Boleh dikatakan semua telco ada menawarkan plan data tanpa had dengan ciri tersendiri (dan semestinya ada FUP).
Tetapi, untuk kita letakkan sesuatu telco itu dalam kategori ‘terbaik’, bukan sahaja perlu memilih plan yang disesuaikan dengan diri sendiri, namun juga dari segi kekuatan rangkaian di tempat kita tinggal.
Tak guna plan murah, data banyak, bila menjelang malam, kelajuan seperti melukut di tepi gantang. Kelajuan ditawarkan kononnya 6Mbps, apabila digunakan hanya tinggal 1Mbps, bahkan tak sampai.
Jadi, adakah patut kita mencuba satu demi satu telco semata-mata bagi mengetahui mana yang terbaik dari segi kekuatan rangkaian dan kelajuan?
Tak berbaloi bukan? Jalan termudah ialah dengan bertanya kepada jiran-jiran. Melalui perkongsian, kita akan mudah mendapatkan informasi akan mana satu rangkaian yang dapat memberi prestasi terbaik.
Jangan ikut saya, kerana saya beli semua kad SIM prabayar yang ada untuk mencuba satu demi satu.
Kalau ditanya kepada saya, manakah plan telco terbaik, jawapannya mudah – U Mobile. Hanya bermodalkan RM35 sebulan, pengguna akan dapat menikmati plan data tanpa had berkelajuan 6Mbps, dan hotspot sebanyak 3GB (FUP 100GB).
Pun begitu, seperti yang disebutkan di atas, U Mobile hanya terkenal kerana nilai plannya yang selalu murah berbanding telco lain, cuma apabila digunakan, berkemungkinan kehampaan hati akan menjelma dek kerana kelajuan tidak seperti ditawarkan.
Setelah menguji pelbagai telco, secara peribadi saya sendiri menggunakan Digi Prepaid Next. Malangnya, dalam laman web Digi, tiada lagi ditawarkan Prepaid Next 40 (data tanpa had berkelajuan 6Mbps dengan 999GB FUP – jauh lebih banyak berbanding Hotlink dan Celcom).
Namun, plan tersebut masih ada dalam aplikasi Digi, dan sekiranya tiada, anda boleh chat dengan staf Digi untuk meminta ia diaktifkan.
Plan itu antara yang berbaloi setara dengan tahap jangkauan dan kekuatan rangkaian Digi pada ketika ini.
Yoodo juga agak bagus, dengan RM43 untuk kelajuan 6Mbps. Cuma seperti yang kita tahu, ada ura-ura mengatakan MVNO ini akan ditamatkan perkhidmatannya selepas berlaku penggabungan antara Digi dan Celcom.
Bagaimanapun, sementara masih boleh digunakan, maka gunakanlah sepuasnya. Lagi pula, ura-ura berkenaan masih belum disahkan sepenuhnya apabila pihak Yoodo mengatakan operasi akan diteruskan seperti biasa.
Terbaru, Yoodo menambah fungsi WiFi Calling atau VoWiFi pada rangkaiannya. Ambil perhatian, Yoodo menggunakan rangkaian Celcom, oleh itu jika anda ingin gunakan perkhidmatan mereka, periksa tahap kekuatan liputan Celcom terlebih dahulu.
Jika kekuatan rangkaian unifi di tempat anda bagus, maka unifi Bebas adalah sangat baik untuk dilanggan. Kelajuan dapat mencecah sehingga 8Mbps untuk pelan Bebas Monthly RM35.
Bagaimana pula dengan Hotlink, atau yang lain-lain?
Saya enggan mengulas mengenai Hotlink lagi kerana apa yang disembunyikan dalam T&C/FUP terlalu menyakitkan hati. Sehari hanya dapat gunakan sebanyak 5GB, dan sebulan hanya 50GB. Tanpa had? Ya, tanpa had dengan kelajuan 512kbps selepas mencecah 50GB.
Celcom Xpax Unlimited juga lebih kurang ‘hauk’. FUP 60GB.
Cukup, cukup sudah memperdayakan pengguna.
Yes 4G/5G?
Malaslah nak cakap. Liputan macam siput sedut. Senang cerita pendek kata, kalau liputan bagus di kawasan anda, bolehlah guna. Sila periksa terlebih dahulu di laman web Yes sebelum melanggan.
Apa pun, saya cuma berharap pada masa akan datang, kesemua telco dapat tawarkan plan data tanpa had dengan kelajuan lebih lagi, contohnya 10-20Mbps.
6Mbps mungkin cukup untuk tahun 2011, tetapi kita dah nak masuk tahun 2023. Penambahbaikan harus ada. Takkan umum untung berjuta setiap tahun, pengguna tak sudah dilanyak isu kesesakan trafik internet lagi? Kelajuan perlu ditambah, kestabilan mesti seiring.
Anda pula bagaimana? Gunakan plan yang mana satu?