Kita semua sedia maklum bahawa Facebook sememangnya seringkali bertindak bias terhadap mereka yang menyokong Palestin dan rakyatnya. Mana-mana individu yang menunjukkan sokongan akan disekat, malah lebih teruk lagi akaun dinyahaktif dan dipadam.
Facebook tidak pernah menyembunyikan hal ini, dan ia bukan perkara baru. Dari dulu, Facebook sentiasa menunjukkan sikap pro-Yahudi dengan membanteras sebarang kempen dan post berkaitan isu penindasan rakyat Palestin.
Tetapi sejauh mana tindakan buli oleh Facebook mampu mengurangi moral orang Palestin dan penyokongnya? Barangkali tidak sama sekali.
Aktivis pro-Palestin kini menjalankan kempen yang diselaraskan untuk menurunkan penilaian semakan aplikasi Facebook dalam usaha memprotes apa yang dipercayai sebagai penapisan akaun dan siaran post mengenai Palestin oleh syarikat itu.
Kempen itu, yang dikongsi di laman media sosial, termasuk Twitter dan Facebook, meminta orang ramai untuk memberikan ulasan satu bintang pada aplikasi Facebook di gedung aplikasi Apple dan Google.
Strategi nampaknya berjalan lancar dan dilihat sebagai berjaya memperlihatkan hasilnya.
Pada minggu lepas, purata penilaian bintang untuk aplikasi media sosial itu telah turun dari 4/5 menjadi 2.3/5 di App Store Apple dan 2.4/5 di gedung Google Play pada Sabtu malam setelah menerima ribuan ulasan satu bintang.
Sebilangan besar ulasan merangkumi komen yang menyebutkan bahawa Facebook mendiamkan suara dan juga hashtag berkaitan Palestin seperti #FreePalestine atau #GazaUnderAttack.
Di dalam (pentadbiran/mesyuarat) Facebook, kempen ini dilabel sebagi ‘sangat serius’ dan telah dikategorikan sebagai SEV1, yang bermaksud ‘keparahan 1’ (severity 1), satu label atau deskriptor yang digunakan secara dalaman apabila terdapat masalah besar dengan laman web – menurut tangkap layar papan mesej dalaman yang ditinjau oleh NBC News.
SEV1 adalah keutamaan kedua tertinggi selepas SEV0, iaitu tahap ‘keparahan’ atau ‘label masalah’ yang digunakan semasa laman web tidak berfungsi.
“Kepercayaan pengguna merosot jauh dengan perkembangan terbaru antara Israel dan Palestin baru-baru ini,” kata seorang jurutera perisian kanan dalam catatan di papan pesanan dalaman Facebook.
“Pengguna kami kesal dengan cara kami menangani situasi ini. Mereka merasa bahawa mereka disekat, mendapat pengedaran terhad, dan didiamkan. Hasilnya, pengguna kami mula memprotes dengan memberikan ulasan 1 bintang.”
Menurut tangkap layar perbincangan dalaman yang bocor, Facebook menghubungi gedung aplikasi untuk bertanya apakah mereka akan membuang ulasan negatif tersebut.
Apple menolak permintaan ini, demikian menurut catatan seorang pekerja Facebook yang mengatakan bahawa dia telah menghubungi pasukan hubungan pemaju Apple mengenai masalah tersebut.
Sumber: NBC News.