PETALING JAYA, 26 November 2024 — Persatuan Platform Aset Digital Malaysia (MDAPA) memberi peringatan kepada para pelabur untuk lebih peka terhadap scammer berikutan dari kenaikan harga Bitcoin yang hampir mencecah US$100,000, dan juga peningkatan harga aset-aset digital alternatif lain (altcoin).
Kombinasi keyakinan pasaran dan harga mata wang kripto yang tinggi menjadikan
orang awam lebih tertarik terhadap peluang keuntungan. Susulan daripada
peningkatan tersebut, para pelabur perlu peka terhadap skim-skim tidak berlesen
yang sedang mencari mangsa untuk diperdayakan.
Scammer biasanya menyasarkan kumpulan-kumpulan berisiko, terutamanya warga emas yang menggunakan platform media sosial, mempunyai pengetahuan terhad mengenai mata wang kripto serta mudah tertarik dengan janji untuk menambah simpanan persaraan mereka.
MDAPA juga telah menerima aduan bahawa scammer akan melakukan taktik
penyamaran sebagai ejen atau proksi bagi pihak bursa aset digital diiktiraf di negara ini. Melalui penyamaran, mereka akan menawarkan bantuan kepada pelabur baharu atau para pelabur yang kurang peka, untuk melabur atau berdagang bagi pihak mangsa.
Sehingga hari ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hanya mengiktiraf enam bursa aset digital dan dua tawaran awal bursa, yang boleh disemak pada laman web rasmi di sini: Pemain Aset Digital Dikawal Selia. Senarai bursa-bursa yang diiktiraf adalah:
1. Bursa Aset Digital
a. HATA Digital Sdn Bhd
b. Luno Malaysia Sdn Bhd
c. MX Global Sdn Bhd
d. SINEGY DAX Sdn Bhd
e. Tokenize Technology (M) Sdn Bhd
f. Torum International Sdn Bhd
2. Tawaran Awal Bursa
a. Pitch Platforms Sdn Bhd
b. Kapital DX Sdn Bhd
Pihak persatuan ingin menekankan bahawa bursa aset digital diiktiraf tidak akan
menjanjikan pulangan pelaburan, menarik pelabur melalui paparan gaya hidup mewah dan menggunakan pihak ketiga untuk pembelian atau penjualan aset-aset digital. Setiap transaksi perlu dilakukan sendiri oleh pelabur melalui aplikasi atau laman web bursa.
Jika anda mengesyaki sebarang jenayah scam, laporkan segera ke pihak berkuasa
berkaitan seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian hotline
03-26101559, atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.