Dikhabarkan bahawa Pixel 9 Pro XL mungkin memerlukan pengecas khusus untuk menyokong pengecasan pantas 37W.
Kaedah digunakan oleh Google ini, ialah dengan mengaplikasikan voltan yang lebih tinggi daripada arus biasa. Telefon ini boleh mencapai sehingga 18V, tetapi tidak semua pengecas di pasaran dapat memenuhi keperluan tersebut.
Banyak pengecas USB Power Delivery PPS, termasuk pengecas 45W Samsung, menyokong voltan yang diperlukan. Bagaimanapun, Google mengesyor kepada semua warga bumi agar menggunakan pengecas rasmi 45W mereka untuk memastikan keserasian penuh dengan Pixel 9 Pro XL.
Apa perbezaannya dengan SuperVOOC?
SuperVOOC juga menggunakan voltan yang lebih tinggi, tetapi dengan pendekatan yang sedikit berbeza. SuperVOOC biasanya menggunakan kombinasi voltan tinggi (biasanya sekitar 10V) dan arus tinggi (sehingga 5A) untuk mencapai kuasa pengecasan yang lebih tinggi, seperti 50W atau lebih. Dua sel bateri juga turut digunakan untuk pengecasan yang sangat pantas.
Bagaimanapun, Pixel 9 Pro XL menggunakan voltan yang lebih tinggi iaitu sekitar 18V, tetapi pada arus lebih rendah untuk mencapai kuasa pengecasan 37W, yang memerlukan sokongan pengecas USB Power Delivery PPS yang sesuai.
Kalau awak tanya abam, ok ke tidak, pada abam – diawalnya ok saja, kerana OPPO/OnePlus/realme turut menggunakan pengecasan proprietary iaitu SuperVOOC.
TETAPI, telefon-telefon pintar yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat ini menggunakan pengecasan pantas antara 80-100W.
Berbeza dengan Pixel 9 Pro XL yang hanya dapat memanfaatkan sehingga 37W sahaja. Jadi, agak sukar untuk abam menjustifikasikan spesifikasi ini, dengan penggunaan penyesuai (adapter) yang khusus seperti telefon-telefon SuperVOOC.
Ini bukan nak membahan ya, ini adalah fakta. Peminatnya nak butthurt atau tidak itu cerita kedua.
Agak ‘sayang’ juga kerana Google keluarkan pengecas berkelajuan 45W, tetapi telefon pintarnya pula tidak sampai kepada kelajuan itu.