Ada banyak sebenarnya alternatif IDM, tapi paling penting ia mestilah serasi (compatible) dengan Windows, Linux dan Mac, serta paparan antaramukanya tak jauh berbeza dengan IDM (sebab itu yang kita biasa guna).
Contohnya uGet, EagleGet, FDM, SteadyFlow, MultiGet, Xtreme Download Manager, PyLoad Download Manager, dan sebagainya lagi.
Tetapi kebanyakannya mempunyai paparan antaramuka yang kurang menarik, dan sukar hendak dibiasakan, hinggalah FlareGet muncul.
Setakat ini untuk Windows, sememangnya IDM adalah ‘king’. Tiada lagi yang mampu menandingi IDM dari segi ‘pengalaman penggunanya’. Apabila sesuatu pautan diklik, tetingkap dari IDM akan segera ‘menangkapnya’, lalu dimasukkan ke dalam senarai muat turun, disusun elok-elok mengikut jenis failnya, dimuat turun dengan kaedah segmentasi, dan seterusnya hinggalah kepada selesainya muat turun, kita diberitahu pula akan tugasnya yang telah disiapkan. Tidak dilupakan juga apabila dimuat turun melalui IDM, kita boleh ‘resume’ muat turun tersebut jika berlakunya ralat.
Begitulah ‘kemasnya’ pengalaman pengguna untuk aplikasi IDM.
Inilah perkara yang kebanyakan pemuat turun alternatif lain gagal untuk ikuti. Jika pun ada, paparan antaramukanya pula tidak sesedap mata memandang, seumpama kita melihat IDM. Ini bukan soal kita sudah terbiasa. Tidak. Ini soal sememangnya ia tidak ‘secantik’ paparan IDM, barangkali kerana ia dicipta tidak sebagai pesaing terus, oleh itu ciri paparan antaramukanya tidak begitu dititik beratkan.
Perkara ini tidak terjadi kepada FlareGet Download Manager.
Sekali imbas pabila pertama kali menggunakannya, ia kelihatan tidak ubah seakan-akan IDM. Saya tahu saya tidak salah melihat, kerana anda boleh cuba bandingkan sendiri melalui tangkapan layar di bawah.
Apabila satu perkara ini sudah diselesaikan dengan jayanya, bagaimana pula dengan ciri yang lain?
Dari segi kelajuan muat turun, ia tiada perbezaan dengan IDM, bahkan boleh dikatakan menandingi pesaingnya itu dengan begitu baik sekali.
*Kelajuan internet yang saya gunakan adalah 30Mbps.
Kadang-kala ‘sedutannya’ agak mengejutkan..
Apabila selesai muat turun, tetingkapnya juga saling tidak tumpah ibarat ia ‘menyalin’ tetingkap IDM.
Dari segi ciri yang lain, ia juga mempunyai fungsi muat turun segmentasi mengikut pilihan anda. Sepertimana IDM, rekomendasinya adalah sebanyak 8 segmen.
Ciri yang paling disukai pada IDM adalah pengkategorian, yang mana FlareGet juga ada.
Dari segi integrasi dengan pelayar web, ia mempunyai extension atau addon untuk pelayar-pelayar popular seperti Chrome, Firefox, Opera, Internet Explorer dan Safari.
Baiklah, kita cerita perkara yang ‘seronok’ sahaja, bagaimana pula dengan kekurangannya?
Buat masa ini, kekurangan paling ketaranya ialah YouTube Grabber yang ‘tidak berfungsi’. Saya telah menghubungi pembangun aplikasi berkenaan dengan hal ini, dan menurutnya, YouTube Grabber hanya dapat berfungsi untuk Firefox. Itu pun, dengan menggunakan addon yang tiada kena mengena dengan FlareGet.
Addon yang beliau suruh saya pasang adalah Easy Youtube Video Downloader Express.
Jadi, saya mencari ‘workaround‘ atau solusi sementara bagi pengguna Brave/Chrome. Oleh itu, terjumpalah pula dengan extension YouTube Video and MP3 Downloader oleh Addoncrop.com. Pada saya ia bolehlah digunakan sebagai satu jalan penyelesaian sementara bagi memuat turun video dari YouTube untuk pengguna Brave/Chrome, dan boleh juga dipasangkan pada Firefox jika anda mahu.
Selain itu, saya belum dapat mencari lain-lain kelemahan yang ada padanya.
FlareGet boleh dimuat turun secara percuma, tetapi ia hadir dengan tempoh percubaan selama 7 hari. Selepas habisnya tempoh tersebut, anda masih dapat menggunakan FlareGet, cuma segmentasi fail dikurangkan. Saya lupa berapa jumlahnya, kalau tidak silap rasanya hanya dua segmentasi.
Tetapi jika anda hendak membeli lesennya, tidak perlu bimbang kerana harganya tidaklah mahal. Bagi lesen untuk satu sistem operasi, harga lesen adalah RM43 sahaja. Ia dapat digunakan untuk seumur hidup dan anda akan menerima kemas kini bagi aplikasi ini selama mana ia terpasang.
Bagi lain-lain kombo lesen, anda boleh beli dengan harga dari 19.99USD atau lebih kurang RM86 (nilai pertukaran mata wang ketika artikel ini ditulis).
Anda boleh dapatkan maklumat mengenai FlareGet di laman sesawang rasminya di sini : FlareGet Download Manager.