YouTube Music sudah mula dapat digunakan bersama YouTube Premium di Malaysia. Saya sendiri sudah menggantikan Spotify dengan YouTube Music yang pada saya mempunyai terapan ‘kuasa’ algoritma Google yang hebat. Oleh kerana peralihan itu, perlunya ada satu medium bagi melakukan pemindahan dengan mudah.
Perkenalkan, Soundizz.
Soundizz ialah laman sesawang aplikasi pemindahan senarai main, dari satu platform ke satu platform yang lainnya. Meskipun tajuk ini adalah untuk memindahkan dari Spotify ke YouTube Music, anda juga boleh pindahkan ia ke platform penstriman seperti Deezer, TIDAL, Google Play Music, Apple Music, dan sebagainya.
Anda juga boleh pindahkan dari YouTube Music (contohnya) ke platform lain juga. Jadi, ia tidak berhenti di setakat had Spotify ke platform lain sahaja.
Tanpa melengahkan masa, mari kita terus ke cara-caranya.
1. Anda perlu daftarkan satu akaun dahulu di Soundizz.
Kemudian, anda log masuk ke setiap akaun servis penstriman yang anda ada.
Sudah? Bagus. Bila dah siap log masuk, klik terus pada butang ‘convert’, seperti yang anda boleh lihat pada paparan tangkap layar di atas, atau klik pada ‘Transfer’, pun boleh juga.
2. Berikan satu deskripsi kepada senarai main anda, jika anda mahu. Klik ‘Save configuration’. Klik pada ‘Delete Duplicate Tracks’ sekiranya anda hendak mengelakkan dari lagu yang sama berulang-ulang dalam senarai main tersebut.
Boleh juga ‘Set Privacy as Public’ jika anda tidak kisah untuk pengguna lain memanfaatkan senarai main anda.
3. Semak senarai trak lagu. Anda boleh tambahkan lagu setelah ia dipindahkan. Di sini, anda boleh menyemak dan membuang lagu yang anda tidak mahu, dan boleh menambahkan lagu baru apabila ia telah siap dipindah.
4. Pilih platform yang anda mahu. Di sini saya memilih YouTube Music. Jika anda lebih gemar gunakan Deezer, atau TIDAL, jangan lupa log masuk untuk tujuan pemindahan.
5. Lagu sedang dipindahkan. Anda boleh bancuh teh tarik dahulu atau masak Maggi sambil menunggu ia siap. Kalau rajin, hantarlah sikit ke pejabat kami.
6. Oh maaf, belum sempat nak bancuh, dah siap rupanya. Anda boleh tekan pada butang ‘Show’ untuk melihat kesemua lagu-lagu yang dah pun berada di platform baru.
7. Siap. Sekarang anda boleh hala ke YouTube Music dan mula mendengar lagu dari situ. Seperti yang saya tuliskan di atas, anda boleh pindahkan lagu-lagu dari platform penstriman lain, ke platform yang anda mahukan. Jika anda ada senarai main dari YouTube Music yang anda ingin ia berada dalam Spotify, maka bolehlah gunakan cara ini tanpa perlu bersusah payah membuat senarai main yang baharu.
Jom layan headbanging dengan senarai main saya: From the Twisted Mind of Arya Putra.