Lazada Slash Dan 11.11 Sales 2018 : Kegembiraan Dibalas Penipuan

Tidak dapat disangkal lagi, gedung belian atas talian sudah menjadi sinonim dengan rakyat Malaysia. Pelbagai servis dan saluran gedung atas talian, tidak kira baru atau sudah lama bertapak di negara ini, kekal menjadi pilihan untuk membeli belah. Ini dirancakkan lagi dengan penyediaan aplikasi mudah alih pada telefon pintar oleh gedung-gedung ini yang membolehkan pengguna memilih dan memesan produk di atas talian pada bila-bila masa, dan di mana jua.

Lazada Malaysia kekal menjadi gedung atas talian yang utama di Malaysia. Menewaskan pencabar terdekat mereka Shopee dan pelbagai lagi gedung atas talian yang lain seperti Lelong, 11Street, Zalora dan lain-lain. Antaramuka yang senang digunakan dan juga pelbagai tawaran potongan harga mungkin menjadi tarikan utama pembeli untuk membeli di gedung mereka.

Menjelang jualan 11.11 mereka baru-baru ini, Lazada Malaysia telah mengadakan peraduan diskaun terhadap barangan yang terpilih. Pengguna perlu “slash” barangan yang mereka pilih dan berkongsi pautan “slash” mereka. Semakin ramai orang “slash” pautan mereka, semakin banyak potongan harga yang mereka perolehi. Buat mereka yang mempunyai ramai kawan atau pengikut, dengan mudah sahaja mereka berupaya menikmati potongan harga sehingga ribuan ringgit terhadap barangan yang berharga mahal.

Namun, langit tidak selalu cerah. Dengar guruh di langit tidak bermakna hari hendak hujan. Selepas kempen tamat, ramai pengguna Facebook telah melahirkan rasa tidak puas hati kerana potongan harga yang dijanjikan tidak kunjung tiba. Ada yang pesanan mereka dibatalkan tanpa sebab. Ada yang mengalami kegagalan untuk membuat pembayaran lalu pesanan mereka dibatalkan secara automatik. Malahan, ada juga yang mendapat bayaran balik daripada Lazada tanpa mereka minta atas alasan pesanan mereka telah dibatalkan.

Iklan Google
Iklan Google

Sebagai sebuah gedung atas talian yang kekal menjadi gedung nombor 1, masalah ini tidak seharusnya berlaku. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebuah publisiti murahan dan menjijikkan daripada sebuah syarikat korporat besar yang tidak mahu mengeluarkan belanja untuk promosi (sekiranya “kemalangan” ini disengajakan).

Mengapa saya berkata sedemikian? Dalam kempen “slash” ini, pembeli akan berkongsi pautan ke Lazada untuk mendapat potongan harga. Rakan atau pengguna lain seterusnya akan melawat laman Lazada dan melihat senarai produk di Lazada. Di sini, Lazada sudah mendapat 2 aliran trafik di laman mereka dengan mudah. Bayangkan ribuan orang menyertai kempen ini dan setiap satu daripada mereka menjemput 10 orang pengguna lain? Berapa banyak trafik telah Lazada perolehi dengan mudah?

Apabila pengguna memperoleh potongan harga, Lazada kemudiannya membatalkan potongan harga tersebut dan cuma membayar jumlah kecil, yakni harga “selepas diskaun”. Sebagai contoh, katakan seorang pengguna berusaha dengan gigih untuk membeli sebuah telefon pintar berharga RM2200. Dengan 130 “slash” daripada rakan-rakannya yang lain, dia akhirnya berjaya membeli telefon tersebut dengan harga RM200. Pembayaran dibuat dan pengguna tersebut tersenyum dan puas dengan usahanya yang menbuahkan hasil. Namun, beberapa hari kemudian, Lazada telah menhantar emel permohonan maaf dan membuat pulangan wang sebanyak RM200 yang telah dibayar atas alasan pesanan dibatalkan. LAZADA TELAH MENDAPAT 130 PUBLISITI PERCUMA TANPA PERLU MENGELUARKAN 1 SEN PUN!

Perkongsian daripada pengguna di laman Facebook juga menyatakan perkara yang sama. Rata-rata pengunjung mengadu menerima nasib yang sama baik daripada tawaran kempen “slash”, tawaran baucer kupon, mahupun diskaun 11.11.

Samada masalah ini berpunca daripada Lazada Malaysia ataupun penjual sepatutnya bukan menjadi isu kepada pengguna kerana Lazada Malaysia sebagai penyedia servis seharusnya bertanggungjawab secara penuh dan bukannya meletakkan kesalahan dan masalah ke atas bahu pembeli. Sekiranya penjual bermasalah, Lazada Malaysia seharusnya membuang mereka daripada platform dan meminta mereka membuat gantian produk yang sama. Bukannya sekadar membuat gantian wang yang kecil. Lagipun, ini bukan pertama kali mereka menjalankan servis ini. Pengguna ke platform anda untuk membeli produk tersebut, bukannya untuk mendapat baucer maaf.

Antara perkongsian pengguna :

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Lazada Malaysia. Amat mendukacitakan apabila masalah yang sama kerap berlaku setiap kali jualan murah dan juga kempen diskaun. Lebih memalukan apabila masalah ini menimpa sebahagian besar pengguna. Kempen dan taktik memualkan ini seharusnya dibendung dan mungkin perlu campur tangan daripada KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA (KPDNHEP) atas kesalahan penipuan dan manipulasi harga.

Iklan Google
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di mm@omghackers.com

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

spot_imgspot_img