Kebanyakan dari kita sudah lama meninggalkan cakera keras (HDD) dan beralih kepada SSD.
Secara umum, sepatutnya sudah tiada lagi isu kepantasan proses salin tampal kerana SSD mempunyai tahap kecepatan pemindahan yang tinggi.
Namun itu semua juga tergantung kepada keadaan sistem operasi. Ramai yang dah guna Windows 10, tetapi ramai juga yang masih pakai Windows 7, dan Linux.
Bagaimana cara nak dapatkan kecepatan yang sama untuk semua sistem operasi ini? Atau… jika bukan bermatlamat untuk mendapatkan kelajuan ekstra sekalipun, apakah ada cara untuk mendapatkan opsyen/pilihan dalam menguruskan proses penyalinan data?
Jawapannya ialah dengan menggunakan perisian penyalin fail, dan dalam artikel ini kita akan berkenalan dengan Ultracopier. Ya, memang banyak lagi perisian lain, tetapi saya tertarik dengan Ultracopier kerana ia terdapat untuk pelbagai platform, dari Windows 32-bit, Windows 64-bit, macOS, dan juga Android.
Ultracopier bertindak menggantikan fungsi native penyalin fail pada Windows Explorer. Ini samalah halnya dengan perisian lain seperti TeraCopy ataupun NiceCopier.
Juga seperti perisian tersebut, Ultracopier mempunyai paparan antaramuka yang akan menunjukkan informasi penting seperti saiz fail, sumber asal fail berada, destinasi fail disalinkan, kelajuan penyalinan, dan baki fail yang sedang disalin.
Menariknya, ia mempunyai beberapa tema, seperti yang anda dapat lihat pada tangkap layar di bawah.
Ultracopier mempunyai paparan antaramuka ‘penuh’ yang boleh diakses melalui ikon system tray.
Klik sahaja pada Add copy/moving > Add transfer – dan paparan antaramuka tersebut akan keluar.
Dari situ, klik pada butang ‘More’ untuk memapar lebih banyak pilihan tetapan.
Apa yang menarik, anda boleh ‘tweak’ tetapan untuk meningkatkan prestasinya, dan menambah plugin dari GitHub untuk memasukkan fungsi-fungsi baru.
Bagaimana cara nak pasang dalam Ubuntu?
Mudah sahaja. Gunakan perintah:
sudo apt install ultracopier
Atau muat turun fail .deb dari pautan ini: Package “ultracopier” (eoan 19.10) – UbuntuUpdates.
‘Bersih’ atau tidak fail pemasangnya dari sebarang virus atau cryptominer?
Jangan bimbang. Setakat ini, hasil imbasan dari VirusTotal tidak mengesan sebarang kod hasad yang dapat menggugat keselamatan data peribadi anda mahupun mengganggu prestasi PC.
Muat turun untuk Windows, macOS dan Android: Ultracopier.