Salam semua. Hari ni update entri agak lambat sedikit kerana Mr.Hac menghadiri bengkel. Selepas dari bengkel itu baru Mr.Hac sedar, betapa mundurnya kita dalam bidang pembangunan dan kemajuan IT. Ok, itu nanti kemudian baru Mr.Hac akan ceritakan.
Mr.Hac nak bawakan sedikit ‘kisah’ Mr.Hac bersama dengan Admin Penasihat MHAH, juaratempur (JT) yang membaiki (format) laptop atlit lumba basikal trek kebangsaan, Fauzan Ahmad Lutfi.
Beliau membawa laptopnya (Jenama Toshiba, tapi dah lupa modelnya) kepada kami untuk diformat, daripada Windows 7 (sedia ada dalam tu) kepada Windows XP, siap bawa DVD Windows XP asli lagi! Lepas berbincang, beliau setuju untuk memasang semula (re-install) Windows 7 yang ada pada kami. Namun, bila diminta CD driver, beliau katakan ianya tiada dalam simpanan. Bukan apa. Beliau beli laptop 2nd hand dari kawan, tetapi dalam kondisi yang kurang memuaskan, kerana pemacunya tidak cukup! Dah begitu, Windows pula macam-macam masalah katanya. Adeh..
Tak mengapalah. Kemudian selepas proses format selesai (lebih kurang 15 minit sahaja) yang kami lakukan di restoran mamak, masalah sebenar baru bermula. Seperti biasa bro JT akan memeriksa terlebih dahulu jika ada kekurangan pemacu dan seperti yang dijangka, memang ada. Puas kami berfikir caranya, sampai sejam jugalah!
Mr.Hac yang buntu dengan keadaan itu keluar dengan satu idea, iaitu kenapa tidak kita menggunakan OS Linux melalui Live USB untuk memuat turun pemacu kerana kita semua sedia maklum biasanya kesemua pemacu sudah tersedia dalam kernel Linux. Ok. Idea sudah datang, kami pun godeklah laptop.
OS pertama yang kami cuba ialah Slax. Malangnya, Slax gagal mengesan WiFi (Unifi) di restoran mamak itu. Kemudian, Mr.Hac hulurkan pula OS-OS dari USB pendrive Mr.Hac sendiri yang di pasang menggunakan Multisystem. OS kedua yang di boot ialah Linux Mint. Cantik! WiFi berjaya dihubungkan. Namun disebabkan trafik tinggi yang dikongsi secara beramai-ramai oleh para pengguna yang duduk di restoran dan di apartment bersebelahan dengannya, proses muat turun gagal dilakukan. Disebabkan kami sangka ada masalah dengan Linux Mint, kami boot pula OS lain dari pendrive itu. Sehinggalah kami menemui jalan buntu, barulah Mr.Hac dapat agak, ini berpunca dari sambungan internet yang perlahan.
Akhirnya setelah restoran mamak itu ‘melabuhkan tirainya’ (Haha, bukan restoran 24 jam tu!), kami mengambil keputusan untuk melakukannya di rumah. Aduh..
Cukup setakat itu ceritanya di sini. Tetapi apa yang ingin Mr.Hac tekankan ialah peri penting pemacu kepada komputer yang kita gunakan seharian. Tanpa pemacu,tampilan jadi tidak kena, bunyi tiada, sambungan internet tidak dapat dilakukan dan macam-macam masalah lagi!
Oleh itu, jika anda mahu format komputer anda, carilah terlebih dahulu CD pemacu yang dibekalkan oleh pengilangnya. Jika tiada, muat turunlah dahulu di mana-mana dan simpankannya dalam pendrive. Anda pasti memerlukannya satu hari nanti!