Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang Dihormati, Tuan Arya Putra selaku Pentadbir
OMG! Hackers?, Yang Dimuliakan barisan sahabat penulis, dan pengunjung terhormat blog OMG! Hackers? yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis sebarang artikel di blog yang dicintai ramai ini. Ibarat derhaka pada pencinta ilmu apabila tidak hadir dengan makalah, ilmiah atau ilmu pengetahuan kepada sejagat. Oleh itu, harap diampun kesalahan hamba, jika tiada aral melintang, hamba akan kembali menulis dan mengarang lebih banyak artikel pada masa hadapan. Seperti yang tertera pada tajuk artikel ini, artikel ini akan menghurai dan membincangkan perihal sebuah perkhidmatan percuma untuk menyunting gambar secara alam maya.
Pixlr merupakan sebuah laman web yang menggabungkan tiga elemen suntingan. Melalui elemen suntingan ini, anda dibekalkan tiga pilihan untuk menyunting gambar berdasarkan tuntutan dan kemahuan anda. Aplikasi penyuntingan pertama ialah Pixlr Editor, yang kedua pula ialah Pixlr Express dan yang terakhir ialah Pixlr O-Matic. Buat pengetahuan umum, saya bukanlah seorang editor gambar, namun berasa takjub, taksub, terpersona lagi kagum dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pixlr. Oleh sebab itu, saya karangkan sebuah makalah untuk dimanfaatkan bersama. Mungkin bagi penggiat seni ilustrasi mahupun fotografi, laman web Pixlr atau yang menyerupai sudah pasti tidak asing lagi bagi mereka tetapi bagi saya, segalanya umpama suatu keajaiban yang disembunyikan kerana saya baru sahaja mengenali laman web serba guna ini beberapa ketika yang lalu. Usah berleter lagi, kita teruskan sahaja kepada tujuan sebenar artikel. Tapi, sebelum itu, ingin saya dahului dengan sedikit objektif mengapa artikel dikarang. Kemungkinan terdapat kelebihan yang tidak dihuraikan namun asas bagi setiap artikel yang dikarang oleh saya khususnya bertujuan untuk memperkenalkan sahaja sesuatu perkhidmatan ataupun servis. Anda perlu dalami dan selami sendiri segalanya tanpa bergantung kepada mana-mana insan. Hasilnya, anda akan mudah mengingati segala yang dipelajari, bermula dari semudah menelan air hingga mengunyah seketul daging kering. Berhempas pulas untuk menikmati suatu perkara, mengerah kudrat dan menitiskan keringat hingga membasahi bumi akan lebih mendatangkan keasyikan terhadap apa yang dilakukan.
Pixlr Editor.
Adakah anda biasa menggunakan perisian Adobe Photoshop atau Gnu Image Manipulation Program (GIMP) dalam pengeditan gambar? Jika ya, mungkin perkhidmatan yang disediakan oleh Pixlr menerusi Pixlr Editor akan sedikit membantu kerja-kerja penyuntingan gambar anda. Tapi sebelum itu, saya ingin maklumkan sesuatu iaitu saya akan mengarang sebuah artikel berguna untuk membuang sesuatu objek yang mencemari gambar anda pada masa akan datang. Hasilnya mungkin tidak sebaik perisian berbayar Adobe Photoshop, namun pasti berguna suatu hari nanti kerana segala perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pixlr bersifat atas talian. Anda tidak perlu memuat turun sebarang perisian bahkan pemalam (plugin) untuk menggunakannya. Itu merupakan salah satu kelebihan Pixlr Editor yang saya dapati sewaktu menggunakannya dalam aktiviti penyuntingan gambar. Pada permulaan penceritaan tentang Pixlr Editor, saya ada menyentuh tentang perisian-perisian penyunting gambar seperti Photoshop dan Gimp. Kebanyakan perisian, aplikasi ataupun perkhidmatan seperti ini memiliki antara muka yang hampir sama, begitu juga dengan Pixlr Editor. Hal ini sekali gus akan membantu anda melakukan kerja penyuntingan. Benar, antara muka Pixlr Editor tidak sama 100% dengan perisian-perisian lain, namun perlu diingat bahawa setiap perisian, aplikasi, atau sebarang perkhidmatan memiliki identiti mereka yang tersendiri. Selain itu, mereka juga perlu pertimbangkan untuk membawa masuk servis-servis terkini terhadap barangan mereka kerana Pixlr Editor berkerja sepenuhnya secara atas talian. Sekiranya di bawa masuk sesuatu yang baru padanya kemungkinan akan membebankan pengguna dan seterusnya menghilangkan ambisi dan keasyikan dalam penyuntingan gambar. Artikel sudah lanjut, namun penceritaan tentang servis yang ditawarkan oleh Pixlr Editor masih samar. Maklumlah, sudah lama tidak menulis, jadi jari-jemari yang sudah kaku perlu diberi pelincir yang baik untuk menghidupkan kembali sesudah berehat panjang. Seperti biasa, di bahagian kiri terdapat himpunan alat yang digunakan dalam penyuntingan gambar dan pada bahagian kanan terdapat beberapa indikator yang akan memudahkan kerja-kerja penyuntingan gambar anda. Aplikasi Navigator, untuk memudahkan anda melakukan penyuntingan terhadap sesuatu gambar dari jarak dekat, jarak jauh, dan menggerakkan gambar anda ke kawasan yang ingin disunting. Layers pula ialah tempat di mana apabila anda melakukan salinan pendua (duplicate) gambar anda dan yang terakhir ialah History iaitu sekiranya terdapat kesilapan dalam pengeditan gambar, anda boleh kembali semula pada tempat terakhir penyuntingan gambar sebelum kesilapan itu berlaku. Umumnya, di bahagian atas terdapat ‘toolbar’ yang mengumpulkan bermacam jenis fungsi pengeditan gambar.
Pixlr Express.
Pixlr Express, namanya sahaja sudah mencerminkan sifat-sifat ataupun fungsi yang terkandung di bawahnya. Menurut saya, Pixlr Express digunakan untuk menyunting gambar dengan kadar segera. Pixlr Express memudahkan anda untuk mengedit gambar dengan pantas dan tidak memerlukan kemahiran yang tinggi. Hanya berdasarkan kemahuan dan keinginan anda, segalanya bakal berjalan dengan lancar. Meskipun bersifat expres atau laju lagak Sani Express, namun segalanya tidak menjelaskan fungsi-fungsi yang terdapat padanya. Hal ini kerana terdapat banyak fungsi yang sengaja disembunyikan oleh Pixlr. Misalannya, di bawah fungsi Overlay terdapat 19 fungsi yang pelbagai dan dibawah fungsi tersebut mempunyai aneka pilihan atau corak yang boleh dimanfaatkan oleh anda berdasarkan kemahuan dan kehendak anda yang tersendiri. Pixlr Express diperkaya dengan pelbagai jenis alatan yang menarik. Pixlr Express ini amat sesuai untuk wanita khususnya mereka yang berminat dengan penyuntingan gambar yang mudah namun serba lengkap. Pixlr Express ibarat perisian Photoscape. Jika dahulu, anda memerlukan perisian-perisian seperti ini, namun kini anda hanya perlu memiliki sambungan internet dan segalanya akan berjalan dengan lancar. Terdapat beberapa fungsi yang perlu dihuraikan iaitu Adjustment memiliki fungsi-fungsi asas untuk pengeditan gambar seperti potong, putar, ubah saiz gambar dan lain-lain, Effect pula berkenaan memberikan kesan terhadap gambar anda, misalannya kesan kabur, zaman 60-an, zaman 90-an dan sebagainya. Overlay pula bertujuan untuk memberikan efek menarik seperti bunga api, nyalaan api, asap dan lain-lain manakala bagi Borders pula ialah meletakkan bingkai pada gambar anda. Jika anda ingin memperindah gambar anda dengan hiburan maka anda boleh menggunakan fungsi yang ditawarkan oleh Stickers dan yang terakhir ialah Type untuk anda meletakkan kalimat-kalimat agung.
Pixlr O-Matic.
Jika Pixlr Express itu anda sangkakan bahawa melakukan kerja penyuntingan melaluinya semudah ABC, maka ada lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pixlr yang lebih mudah. Itulah Pixlr O-Matic. Pixlr O-Matic merupakan versi mudah daripada Pixlr Express, anda hanya perlu klik butang seterusnya (Next). Namun terdapat beberapa fungsi Pixlr Express yang tidak didatangkan pada Pixlr O-Matic. Oleh sebab saya bukan seorang jurugambar dan tidak berpengetahuan tentang seni gambar. Saya tidak dapat mengenal pasti maksud O-Matic yang sebenar. Saya andaikan O-Matic ialah istilah khusus yang digunakan dalam seni fotografi atau mungkin istilah ini merupakan kependekan daripada perkataan Automatik. Jika benar automatik, maka amat serasi ditujukan kepada Pixlr O-Matic yang kerja penyuntingan gambar padanya dipermudahkan dengan fungsi automatik. Tiada kata yang perlu diungkapkan lagi. Anda perlu cuba dan alaminya sendiri.
Anda boleh mengunjungi blog Pixlr untuk melihat sendiri hasil orang ramai yang telah menggunakan perkhidmatan daripada Pixlr. Anda juga boleh menghantar hasil penyuntingan gambar yang dilakukan oleh anda kepada Pixlr melalui Flickr. Selain itu, jika anda berminat terhadap gambar penyuntingan umum, anda boleh menggunakannya pada komputer, telefon pintar mahupun tablet anda sebagai hias latar. Ceriakan harimu dengan melihat keindahan.