Sudah Tiba Masa Kita Beralih Kepada Sumber Daging Putih Yang Lebih Sihat dan Bebas Kartel
Ayam adalah sumber daging putih yang paling popular di dunia kini. Bukan sahaja diguna meluas di isi rumah, daging ayam juga menjadi menu utama francais makanan segera gergasi dunia seperti KFC, Texas Chicken dan McDonald’s. Ayam mendapat tempat di kalangan pemain industri kerana proses pembiakan yang mudah dan cepat hasil daripada penyelidikan bertahun lamanya.
Akan tetapi, sebelum populariti ayam mendominasi dunia, sebenarnya sebilangan besar manusia di dunia menikmati daging putih daripada sumber berlainan. Sumber ini adalah daging arnab. Arnab digunakan dan dibiak meluas di beberapa negara di dunia seperti Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol dan China. Pada zaman dahulu juga, arnab dibiak di negara-negara besar sebagai sumber makanan di Greek, Rom dan kepulauan Mediterranean.
Pada tahun 70an, arnab juga digunakan secara meluas di Amerika Syarikat sebagai sumber industri pelbagai. Selain daripada sumber daging, arnab telah digunakan sebagai sumber lemak, makanan haiwan, bulu, binatang makmal dan juga sumber kulit. Arnab dibiak secara meluas dan bersistem sebelum digantikan dengan penternakan haiwan lain seperti lembu dan ayam sebagai sumber gantian.
Kini, dengan peningkatan mendadak harga lembu dan ayam, arnab dilihat sebagai sumber alternatif bagi daging ayam. Di Malaysia juga, banyak usaha telah dimulakan oleh individu dan syarikat dalam memasarkan dan menindustrikan arnab sebagai alternatif daging. Pelbagai produk juga sudah boleh didapatkan secara meluas seperti daging burger, daging perap dan juga menu makanan segera. Pembiakan dan penjagaan arnab juga lebih mudah dan kurang pencemaran berbanding dengan penternakan ayam dan lembu yang sinonim dengan masalah penyakit, pencemaran sisa dan bau.
Tidak keterlaluan juga untuk saya katakan, harga daging arnab kini sudahpun hampir menyamai harga daging daging ayam. Jika perindustrian arnab dirancakkan lagi, tidak mustahil ia mampu jadi lebih murah daripada ayam. Daging arnab juga sesuai dikisar untuk dijadikan produk seperti patty, nugget dan daging burger. Baru-baru ini juga saya ke sebuah ekspo pertanian dan berpeluang mencuba menu arnab lada hitam yang dijual pada harga RM15 untuk separuh ekor arnab. Menu lengkap dengan hidangan sampingan berupa salad, coleslaw dan juga kentang putar. Separuh ekor arnab ini beratnya hampir 1kg dan boleh dimakan satu keluarga.
Arnab juga senang dijaga dan secara semulajadi memilih untuk tinggal di kawasan sempit. Menerusi beberapa siri kajian, arnab akan memilih untuk berada di ruangan yang lebih sempit berbanding dengan ruangan lain yang lebih luas walaupun ruangan sempit itu sudahpun padat dengan arnab lain. Di habitat asal juga, arnab akan tinggal di dalam lubang beramai-ramai walaupun sempit. Dalam penternakan moden, arnab akan dikurung dalam sangkar berasingan setiap ekor. Dengan ini, mereka akan lebih tenang dan kurang agresif dengan arnab lain.
Berbanding ayam yang tidak selesa dan banyak yang mati apabila dikurung beramai-ramai di dalam satu reban. Sistem sangkar berasingan juga memudahkan pembersihan tinja dan proses memberi makan. Arnab akan diberi makan dalam bekas makanan sendiri dan tidak perlu berebut dengan arnab lain. Berbeza dengan penternakan lembu dan ayam yang dikumpulkan dalam satu sangkar dan reban yang sama beramai-ramai, penternakan arnab dilihat lebih berperikemanusiaan dan teratur. Arnab juga tidak berkokok, mengembek mahupun melenguh. Oleh itu, pencemaran bunyi juga dapat dikurangkan dengan penternakan arnab. Ini membuka peluang bagi petani bandar yang dahulunya sukar untuk membuat penternakan di kawasan padat kerana bimbang dengan aduan bunyi.
Mungkin ramai yang tidak tahu, arnab hanya mengandung selama 30-32 hari sahaja. Arnab juga boleh mengawan semula sebaik sahaja ia melahirkan anak. Sekali melahirkan anak, ia berupaya melahirkan sehingga 8-12 ekor anak arnab. Dalam amalan industri, arnab akan jantan dan betina akan diletakkan berasingan dan hanya dibenarkan mengawan semula dalam kitaran subur seterusnya. Ini bagi membolehkan arnab betina berehat selama lebih kurang 14-18 hari sebelum mengawan semula bagi memastikan hasil yang lebih baik.
Seekor arnab betina berupaya menghasilkan sehingga 40-60 anak arnab dalam setahun dalam kitaran 8-12 kelahiran setahun. Arnab akan disembelih setelah cukup umur dalam lingkungan 9-13 minggu. Seekor arnab yang sihat boleh mencapai berat sehingga 2-2.8kg. Daging arnab juga lebih sihat berbanding daging ayam dengan kandungan lemak dalam daging yang lebih rendah. Ia juga mempunya kandungan protein yang lebih tinggi secara purata.
Daging arnab juga diterima secara universal bagi setiap pelosok penduduk di dunia. Penganut agama yang memakan daging juga tidak melarang pemakanan daging arnab. Bagi penganut agama Islam, daging arnab adalah halal dan tidak dilarang pemakanannya. Ada pelbagai baka arnab di dunia dan antara yang popular adalah arnab putih New Zealand dan arnab daging California.
Saya juga secara peribadi sudah mula menukar menu saya kepada daging arnab memandangkan ia kini sudah mula senang diperolehi. Daging arnab juga boleh dijadikan sebagai ganti bagi menu ayam dengan mudah kerana sifatnya sebagai daging putih yang menyamai daging ayam. Rendang arnab dan daging arnab bakar antara kegemaran saya.