG | |
Dimensi | 16 x 17 x15 cm | |
Sistem Operasi | Android 6.0 | – |
Storan & Memori | RAM 1GB + ROM 8GB | – |
Bluetooth | Bluetooth 4.0 | – |
Screencast | Terbina dalam aplikasi Airplay/AirScreen untuk iPhones & telefon Samsung
Miracast untuk telefon Android |
– |
Aplikasi | Youtube, Netflix, Play Store | |
WIFI | Ada | – |
Aksesori | Projector *1
Manual pengguna*1 Kabel Kuasa*1 Kabel AV*1 Kabel HDMI*1 Alat Kawalan Jauh*1 |
|
Boleh Melekap? | Tidak, ia terlalu kecil untuk melekap | |
Waranti | 1 tahun |
Mari Meneliti Lumos Ray
Lumos Ray berbentuk kotak comel. Ia agak besar, dan dengan berat 1.2kg, walaupun dipasang bersama pemegang, saya boleh katakan tidaklah ia begitu mudah alih untuk dibawa ke mana-mana, melainkan anda sanggup bawa bersama dalam kereta – beserta pelbagai lagi aksesorinya.
Dihadapannya terdapat lubang-lubang kecil pembesar suara.
Di sebelah kiri dan kanan juga terdapat pembesar suara, yang menyokong Dolby Audio.
Di sebelah atas-hadapan, adanya pemancar dengan sokongan native 720p BlueRay, dan sokongan resolusi 1080p.
Di sebelah atas, terdapat butang kuasa. Anda hanya perlu menekan butang ini kurang satu saat sahaja untuk menghidupkannya.
Di atas lensa pemancar, adanya tombol laras fokus. Tombol ini anda gunakan untuk melaras ketajaman pancaran sehingga kejelasannya seimbang.
Di bahagian belakang pula terdapat pelbagai port yang terdiri dari port IR, headphone jack 3.5mm, AV, HDMI, USB, dan kad SD.
Setelah menggunakan projektor ini selama beberapa minggu, saya mendapati bahawa terdapat kecenderungan kepada hasil pancaran/projeksi untuk ditumpukan daya ketajamannya di bahagian tengah. Atas sebab itu, hasil pancaran di kawasan tepi adalah sedikit kabur.
Anda boleh lihat pada contoh gambar di bawah, pada kawasan yang saya tandakan dengan anak panah.
Atau anda boleh lihat pada gambar yang dipenuhi manusia seperti ini untuk memahami bagaimana pemancarnya berfungsi.
Namun, setelah filem dimainkan, kekaburan itu tidak begitu ketara atau menjengkelkan. Berikut saya kongsikan lagi beberapa gambar untuk memberikan kepada anda gambaran (pun intended) kepada hasil kualiti pancaran Lumos Ray sewaktu filem sedang ditonton.
Kualiti pancaran/tayangan pada waktu siang dengan kadar cahaya memenuhi ruang rumah lebih kurang 70% adalah baik. Tidak terlalu kabur, tidak pula terlalu terang. Pancaran dalam keadaan ruangan bercahaya (sekiranya anda enggan menutup langsir) adalah cukup bagus, cuma jangan berharap ianya sebaik pancaran dalam keadaan gelap.
Saya tidak menggunakan sistem operasi Android terbina dalam pada Lumos Ray, sebaliknya saya sambungkan ia kepada Mi Box S sedia ada menggunakan kabel HDMI yang diberi. Pada saya, tiada apa yang begitu menarik untuk diperkatakan mengenai ‘custom ROM’ tersebut, melainkan ia sesuai diguna pakai sekiranya anda tiada medium pemain lain (seperti Android TV Box).
Terdapat satu kekecewaan pada saya selepas menggabungkan ia bersama Mi Box S. Audio 5.1 yang dimain secara automatik tidak kedengaran langsung sewaktu Netflix dijalankan. Saya tidak pasti sama ada model yang saya terima ini bermasalah, atau sememangnya isu ini datang dari Lumos Ray.
Apabila saya menukar audio kepada audio standard (original), barulah bunyi keluar seperti sepatutnya. ‘Isu’ ini perlu diperbaiki oleh pihak Lumos dalam keluaran akan datang. Semua fungsi seharusnya dapat digunakan secara keluar-dari-kotak (working out-of-the-box).
Setakat pengujian dilakukan, itu sahaja ‘masalah’ yang timbul. Selain ini, penggunaan projektor berjalan lancar walaupun saya memancarkan filem berjam lamanya. Bab ketahanan produk ialah satu perkara yang patut dipuji, apatah lagi hasil binaan akhir yang tampak mantap.
Saya mengesyorkan kepada anda, untuk menggunakan projector stand supaya mudah untuk anda kendalikan projektor ini, kerana saya ingin mengingatkan anda bahawa ia agak berat. Jika hendak dapatkan projector stand, sila beli yang benar-benar kukuh!
Saya naikkan projektor ini setinggi 1.6 meter dan letakkan ia sejauh lebih kurang 3 meter dari dinding.
Berikut pula saya kongsikan kualiti audio. Saya jamin, audio dikeluarkan dari pembesar suara adalah memuaskan, walaupun tidaklah sekuat sound bar yang anda beli dengan harga kayangan.
Konklusi
Lumos Ray amat sesuai digunakan dalam bilik kecil untuk dinikmati bersama keluarga tersayang. Malam filem atau movie night akan menjadi lebih menarik apabila bilik atau ruang tamu diubah kepada panggung mini yang dapat mengurangkan rasa gundah ketika diri tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Mungkin di hari raya nanti kita masih perlu gunakan aplikasi persidangan video untuk menghubungi keluarga, mungkin kita akan bertakbir di rumah. Hendak pergi ke panggung wayang juga kita masih takut dengan penyebaran virus Covid-19.
Tetapi setidak-tidaknya dengan kewujudan projektor Lumos Ray di rumah, rasa sedih itu dapat dikurangkan, dan pelaburan wang ke arah hiburan sendiri dapat dirasakan berbaloi akhirnya.
Janganlah anda berharapkan pancaran 3000 lumens sesuai digunakan untuk kerja-kerja persembahan PowerPoint dalam mesyuarat di pejabat pula. Sesuai dengan harganya, Lumos Ray adalah untuk mereka yang dambakan panggung wayang mini dalam kesenangan dan kesunyian bilik tidur sendiri. Selain isu Audio 5.1 yang telah saya nyatakan di atas, sukar hendak cari kekurangannya, kerana harga jualan projektor ini setaraf harga telefon pintar murah yang selalu dibeli untuk dicampak oleh anak anda.
Jika anda ingin memenuhkan rumah dengan bunyian ala wayang, anda bolehlah beli Lumos Ray melalui pautan ini:
>>> Lumos Ray