Gila Gajet
AMP Ads
Mobile Ads

Gila Gajet

0
Mobile Ads

Baru sebentar tadi bro Rakyat Siber menulis entri santai mengenai laman Rocket Jump, kini giliran saya pula ‘bersantai’ dengan entri ini. Kita sudah pun tiba di penghujung tahun 2012. Sedar atau tidak, di penghujung tahun inilah kita berada, bersama dengan pelbagai PENINGkatan dalam dunia IT.

Pada asalnya saya cuma ‘orang biasa’. Saya sendiri tidak pasti bila saya mula ‘terjerumus’ ke dalam dunia IT yang memaksa diri saya untuk sentiasa up-to-date dengan berita-berita terkini, dan tak lupa juga gajet-gajet terkini yang semestinya tidak termasuk dalam bajet-bajet terkini (what?).

Rasanya seperti baru sahaja saya membeli telefon pintar HTC One X, lebih kurang pada bulan Jun yang lepas, kemudian keluar pula pesaingnya iaitu Samsung Galaxy S3, dan disusuli dengan sebuah Smartphone of The Year (bagi saya la), Samsung Galaxy Note 2.

Perkembangan teknologi yang boleh dikatakan sangat pesat (bukan bangsat! lol!), sehinggakan tahun yang mendatang, saya seakan ‘gerun’ kerana masih lagi terfikir apa lagi yang syarikat gergasi seperti Samsung, HTC, dan sebagainya lagi akan lakukan untuk meraih minat orang ramai untuk membeli produk mereka. Bagi orang ‘awam’ yang berada, berkemungkinan gajet super-duper-gempak canggih ini hanya digunakan untuk diletakkan di atas meja makan di restoran ber-WiFi, tetapi untuk orang yang sememangnya ‘Gila Gajet’, peranti-peranti ini boleh bikin makan tidak basah dan mandi tidak kenyang.

Masakan tidak, dalam era teknologi ini, gajet-gajet seperti ini bukan lagi buah mulut atau khabar angin, tetapi ia adalah realiti. Memang tidak pernah terlintas di fikiran dek zaman Nokia 3310 bermaharajalela, sekiranya ada ‘Time-Machine’ dan kita mampu kembali ke zaman itu untuk menunjukkan telefon pintar terbaru di tahun 2012 ini, sudah pasti mereka yang berada pada zaman itu mahu ikut kita pulang ke zaman ini!

Itu baru sebut fasal telefon bimbit pintar! Kalau dibuka pula cerita mengenai Laptop, Ultrabook, Tablet… eh, senang cerita kalau dibawa bersembang mengenai semua peranti dan gajet-gajet ini, mahu papa kedana kita dibuatnya. Bukan wang yang hilang, tetapi masa yang terbang melayang, sembang bung-bang.

‘Point’-nya di sini bukan apa, saya membawakan ‘isu’ ini kerana saya juga termasuk dalam golongan ‘Gila Gajet’. Pagi, petang, dan malam saya dihabiskan untuk menelaah, membaca, mengkaji, serta mendalami mengenai peranti-peranti dan gajet-gajet ini. Saya yakin dan pasti, bukan saya seorang yang bersifat/bersikap begini. Pasti ramai diluar sana yang seiringan dengan saya. Bagi yang mengikuti perkembangan, yang dirisaukan kini bukan lagi ketinggalan zaman kerana tidak tahu spesikasi model terbaru, tetapi wang saku yang semakin menipis tidak kira awal, pertengahan, apatah lagi hujung bulan (bila nak gaji ni?)

Apa pula kata anda? Apa pendapat anda selaku orang yang ‘Gila Gajet’ dengan keluarnya model-model terbaru di pasaran?

Mr.Hac @ Dr. Freddy : Masih belum habis kagum dengan Kamen Rider yang lama. Mereka memusnahkan lawan hanya dengan ‘Rider Punch’ dan juga ‘Rider Kick’. Kalau nak dibandingkan dengan Kamen Rider era moden, tali pinggang ‘sakti’ mereka juga bukan sahaja semakin besar, malah penuh dengan gajet! Haha! Final move mereka juga bergantung kepada gajet-gajet tersebut. Ah… adakah aku yang semakin tua..

Mobile Ads

Exit mobile version