Artikel ini dibawakan khas kepada anda dengan kerjasama dari Guru99 – Free Training Tutorials & Video for IT Courses.
Apa Itu Sistem Operasi?
Setiap kali anda menghidupkan komputer, anda akan dapat melihat skrin di mana anda boleh melakukan pelbagai aktiviti berbeza seperti menulis, melayari internet atau menonton video. Apakah perkara yang membuatkan perkakas komputer dapat menjalankan kerja-kerja seperti itu? Bagaimana pemproses pada komputer anda tahu yang anda mahukan ia untuk memainkan satu fail mp3?
Ianya adalah peranan sistem operasi atau kernel yang menjadikan setiap tugas tersebut sebagai kenyataan. Kernel ialah satu program yang menjadi jantung kepada setiap sistem operasi di mana ia mengendalikan perkara-perkara asas, seperti menjadi perhubungan komunikasi antara perkakas dan perisian/aplikasi.
Sila lihat rajah di bawah.
Jadi, untuk menjalankan komputer anda, anda memerlukan sistem operasi. Lebih tepat lagi, anda memang sedang menggunakan ia semasa anda sedang membaca artikel ini pada komputer anda. Sekarang anda mungkin telah pun menggunakan sistem operasi yang popular seperti Windows dan Apple OS X tetapi di sini kita akan mempelajari apa itu Linux dan apa faedah yang ditawarkan berbanding sistem operasi lain.
Apa Itu Linux? Siapa Pencipta Linux?
Linux ialah sejenis Sistem Operasi (dan/atau) Kernel yang terhasil dari minda seorang lelaki bernama Linus Torvalds, ketika beliau masih seorang pelajar sains komputer. Beliau pernah membangunkan Sistem Operasi UNIX (sejenis sistem operasi tertutup atau ‘proprietary‘) dan berpendapat bahawa ia memerlukan penambahbaikan.
Walau bagaimanapun, apabila cadangannya ditolak oleh para pereka UNIX, beliau terfikir untuk melancarkan sistem operasinya sendiri yang akan menerima perubahan, pengubahsuaian yang dicadangkan sendiri oleh penggunanya.
Kernel Tunggal Dan Hari-Hari Awalnya
Jadi Linus menyusun dan membangunkan satu Kernel yang dinamakan sebagai Linux pada tahun 1991. Cuma ia memerlukan program seperti pengurus fail, penyunting dokumen, program audio dan video untuk dijalankan padanya. Ibaratkan ia seperti anda mempunyai kon tanpa aiskrim di atasnya.
Semakin waktu berlalu, beliau berkolaborasi pula dengan para pengaturcara lain di tempat-tempat seperti MIT dan aplikasi-aplikasi untuk Linux mula muncul. Di sekitar 1991, satu sistem operasi Linux yang dapat digunakan dengan beberapa aplikasi dilancarkan secara rasmi dan ini merupakan titik tolak permulaan kepada salah satu sistem operasi sumber terbuka yang disayangi dan menjadi pilihan pada waktu ini.
Versi Linux yang terdahulu adalah tidak begitu mesra pengguna kerana ianya digunakan oleh para pengaturcara komputer dan Linus Torvalds pula tidak pernah ingin untuk mengkomersilkan produknya.
Ini sudah semestinya menjejaskan populariti Linux seperti sistem operasi lain yang berorientasikan komersil seperti Windows. Walau bagaimanapun, aspek sumber terbuka sistem operasi Linux menjadikannya lebih mantap dan teguh.
Linux Mendapat Perhatian Sewajarnya
Kelebihan utama Linux ialah para pengaturcara dapat menggunakan Kernel Linux untuk mencipta dan merekabentuk sistem operasi mereka sendiri. Dari semasa ke semasa, beberapa sistem operasi Linux yang lebih mesra pengguna mula menyerang dunia komputer.
Sekarang, Linux ialah salah satu Kernel yang paling popular dan digunakan secara meluas, serta menjadi tulang belakang kepada pelbagai sistem operasi yang popular seperti Debian, Knoppix, Ubuntu, dan Fedora. Senarai ini tidak terhenti di sini kerana terdapat beribu-ribu sistem operasi yang berasaskan Linux yang menawarkan pelbagai ciri dan fungsi berbeza kepada penggunanya.
Faedah-Faedah Menggunakan Linux
Linux kini mendapat populariti di peringkat utama dan ia terkenal di kalangan pengaturcara serta pengguna komputer biasa di seluruh dunia. Faedah utamanya adalah:
Ia menawarkan sistem operasi percuma. Anda tidak perlu membelanjakan wang beratus-ratus Ringgit untuk mendapatkan ia seperti sistem operasi Windows.
Disebabkan ia sumber terbuka, sesiapa yang mempunyai ilmu pengaturcaraan boleh mengubahsuainya.
Sistem operasi Linux menawarkan berjuta program/aplikasi untuk dipilih, dan kebanyakan darinya adalah percuma!
Sebaik sahaja anda telah memasang sistem operasi Linux, anda tidak lagi memerlukan antivirus! Linux adalah sistem yang sangat selamat. Lebih-lebih lagi, terdapat komuniti pembangunan global yang sentiasa mencari cara untuk meningkatkan keselamatannya. Dengan setiap kemaskini, sistem operasi menjadi lebih selamat dan mantap.
Linux ialah sistem operasi pilihan untuk persekitaran pelayan disebabkan stabiliti dan kebolehpercayaan/kebolehharapannya (Syarikat-syarikat mega seperti Amazon, Facebook, dan Google menggunakan Linux untuk pelayan-pelayan). Pelayan berasaskan Linux boleh dijalankan tanpa henti, tanpa reboot selama bertahun-tahun.
Adakah Ia Untuk Saya?
Pengguna yang baru dengan Linux, biasanya akan mengelak dari menggunakan ia dengan salah tanggapan bahawa ia adalah sistem operasi yang sukar dan teknikal untuk dijalankan, sedangkan kebenarannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sistem operasi Linux adalah lebih mesra pengguna berbanding yang lain seperti Windows. Jadi hanya dengan mencubanya sahaja anda akan tahu sama ada ia sesuai atau tidak untuk anda.
Terdapat beribu sistem operasi berasaskan Linux; kebanyakan darinya menawarkan keselamatan dan aplikasi terkini, kesemuanya secara percuma!
UNIX Atau Linux?
UNIX digelar sebagai ibu kepada sistem operasi yang menjadi tapak kepada Linux. UNIX direka secara khasnya untuk kerangka utama dan berada dalam perusahaan serta universiti, sementara Linux menjadi pilihan para pengguna komputer, pemaju, dan persekitaran pelayan. Anda mungkin perlu membayar untuk menggunakan kernel UNIX manakala Linux pula sentiasa percuma.
Akan tetapi, setiap baris perintah bagi kedua sistem operasi adalah kebiasaannya sama. Tidak terdapat perbezaan ketara antara UNIX dan Linux. Walaupun antara keduanya tampak berbeza, pada terasnya, kedua-dua UNIX dan Linux pada dasarnya adalah sama. Kalau diselak kembali sejarahnya yang di atas, Linux ialah klon kepada UNIX. Jadi, mempelajari salah satu adalah sama seperti mempelajari yang lainnya.
Sumber asal dari: Introduction to the Linux Operating System