Project Quantum ialah sebuah usaha dari Mozilla untuk menaiktaraf enjin Gecko pada Firefox melalui hasil kajian projek ‘Servo’. Hanya sebahagian kecil sahaja dari Project Quantum telah pun diaplikasikan, namun menurut Mozilla Firefox kini sudah pun dua kali lebih pantas berbanding dahulu.
Ianya boleh dicuba pada versi beta dan developer, namun jika anda sanggup menunggu, versi stabil akan dilepaskan pada 14 November ini.
Cuba anda tonton dahulu video di bawah, perbandingan antara Firefox Quantum dan Chrome.
Ujian tersebut nampak agak seimbang bukan? Firefox Quantum tampak mampu menandingi Chrome pada beberapa laman yang kebiasaannya menjadi ‘makanan’ buat Chrome. Dari segi penggunaan memori pula, nampaknya menurut ujian dari Mozilla juga menunjukkan perubahan drastik sebanyak 30% pengurangan. Ini sudah tentu banyak memberi manfaat terutamanya kepada PC-PC tua di pejabat-pejabat kerajaan komputer dengan memori rendah.
Buat sementara waktu ini, Mozilla mengakui bahawa mereka tidak dapat memindahkan kod Servo secara terus ke dalam Firefox. Ini bererti pengguna akan memanfaatkan kuasa Servo sedikit demi sedikit yang diimplementasikan ke dalam Gecko.
Nampaknya pembaharuan kepada Firefox tidak lagi terhad kepada paparan antaramukanya sahaja (Photon UI), bahkan juga sekuriti, privasi, dan juga prestasi. Sekiranya versi akan datang ini iaitu Quantum, mampu mengatasi isu micro stutters dan kebocoran memori, sudah tentu Firefox akan kembali mendapatkan peminatnya.
Anda boleh muat turun Firefox Beta dengan dikuasakan oleh Project Quantum di sini, terdapat untuk Windows, Android, dan iOS.