Saya sememangnya sudah lama ingin menggantikan telefon yang sedang digunakan sekarang, iaitu Poco F2 Pro. Apa lagi model bajet yang layak menggantikannya, jika bukan Poco F3?
Saya mendapatkan varian 8GB RAM, dan 256GB storan dalaman, yang berharga lebih kurang RM1600 pada ketika ini. Ia merupakan satu bentuk lompatan dari spesifikasi F2 Pro yang saya gunakan, iaitu varian 6GB RAM, 128GB storan dalaman. Tidak lupa juga Snapdragon 870 pada Poco F3, yang mempunyai prestasi lebih tinggi sedikit dari Snapdragon 865.
Adakah Poco F3 menjadi sebuah peranti pengganti yang layak kepada Poco F2 Pro? Mari kita lihat sedikit sebanyak spesifikasi Poco F3.
Nama | Spesifikasi |
Storan dan RAM | 6GB + 128GB / 8GB + 256GB
LPDDR5 RAM + storan jenis UFS 3.1 |
Dimensi | Tinggi: 163.7mm
Lebar: 76.4mm Ketebalan: 7.8mm Berat: 196mm |
Paparan | 6.67 inci AMOLED DotDisplay
2400×1080 FHD+ Nisbah aspek: 20:9 Nisbah kontras: 5,000,000:1 Kecerahan: 900nits (HBM typ), 1300nits (peak) HDR10+ Penyegaran semula: 120Hz kadar pensampelan sentuhan: 360Hz Sunlight display 3.0 Sensor 360° Ambient Light Corning® Gorilla® Glass 5 Menyokong ciri MEMC Paparan SGS Eye Care SGS Seamless Pro 120Hz |
Pemproses | Qualcomm® Snapdragon ™ 870
CPU: Qualcomm®️ Kryo ™ 585, proses pembuatan 7nm, CPU lapan-teras, hingga 3.2GHz GPU: GPU Qualcomm® Adreno ™ 650 Modem X55 untuk sambungan 5G sepantas kilat |
Bateri & Kelajuan Pengecasan | 4520mAh (typ)
Pengecasan pantas 33W |
Kamera | Kamera utama 48MP, 8MP sudut ultra-lebar, 5MP telemakro, 20MP kamera hadapan |
Audio | Pembesar suara berkembar
Pensijilan Hi-Res Audio Dolby Atmos® |
Sistem Operasi | MIUI 12 for POCO |
Panggil saja telefon ini peranti mercu bajet, peranti pertengahan mercu, atau peranti ‘pembunuh peranti mercu’ (flagship killer), ia sememangnya sudah sinonim dengan jenama POCO. Poco F3 tidak terkecuali, apabila menempatkan pelbagai ciri premium pada harga jualan yang rendah.
Sememangnya apabila dijual dengan harga murah, pastinya akan ada kompromi. Itu, kita akan cuba bicarakan kemudian. Sekarang, kita ceritakan sedikit apa yang menarik mengenai peranti ‘anak buah’ Xiaomi ini (POCO sudah pun ‘keluar’ dari Xiaomi, menjadikan mereka entiti berasingan, walaupun sistem operasi masih mengekalkan MIUI for POCO).
Saya telah pun menggunakan Poco F3 ini selama beberapa minggu, dan ini ialah beberapa perkara yang saya rasakan patut dikongsi bersama anda semua.
Prestasi
Sebenarnya, perlukah lagi untuk saya bicara mengenai prestasi peranti ini? Buat yang masih samar, Snapdragon 870 adalah pemproses ‘overclocked’ dari model sebelumnya iaitu Snapdragon 865. Ia merupakan chipset yang kurang bermasalah, tiada isu seperti haba panas, dan berprestasi tinggi.
Sebaik sahaja 870 dilepaskan sebagai pengganti, beberapa ciri dari 865 masih dikekalkan (seperti ISP) tetapi kuasanya dipertingkatkan sedikit. Jika anda penggemar permainan dengan grafik yang padat beserta pergerakan karakter yang jitu, anda tidak perlu bimbang tentang prestasi Poco F3.
Ia mampu memberikan kepuasan permainan yang sama sahaja seperti peranti mercu, tanpa sebarang lag, grafik terasa ‘berat’, atau masalah keserasian (compatibility).
Reka Bentuk
Reka bentuk Poco F3 kelihatan dan terasa seperti sebuah peranti yang mahal, walaupun harganya masih lagi jatuh dalam julat pertengahan. Ia terbina dari Corning Gorilla Glass 5 di depan dan belakang, oleh itu telefon ini agak licin sedikit. Saya syorkan supaya anda pakailah sebuah case yang berkualiti, kerana telefon ini agak mudah untuk terjatuh dari genggaman.
Kemudian, saya saran untuk anda pasang tempered glass pada skrin, kerana walaupun ia sememangnya kukuh dengan Gorilla Glass 5, masih terdapat berbagai elemen yang mampu membuatkan ia pecah, atau paling kurang sekalipun, bercalar. Kalau tak percaya, bolehlah tonton video di saluran YouTube JerryRigEverything. 🤷♂️
Saya sukakan reka bentuk dan susun atur set kameranya. Kita akan bicara mengenai kualiti imej dan video yang diambil kemudian, tetapi pada ketika ini, saya hanya ingin menikmati rupanya yang tampak elegan. Siapa kata peranti bajet tidak boleh mempunyai unsur yang cantik? Reka bentuk seakan sama, dapat dilihat pada peranti Xiaomi yang lebih mahal, iaitu Mi 11.
Pengimbas Cap Jari
Pada awalnya, saya hampir saja menjadi kurang gemar (bahasa lebih kasarnya – benci) dengan pengimbas cap jari yang berada lokasinya di bahagian tepi.
Tetapi, selepas beberapa minggu menggunakannya, bolehlah dikatakan lokasinya agak ‘logik’, walaupun kadangkala menjengkelkan juga.
Bukan apa, apabila ia berada di tepi seperti ini, anda perlu mengangkat telefon terlebih dahulu sebelum dapat meletakkan jari dengan betul di tempatnya. Jika ia berada dalam paparan seperti model F2 Pro, telefon di atas meja pun tiada masalah. Letakkan saja jari telunjuk yang telah dimasukkan datanya, dan ia siap dibuka.
Dari segi kelajuan dan ketepatan, tidak dapat dinafikan lagi, pengimbas cap jari fizikal sememangnya laju dan jarang sekali tersalah imbasan, apatah lagi bila dibandingkan dengan pengimbas dalam paparan pada Poco F2 Pro yang amatlah menyebalkan kerana sering tidak dapat membuka kunci apabila gagal mengimbas dengan baik.
Jika hendak dibanding dengan model Realme GT Master Edition yang baru saja saya ulas beberapa minggu lalu (dalam saluran YouTube OMG Hackers), boleh dikatakan keduanya hampir sama pantas, walaupun model dari Realme itu menggunakan pengimbas dalam paparan. Ini menandakan kemajuan teknologi pengimbas cap jari dalam skrin yang sudah semakin maju mengikut peredaran zamannya.
Pembesar Suara Berkembar/Dwi Stereo
Dengan sokongan Dolby Atmos, hampir saja tiada rungutan hendak diperkatakan mengenai pembesar suara yang telah disertakan dalam Poco F3 ini.
Audio yang dikeluarkan agak kuat, dan ditala dengan baik meskipun tanpa bantuan talaan oleh JBL apatah lagi Harman Kardon seperti yang terdapat dalam model Poco F3 GT (talaan oleh JBL) dan 11T Pro (talaan oleh Harman Kardon).
Kalau ada satu-satunya ‘rungutan’ (atau cadangan/harapan) yang saya ingini dari pembesar suara berkembar stereo ini ialah agar suatu hari nanti wujudlah hendaknya teknologi yang memungkinkan ia dihala ke hadapan.
Ini bukan perkara baru. Kita pernah menikmatinya suatu ketika dulu, iaitu zaman sebelum wujudnya istilah ‘nirbingkai’ (bezel-less).
Semenjak wujud keinginan manusia untuk melihat paparan skrin telefon pintar tanpa bingkainya, maka pupuslah pembesar suara berkembar yang dihalakan ke hadapan. Model seperti HTC One menjadi ‘dinosaur’ serta-merta dan dilihat sebagai tidak lagi relevan kepada arus kemodenan. Kenapa? Kerana reka bentuknya yang menempatkan bingkai di kiri-kanan-atas-bawah.
Paparan Skrin
Saya sudah lama inginkan sebuah peranti dengan sokongan ciri kadar penyegaran semula 120Hz, dan sebelum ini saya telah pun dapat mencubanya pada Realme GT Master Edition.
Apabila saya melihat skrin Poco F3 ini lalu dibanding sebelah-menyebelah dengan Poco F2 Pro, saya sudah tidak lagi ‘berselera’ dengan skrin 60Hz itu. Segalanya nampak lebih ‘enak’ dan ‘berkilauan’ dengan 120Hz, dan ini bukan sebuah pujian yang berlebihan (exaggerate).
Sokongan ciri MEMC (Motion Estimation / Motion Compensation) yang menjadikan setiap pergerakan (motions) lebih cantik serta lancar dengan bantuan penambahan pergerakan menggunakan kecerdasan buatan, dan ciri Super Resolution yang menambahkan resolusi (juga dengan bantuan kecerdasan buatan), apa saja yang anda tonton akan kelihatan lebih ‘sedap mata memandang’.
Cuma, anda perlu ingat, sekiranya fungsi (MEMC) ini diaktifkan, dan anda lebih kerap menonton video disebabkan olehnya, bateri telefon akan semakin cepat habis berbanding kebiasaannya kerana ciri ini agak kuat menggunakan kuasa pada pemproses.
Kadar kecerahan ketika berada di luar agak baik. Tiada masalah sekiranya anda menetapkan tetapan kecerahan pada auto, kerana apabila anda berada di luar kecerahan skrinnya masih membolehkan apa yang terpapar untuk dibaca oleh mata.
Kuasa Bateri
Kuasa baterinya dapat bertahan dalam tempoh kurang dari sehari (kurang dari 12 jam) sekiranya digunakan secara konsisten (seperti bermain permainan dengan grafik tinggi) dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Bab kadar penyegaran semula ini, anda tidak perlu terlalu bimbang ia akan menghabiskan bateri kerana ia mempunyai ciri adaptive yang bermaksud penyegaran semulanya akan mengikut aplikasi tertentu.
Setakat ini, walaupun selalunya saya tidak berjaya membuat Poco F3 bertahan sampai ke malam, saya masih amat berpuas hati kerana baterinya habis bukan kerana sesuatu yang tidak munasabah (saya selalu mengecas telefon ketika bateri sudah berbaki lebih kurang 20-25%).
Apabila anda bermain permainan yang turut menyokong high frame rate sehingga 120 FPS, anda akan memahami apa yang saya katakan ini. Saya cuma terasa sedikit ‘ralat’ pada teknologi pengecasannya yang masih berada pada julat 33W. Ini sudah boleh dikatakan satu spesifikasi yang mula membosankan, dikala peranti pertengahan lain dari syarikat seperti Realme mampu menawarkan kelajuan sehingga sekurang-kurangnya 67W. Xiaomi/Poco, step up will ya? Contoh pada tangkap layar di bawah, bateri sudah pun tinggal baki lingkungan 27%.
Kamera
Akhirnya, tiba juga kita di sini. Kamera adalah satu-satunya ciri yang biasa menjadi kelemahan pada model Poco, dan saya sememangnya bukan peminat Gcam. Saya lebih suka menggunakan aplikasi kamera asal pada peranti, kecuali untuk rakaman video secara profesional, saya akan gunakan aplikasi Filmic Pro.
Kali ini, Poco F3 menggunakan sensor dari dua tahun lepas yang pernah diimplimentasi pada model Mi 9T iaitu Sony IMX 582. Pada saya, di sinilah pihak Poco dapat mengurangi harganya kerana sensor ini pada saya hampir saja tidak relevan.
Ia dapat memberikan hasil foto yang cantik, dengan julat dinamik yang baik, tetapi untuk rakaman video, ia tiada pilihan 4K 60fps, walaupun chipset yang digunakan menyokong ciri tersebut.
Saya sedikit kecewa di situ, kerana Poco F2 Pro menggunakan sensor yang mempunyai pilihan 4K 60fps – dan walaupun tidak distabilkan oleh EIS, saya masih ada cara untuk menstabilkan rakaman iaitu gunakan saja gimbal.
Saya rasa tidak perlu kita panjangkan lagi penulisan ini. Apa kata anda lihat sendiri beberapa keping gambar yang saya ambil, dan jika anda hendak lihat rakaman videonya, anda bolehlah ke pautan ulasan dalam bentuk video di saluran YouTube kami di sini.
Konklusi
Harganya mesra poket, mesra rakyat, prestasinya setara dengan peranti mercu kerana ia menggunakan pemproses Snapdragon 870. Chipset ini tiada sebarang isu ‘overheat’ seperti Snapdragon 888, dan ini semestinya suatu bentuk kelebihan.
Untuk anda yang menggemari rakaman 4K 60fps, saya syorkan cari saja model lain. Barangkali, Xiaomi 11T Pro lebih sesuai untuk anda. Saya sudah pun ‘hands-on’ 11T Pro, dan sejujurnya jika anda modal lebih, saya akan dapatkan peranti itu. Ia berada dalam niche yang disasarkan kepada mereka yang berminat dengan dunia videografi, dan saya amat inginkan peranti seperti itu.
Tetapi jika anda tidak kisah mengenai hal yang saya nyatakan, maka Poco F3 sedikit sebanyak akan dapat memenuhi beberapa kehendak anda (dan semestinya ada ruang untuk penambahbaikan oleh Xiaomi – untuk model pengganti yang akan datang). Buat masa ini, apa yang saya inginkan seperti paparan berkadar segar semula 120Hz dan pembesar suara berkembar/dwi stereo dengan sokongan Dolby Atmos – sudah pun cukup untuk memberikan saya sedikit kepuasan sebelum beralih kepada penggantinya nanti (sama ada model Poco ataupun tidak, itu kita tunggu).
Poco F3 boleh dibeli di: