
Saya berfikir agak lama juga sebelum membeli peranti ini. Maklum saja, tiada tajaan, semua pakai duit sendiri – tidak seperti ‘kawan-kawan’ media yang lain.
Tetapi saya akan ceritakan, kenapa di akhirnya saya memilih untuk mendapatkan POCO F8 Ultra ini, walaupun jujur cakap, saya memang tidak suka dengan HyperOS. Sangat-sangat tidak suka kerana ia tidak dioptimumkan untuk penggunaan bateri yang berhemah (poor battery usage optimization).
Namun, apabila mendengar beberapa ujian bunyi/audio melalui pembesar suaranya di YouTube, saya rasa barangkali berbaloi untuk mencubanya kesekian kali hanya semata-mata untuk ‘merasa’ pengalaman audio yang berbeza berbanding peranti-peranti lain yang pernah saya gunakan.

Jadi, apa yang saya nak cuba sangat tu? Lihat pada beberapa gambar berikut.
Ciri multimedia yang ada pada F8 Ultra ini, boleh dikatakan ‘penuh’. Dari pembesar suaranya hinggalah kepada paparan skrin, sokongan codec, dan sebagainya lagi.



Anda boleh lihat sendiri ciri-ciri yang ada pada paparan skrin. Hendak menikmati Netflix? YouTube? Ini ialah perantinya. Baik Dolby Vision, HDR10, HDR10+ – semuanya ada.
Peranti Xiaomi kebiasaannya sudah seringkali disertakan dengan Dolby Vision. Seingatnya sejak saya menggunakan model 13T Pro lagi, ciri ini memang ada. Cuma apabila boleh dikatakan ‘semua’ ciri menarik untuk paparan ada pada F8 Ultra, terasa puas melihat padanya (kecuali ia bukan dari jenis LTPO).
Berikut pula ialah ujian pembesar suara yang saya jalankan sendiri. Maaf kalau kurang enak didengar kerana mikrofon digunakan hanyalah versi amatur lagi ‘murah’. Heheh. Kombinasi antara Dolby Atmos dan talaan oleh BOSE, pembesar suara ini ialah satu-satunya yang unik dalam kategori gaming dan multimedia.
Kamera?
Saya ada ambil beberapa keping gambar, tetapi seperti biasa disebabkan ia terlalu baru dan masih ‘panas’ di tangan, maka hanya ada ‘beberapa keping’ sahajalah dalam simpanan (secara literal atau harfiahnya).
Namun, saya rasa dengan ‘beberapa keping’ ini pun sudah cukup untuk anda membuat penilaian sendiri.




















Pada saya, kameranya memang bukan setaraf dengan peranti seperti OPPO X9 Pro, tetapi dengan ‘talaan kecil sendiri’, sedikit sebanyak ia dapat menyamai ‘feel’ yang ada pada peranti flagship lain. Ada yang mengatakan cukup sekadar turunkan sedikit exposure, maka foto-foto dihasilkan hampir kepada S25 Ultra (saya baca komen dalam YouTube saja, sejauhmana kebenarannya saya tidak kisah sangat pun).
Prestasi?
Pada kebanyakan masa, saya cuma memainkan permainan Diablo Immortal dengan tetapan grafik maksimum yang dibolehkan. Seingat saya ia tidak dapat menggunakan tetapan ‘Ultra’ atas pengehadan yang dibuat oleh pembangun permainan itu sendiri.
Apabila dimainkan dengan agak lama, telefon ini akan mula meningkat habanya, tetapi tidaklah terlalu panas hingga tidak selesa, cuma ia secara perlahan-lahan dapat dirasai.
Perkara sama terjadi jika anda tonton YouTube begitu lama, maka haba panas akan mula menyebar. Saya baca beberapa perkongsian dari pengguna lain, mereka juga sama, yang bererti pengalaman saya ini tidaklah ‘unik’ kepada satu peranti sahaja.
Bateri?
Seperti yang saya nyatakan di atas, HyperOS tidak boleh diharap untuk pengoptimuman terhadap penggunaan kuasa bateri. Walaupun kapasitinya agak besar iaitu 6500mAh, tetap saja dirasakan kuasa baterinya dengan segera kehabisan.
Saya tidak sempat hendak membuat tetapan pengukuran penggunaan kuasa menggunakan aplikasi Battery Guru seperti yang selalu saya lakukan, cuma apa yang boleh saya katakan – ia bernasib baik kerana menyokong pengecasan pantas 100W. Jika habis pun dengan cepat ia dapat dicas semula.
Saya menjangkakan penggunaan sehingga lebih 6 jam ‘Screen On Time’ bagi F8 Ultra ini.
Selaku pengguna, saya tetap berharap suatu hari nanti tidak perlu terlalu berfikir tentang bateri (battery anxiety), seperti para pengguna OnePlus 15. Buat masa ini F8 Ultra masih belum dapat dijadikan sebagai peranti utama walaupun cipsetnya lebih berkuasa daripada OPPO Reno14 Pro yang sedang saya gunakan sekarang.
Jadi, kenapa saya beli juga?
Ini semua adalah kerana saya melihat F8 Ultra sebagai satu peranti multimedia terbaik setakat yang telah saya teliti – dalam julat harganya. Jika anda dapatkan varian 256GB pun ia masih berbaloi, dan anda perlu alami serta dengar sendiri kualiti pembesar suara talaan BOSE ini.
Saya dapat rasakan kolaborasi dengan BOSE mungkin akan diteruskan sekiranya jualan F8 Ultra menepati kehendak sasaran Xiaomi/POCO, apatah lagi ia melepasi sasaran tersebut.
Kamera ok? Checked.
Pembesar suara mantap? Checked.
Skrin ada semua ciri yang diinginkan (Dolby Vision dan semua berkaitanlah)? Checked.
Apapun, jika anda berminat hendak mendapatkannya, bolehlah sambar satu atau dua, atau tiga (ikut sukalah!) di pautan-pautan ini:
Terima kasih kerana telah setia membaca hingga akhir. Jumpa lagi di perkongsian seterusnya!
Views: 9




