Assalamualaikum semua.. Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di serata dunia (tak tahu la pulak kalau ada yang tak perasan bulan puasa dah nak dekat ni!).
Dalam banyak-banyak bulan, bulan Ramadhan ialah bulan suci yang telah dipilih oleh Allah untuk melimpahkan kepada semua hambaNya dengan rahmat dan kasih sayang. Tak lupa juga dibuka pintu-pintu Syurga, ditutupi pintu-pintu Neraka, dan dilebarkan pintu kemaafan dari Yang Maha Esa.
Terasa hiba bila Ramadhan kini menjelang, bukan kerana teringatkan kampung halaman yang belum dijengah, bukan kerana teringatkan sanak-saudara yang masih ada mahupun yang telah pergi, tetapi menginsafi diri, rohani jasmani, adakah ini Ramadhanku yang terakhir? Andainya YA, disusun 10 jari memohon ampun maaf dari anda semua, semoga kita bertemu lagi di Ramadhan tahun depan jika diizinkan Tuhan, insyaAllah.
Dengan 30 juzuk dari kalamullah Al-Kitab sebagai pemimpin hati, semoga diri ini menjadi insan kamil, yang memberi manfaat kepada anak watan, agama dan tanah air. Perjuangan menulis di sini akan diteruskan, selagi ada pembacanya biarpun seorang. Bulan keberkatan bulan keampunan buat semua, moga-moga kita tergolong dalam kalangan ‘kumpulan yang sedikit’. Kerana yang menerima keampunan, redha, dan SYURGA dari Allah tidak ramai jumlahnya, sangat sedikit. Andai kita dalam golongan yang ‘sedikit’ itu, maka kita beroleh keberuntungan di akhirat kelak.
Salam Ramadhan. Penuhi Ramadhan dengan amal ibadat, jumpa lagi pada entri seterusnya.