Salam semua OMG! Hejes? Fans..
Hey, nanti dulu.. jangan cepat label saya ‘masta of da universe’. Saya bukan ‘He-Man’. Bukan juga tahu semua perkara, tetapi apa yang sempat saya kongsikan, dalam ruang lingkup serba-sedikit yang saya tahu, maka saya tuliskan di sini.
Ramai yang minat mengambil gambar. tambahan pula sekarang telefon bimbit pintar masing-masing sudah dilengkapi dengan perkakas kamera yang sangat canggih. Meskipun belum mampu menggantikan kamera DSLR, tetapi kelebihan yang ada pada telefon bimbit iaitu ia mudah dibawa ke mana-mana menjadikan ia pilihan ‘cepat sambar’.
Tetapi seringkali setelah mengambil gambar, apabila dilihat semula pada Galeri, ia tetap kelihatan biasa-biasa. Ia masih nampak agak ‘kaku’, membosankan (mungkin), atau boleh juga nampak ‘tiada makna’ mahupun ‘impak’ kepada perasaan orang yang melihatnya.
Kenapa jadi begitu? Ini adalah kerana melalui pandangan mata orang kebanyakan, apabila mengambil gambar, mereka mengambilnya tanpa tahu apa itu komposisi. Mereka cenderung untuk meletakkan subjek di tengah-tengah, seiring dengan perbuatan kebanyakan orang yang lain, terutama apabila mengambil gambar secara beramai-ramai yang biasanya memang tidak mengikut komposisi (contohnya gambar murid kelas, gambar peserta kursus, dsb.)
Ketahuilah tidak semua subjek itu boleh diletakkan di tengah-tengah, kerana mengikut kepada komposisi fotografi, ‘tengah itu membosankan’.
Jadi gambar yang diambil tanpa ilmu pengetahuan serba-sedikit mengenai komposisi telah menyebabkan hasilnya menjadi begitu, meskipun ia bukan disengajakan. Jadi, apa itu komposisi?
Komposisi
Komposisi kalau diterjemahkan kepada maksud yang lain ialah seni visual, iaitu bagaimana cara kita memandang sesuatu itu sebagai nilai seni, lalu disusun, digubah dan diadaptasi semua elemen-elemen yang dilihat ke dalam gambar menjadi suatu hasil yang menyampaikan maksud asal pandangan.
Sukar untuk difahami?
Begini. Komposisi ialah kaedah untuk mengalihkan atau mengarahkan pandangan mata yang melihat gambar anda kepada subjek penting dengan lebih berkesan dan juga seluruh gambar lebih mempunyai ‘jiwa’, lebih menarik, nampak cantik, bukan ‘hasil kosong’ semata. Sebagai contoh saya pernah menulis mengenai Rule of Thirds, salah satu kaedah atau istilah komposisi yang sering digunapakai oleh mana-mana penangkap gambar hatta mereka yang merakam video atau pengarah filem sekalipun.
Ianya merupakan antara ilmu komposisi asas dalam fotografi sebelum beralih kepada komposisi lain yang lebih terkedepan. Cuba anda baca dan fahamkan ia terlebih dahulu. Apabila sudah fahamkan asas, saya yakin anda akan lebih mudah untuk faham komposisi-komposisi yang lainnya. Apa yang penting apabila anda fahamkan matlamat sebenar ilmu komposisi untuk mengambil gambar, maka setiap gambar yang akan anda ambil selepas ini tampak lebih profesional.
Untuk para pemula, saya sarankan anda cuba cari dan baca beberapa komposisi yang berikut untuk lebih kefahaman:
1. Depth
2. Rule of Odds
3. Rule of Space
4. Leading Lines
5. Symmetry
6. Framing
7. The Golden Ratio
8. Golden Triangles and Spirals
9. Balance
10. Fill The Frame
Untuk lebih banyak lagi jenis-jenis komposisi, anda boleh buat carian Google dengan kata kunci ‘compositions in photography’.
Saya berharap agar dengan sedikit pendedahan ini, anda dapat memahami dengan lebih baik apa itu komposisi dalam fotografi dan boleh mengaplikasikan ia dalam kehidupan seharian. Biarpun cuma mengambil gambar dengan menggunakan telefon pintar, tetapi kalau kita mengikut kaedah-kaedah komposisi, gambar yang kita ambil akan lebih menyerlah dan lebih baik lagi berbanding orang lain.
Selamat membaca, dan selamat mencuba kalian semua!