Android Box amat popular dari kalangan cord cutters atau bahasa Melayunya golongan yang sudah tidak lagi menggunakan televisyen ‘tradisional’ sebagai cara untuk menikmati kandungan siaran tv.
Tapi apa sebenarnya Android Box ini?
Sebenarnya ia hanyalah sebuah peranti yang direka khusus untuk menjalankan proses penstriman dengan sistem operasi Android sebagai teras.
Ia serasi dengan alat kawalan jauh, manakala pelancar atau launcher direka untuk memudahkan navigasi kepada aplikasi, dan perkakas dalamannya juga tidak ubah seperti apa yang terdapat pada telefon pintar Android anda.
Itu sahaja. Jangan peningkan kepala dengan pelbagai terminologi yang memualkan.
Android TV Box, IPTV Box, set top box, itu semua adalah merujuk kepada peranti yang sama.
Peranti yang membolehkan anda untuk strim kandungan dari internet terus ke televisyen anda.
Apa yang menjadikan ia Android Box?
Anda pasti pernah dengan Roku, Apple TV, kan?
Secara asasnya semua peranti ini menjalankan kerja atau tugas yang sama. Sama seperti pemain mp3 kepada iPod.
Cuma disebabkan peranti bergelar ‘Android Box’ ini mempunyai spesifikasi beserta paparan antaramuka mesra pengguna yang lebih terarah kepada penstriman di televisyen, maka ia lebih cenderung dipilih untuk digunakan berbanding model lain.
Kesemua peranti ini jatuh kepada kategori ‘peranti penstriman’.
Apakah jenis Android Box yang ada?
Sama seperti telefon pintar, peranti ini juga hadir dengan pelbagai spesifikasi dari rendah kepada tinggi untuk dipilih.
Sesetengah Android Box mempunyai pemproses high-end dan ruang storan yang agak besar untuk sesuatu yang tugasnya hanyalah menjalankan penstriman, namun harganya juga menjadi sedikit mahal.
Ada juga yang didatangkan dengan pemproses low-end, ruang storan dalaman yang agak kecil, serta harga yang murah. Namun spesifikasinya hanya sekadar ‘cukup-cukup makan’ untuk strim kandungan video berdefinisi tinggi. Sedikit lag adalah patut dijangkakan.
Cara terbaik untuk memilih adalah dengan menentukan bajet anda terlebih dahulu, kemudian baca dan tonton ulasan mengenai produk yang anda minati untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai prestasi sebenarnya.
Maklum saja, terkadang spesifikasi tidak menggambarkan prestasi. Jika ekspektasi anda untuk peranti tersebut adalah tinggi, maka siapkan juga modalnya. Namun pada masa ini, peranti yang berharga bermula dari RM180 hingga RM250 sudah pun cukup untuk memberikan anda kepuasan terhadap kualiti penstriman yang anda mahukan.
Selamat memilih, membeli, dan selamat menonton!