Seperti yang dapat anda lihat pada tangkap layar di atas, itulah dia paparan antaramuka Ubuntu 19.10 setelah ia selesai dipasang.
Selepas sekian lama tidak menggunakan Linux khususnya Ubuntu, kerana saya memilih untuk berdiam diri dari menulis tentangnya, kini saya berasa ‘sedikit’ terpanggil untuk mengulas tentang Ubuntu 19.10 ini.
Jujur saya katakan, GNOME masih bukan pilihan persekitaran meja yang saya inginkan. Saya lebih gemarkan MATE, kerana ia ‘ringan’ pada sistem dan kelihatan lebih tradisional.
Buat yang tak tahu, MATE ialah fork kepada Gnome 2, persekitaran meja yang ditinggalkan oleh Ubuntu bagi ‘mengejar’ Unity pada waktu itu.
Setelah Unity pula keciciran di belakang lalu diganti dengan GNOME, hanya MATE sahaja yang berkembang hingga menjadi salah satu flavor rasmi Ubuntu.
Malangnya Ubuntu Unity tidak beberapa kelihatan, yang mana salah satu sebab, pembangun utamanya mengidap penyakit kanser dan ini memperlahankan proses pembangunan.
Gambar muka depan kredit ke: LifeWire.
GNOME 3.34
Ubuntu 19.10 hadir dengan GNOME versi 3.34 yang menjanjikan prestasi lebih baik berbanding sebelumnya. Berdasarkan kepada penggunaan saya selama beberapa hari ini, dapatlah disimpulkan bahawa GNOME 3.34 sememangnya mempunyai prestasi yang bagus.
Sebelum ini, animasi ketika membuka launcher terasa lembab dan ‘berat’, tetapi kali ini animasinya terasa lebih lancar serta ‘ringan’.
Malangnya ia masih lagi disertakan dengan beberapa kekurangan yang boleh diaktifkan sendiri oleh pengguna, contohnya ‘minimize on click’.
Tetapi pada pandangan saya, ini tidak sepatutnya masih lagi berlaku, kerana ia bukan ciri yang patut dipandang remeh. Ciri ini adalah asas kepada sesebuah dock/launcher, dan ia patut diaktifkan sebaik sahaja Ubuntu dipasang.
Selain itu, pengguna masih belum dapat untuk seret ikon ke desktop kerana GNOME tidak menyokong ciri tersebut. Saya mungkin tiada masalah dengannya, kerana saya memang suka desktop lebih bersih dan kosong. Tetapi buat mereka yang selesa dengan kerja masing-masing ditempatkan di desktop pasti tidak suka dengan keadaan ini.
Pemacu NVIDIA
Buat mereka yang menggunakan peranti yang memerlukan pemacu NVIDIA, kali ini anda tidak lagi tertinggal di belakang. Ubuntu 19.10 hadir bersama sokongan pemasangan pemacu NVIDIA dari-luar-kotak sewaktu proses pemasangannya berlangsung.
Oleh itu bagi mereka yang meminati permainan video, ini adalah satu ciri paling penting dalam usaha Canonical membawa mereka yang berminat hendak menggunakan Ubuntu menjadi duta tidak rasmi dalam mempromosikan sistem operasi ini.
Saya sendiri bukan ‘gamer’, tetapi golongan gamer ini tidak boleh diabai jika hendak menjadikan Ubuntu sistem operasi pilihan, apatah lagi ianya percuma sahaja. Isu ini bukan isu baru, malah telah sekian lama gamer memilih Windows ehem*pirate*ehem kerana ia lebih mesra dengan permainan dan pemacunya.
Tema Gelap
Ini juga salah satu ciri penting yang saya sukai. Saya tidak mahu pelbagai pilihan tema, cukup sekadar diberikan tema gelap dan saya akan cari sendiri pek ikon kegemaran bagi digabungkan bersama tema gelap tersebut.
Cuma isunya untuk menukar tema, perlu pasangkan GNOME Tweak Tool pula. Memang tak susah, tetapi ciri ini sudah sedia ada dalam Ubuntu 19.10, jadi mengapa tidak sertakan sahaja pilihan penukaran tema di dalam tetapan?
Sedangkan Windows 10 sendiri memberi pilihan ini, saya tidak nampak kenapa Ubuntu perlu menyorokkannya pula. Tidak munasabah dan tidak masuk dek akal.
Sistem Fail Eksperimental ZFS
Jika anda masih amatur dalam dunia Linux, saya sarankan anda baca terlebih dahulu mengenai sistem fail ZFS sebelum mengambil keputusan untuk mencuba.
Canonical sudah mengumumkan mengenai sokongan terhadap sistem fail ini lama dahulu sebelum melancar Ubuntu 19.10.
Antara faedah menggunakan ZFS berbanding ext4 ialah ia mempunyai ciri:
- Penyimpanan bersusun.
- Copy-on-write.
- Snapshots (untuk mengesan perubahan dalam sistem fail).
- Pengesahan integriti data dan pembaikan automatik.
- RAID-Z.
- Saiz fail maksimum 16 exabyte.
- Storan maksimum 256 quadrillion zettabyte.
Kernel Linux 5.3
Ada banyak lagi ciri baru pada Ubuntu 19.10 ini. Tetapi saya cuma nak sentuh hanya beberapa ciri penting, dan kernel 5.3 termasuk salah satu darinya.
Pada saya ciri-ciri baru yang dimasukkan ke dalamnya amat dialu-alukan, tetapi ciri seperti algoritma pemadatan kernel lz4 yang menjadikan masa boot lebih pantas adalah ciri paling dihargai.
Ubuntu sudah sememangnya dapat boot dengan laju, dan ciri ini menjadikan ia bertambah laju laju lagi.
Muat Turun Ubuntu 19.10
Cerita panjang pun tak guna apa kalau anda sendiri tidak merasa. Eloklah muat turun, rakam (burn) dalam pemacu USB, dan buat live boot untuk cuba terlebih dahulu.
Fail ISO boleh dimuat turun pada pautan di bawah
Ubuntu 19.10 ini bolehlah anda jadikan sandaran untuk belajar sistem Ubuntu dan Linux, kerana pada saya versi LTS seterusnya akan menjadi satu versi atau rilisan yang sangat penting kepada sejarah apabila ia dilepaskan pada waktu Windows 7 sudah pun menemui akhir hayatnya.
Jika anda ‘gamer’ dan telah memasang Ubuntu 19.10, saya harap anda boleh berikan maklum balas mengenai percubaan anda di ruang komen.
Ubuntu 20.04 – aku tunggu mu datang.