Saya ada kongsikan mengenai bagaimana caranya untuk anda menukarkan komputer atau laptop lama kepada Chromebook dengan memasang Chrome OS Flex di: Ada Laptop Lama? Tukarkan Ia Kepada Chromebook.
Terus terang kata, Chrome OS Flex berjaya menambat hati saya untuk terus menggunakannya. Komputer dengan spesifikasi lama masih dapat bernyawa dengan adanya sistem operasi ini dipasangkan padanya.
Jika Chrome OS dari saluran ‘biasa’ hanya dapat dinikmati pada peranti Chromebook, Chrome OS Flex pula dapat diakses oleh sesiapa sahaja. Anda pengguna Windows? Mac? Tak kisah. Asalkan ada peranti yang boleh ditukar menjadi ‘Chromebook’, anda adalah calon penggunanya.
Seperti cara Chrome OS beroperasi, Chrome OS Flex adalah berdasarkan teknologi awan, bermakna sebarang proses tugas berat tidak akan berlaku pada perkakasan lokal peranti anda. Oleh itu, secara tidak langsung ia menafikan keperluan untuk spesifikasi sederhana hingga tinggi ke atas komputer.
Keseluruhan idea ini telah lahir daripada satu lagi sistem operasi terkenal yang dipanggil sebagai CloudReady. Sebelum ini, berada di bawah pemilikan sebuah syarikat bernama Neverware. Walau bagaimanapun pada tahun 2020, taikun teknologi Google membeli Neverware dan kini menjadi pemilik kepada jenama tersebut. Selepas Google menyediakan versi stabil pertama sistem operasi, semua pengguna CloudReady semasa secara automatik layak untuk menerima naik taraf percuma kepada Chrome OS Flex.
Chrome OS Flex tidak memerlukan sebarang kos. Ia adalah percuma dan dapat dipasang pada peranti Windows dan Macbook. Konsep ini pada dasarnya akan menghapuskan keperluan jabatan IT dari pelbagai sektor untuk mengalihkan perkakasan mereka dengan melalui banyak usaha dan membelanjakan banyak wang sekiranya mereka ingin beralih ke Chrome OS Flex.
Selain itu, Google tidak lama lagi akan mengeluarkan senarai komprehensif peranti yang disahkan (verified devices), yang akan terus mendapat sokongan aktif daripada pembangun. Bagaimanapun, anda masih boleh memasang Chrome OS Flex pada mana-mana peranti yang anda miliki, sama ada dalam senarai peranti yang disahkan/diperakui atau tidak.
Berdasarkan kod sumber Chromium OS, pengguna boleh mengharapkan tahap prestasi yang sama dalam kelajuan dan kebolehpercayaan seperti Chrome OS – ada pada Chrome OS Flex. Sistem operasi ini akan menjadikan komputer riba anda serba baru semula dan membolehkan anda menggunakannya dengan nafas baharu sekali lagi. Salah satu kelebihan terbesar Chrome OS ialah kelajuannya, dan ini sudah pasti diwarisi oleh Chrome OS Flex.
Bagaimana pula dengan tahap sekuriti?
Memandangkan Chrome OS Flex bakal menyertai keluarga OS Chrome, anda boleh mengharapkan kemas kini yang konsisten dan rutin yang tidak berbelah bahagi daripada Google dalam hal itu. Walau bagaimanapun, tumpuan daripada pembangun kekal pada tampalan keselamatan (security patches) untuk Chrome OS Flex, memberikan keselamatan proaktif terhadap ancaman terbaru.
Jika dirujuk pada pengumuman Google minggu lepas, anda boleh lupakan tentang keperluan untuk memasang sebarang perisian antivirus di peranti anda.
Rujukan: Google Cloud
Beberapa ciri keselamatan Chrome OS yang paling mantap (dan kini Chrome OS Flex) adalah termasuk mekanisme sistem ‘read-only’ dan pelaksanaan ‘sandbox’ yang tidak membenarkan perisian hasad ‘mengganas’ dan melintasi aplikasi serta fail sistem lain. Anda juga boleh menggunakan Enhanced Safe Browsing pada peranti Chrome OS Flex, yang menghalang anda daripada terperangkap oleh laman web dipenuhi perisian hasad di Internet.
“With Chrome OS Flex, there’s no need for antivirus software.”
Saya ucapkan, selamat menggunakan Chrome OS Flex kepada semua.