Tak Mampu Bersaing Dengan Pengeluar dari China dan Korea yang Menawarkan Produk Lebih Baik pada Harga Lebih Rendah
Pengeluar elektronik Jepun, SHARP mengambil keputusan untuk menutup operasi kilang panel LCDnya di Sakai,Osaka, Jepun. Kilang yang dioperasikan oleh syarikat subsidiarinya Sakai Display Products (SDP), akan menghentikan segala operasi menjelang September tahun ini.
Kilang SDP ini menghasilkan panel LCD untuk televisyen. Dengan penutupan kilang ini, keupayaan Jepun untuk menghasilkan skrin panel LCD bersaiz besar pastinya akan terjejas. SHARP telah mengalami kerugian yang berterusan sejak 2012 kerana prestasi SDP yang buruk. Pada tahun 2016, SDP telah dibeli oleh syarikat Taiwan, Hon Hai untuk diselematkan. Namun, ia telah dijual kepada pegangan asing hanya 3 tahun selepas itu. Pada tahun 2022, Hon Hai menyerahkan semula SDP kepada SHARP.
Dengan peralihan industri skrin yang kini mula memilih teknologi baru seperti LED dan OLED, pengeluaran LCD kini dilihat tidak lagi menguntungkan. LCD, walaupun lebih mampu bertahan lama berbanding OLED tidak menjadi pilihan utama pembeli. Dengan penyertaan China dan Korea dalam pengeluaran panel paparan, pilihan LED dan OLED kini lebih murah dan berkualiti berbanding paparan LCD.
SHARP juga turut mempertimbangkan untuk memindahkan pekerjanya di kilang Sharp Display Technology (SDTC) yang berpengkalan di Kameyama City, Mie ke kilang yang dimiliki oleh SONY. SDTC menghasilkan panel bersaiz kecil dan sederhana di kilang Kameyama dan dua lagi kilang di Jepun. SHARP memilih untuk mengecilkan bilangan stafnya dalam penghasilan panel paparan.
Sumber: Nikkei Asia