Jika hendak dikatakan kita sudah hidup secara ‘normal’, kita masih belum lagi dapat mengecapi norma tersebut. Secara umum, pandemik telah menjejaskan kehidupan dan pelbagai rantaian lain di seluruh dunia. Ini termasuklah ketersediaan berbagai jenis produk, terutamanya telefon pintar.
Pada ketika ini, China sedang menghadapi wabak terburuk di negara itu sejak awal 2020. Disebabkan dasar toleransi sifar virus, ia memaksa banyak bandar melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat, dan ini semestinya termasuk hab teknologi Shenzen. Perkara ini boleh memburukkan lagi keadaan kekurangan cip sedia ada.
Sekatan pergerakan itu diumumkan pada malam Ahad lalu dan akan berlangsung sekurang-kurangnya 7 hari. Semua pekerja yang termasuk dalam kategori ‘non-essential’ diarah supaya tinggal di rumah, manakala semua orang dewasa di bandar mesti menjalani tiga ujian PCR dalam masa beberapa hari akan datang. Tidak ketinggalan jua semua pengangkutan awam di bandar akan berhenti beroperasi.
Arahan sedemikian mendatangkan masalah kerana sebahagian daripada langkah itu menyebabkan para pekerja yang terlibat dengan pemasangan untuk syarikat elektronik di bandar terpaksa dihentikan. Antara nama besar yang menangguhkan pengeluaran akibat sekatan itu ialah Foxconn, Unimicron, dan Sunflex.
Seperti sekatan pergerakan lain, kita boleh hanya menjangka bahawa ia akan berakhir pada tarikh yang dinyatakan, iaitu selepas 7 hari. Tetapi ada kemungkinan (seperti pengalaman kita sendiri) ia dilanjutkan – sehingga memakan masa berbulan lamanya.
Sekiranya ini terjadi, terdapat kemungkinan kesan yang akan terjadi diakibatkan oleh sekatan pergerakan ini menjadi sebuah ‘bencana’ kepada bekalan telefon pintar global. Sedar atau tidak, kebanyakan peralatan digital yang kita gunakan setiap hari dihasilkan dan dikeluarkan oleh negara China.
Sumber: XDA Developers
Gambar oleh: The Japan Times, Wall Street Journal.